Bagaimanapun, siapa sangka anak kelahiran dari sebuah negeri di utara tanah air itu sebenarnya merupakan seorang lelaki dan baru sahaja berusia 32 tahun.

Perwatakannya berubah sekelip mata selepas dia termakan godaan rakan sebaya ketika berusia 18 tahun.

Lebih malang, tindakan kurang matangnya itu menyebabkan masa depannya gelap dan kelihatan le­bih tua daripada usia sebenar.

“Saya tidak menyangka kehidupan saya boleh bertukar sebegini.

“Ketika kecil, ibu dan bapa mendidik saya dengan didikan agama yang sangat sempurna. Walaupun tegas, namun setiap didikan diberi dengan penuh kasih sayang.

“Bagaimanapun, nafsu remaja membuatkan segala-galanya berubah apabila saya mula hanyut de­ngan pengaruh rakan sebaya.

“Kini, perbuatan tersebut mula memakan diri sendiri. Keluarga telah lama membuang saya dan rakan-rakan yang dahulunya berseronok bersama-sama pula lari selepas doktor mengesahkan saya menghidap HIV,” jelasnya memulakan bicara.

Ponteng kuliah

Menurut Zack, ketika di bangku sekolah dia merupakan antara pelajar yang sering dipuji oleh guru-guru kerana memiliki kecemerlangan akademik dan kokurikulum.

Lebih-lebih lagi apabila anak kedua daripada tiga adik-beradik itu berjaya memperoleh pangkat satu dengan 19 agregat ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu menyebabkan dia telah diterima masuk untuk melan­jutkan pelajaran ke sebuah institusi pengajian tinggi di ibu negara dalam jurusan kejuruteraan.

“Sebagai seorang remaja yang sudah terbiasa dengan persekitaran di kampung, saya akui mene­rima kejutan budaya sebaik tiba di Kuala Lumpur.

“Pada waktu itu, saya ditempatkan di dalam sebuah bilik bersama tiga orang pelajar lain. Kesemua mereka berasal dari Kuala Lumpur.

“Dari situ, saya diperkenalkan dengan kelab malam, minuman keras dan pil-pil khayal yang diumpamakan sebagai syurga dunia,” jelasnya.

Menurut Zack lagi, ketika berada di semester pertama, dia sudah berani mengikut rakan-rakan sebiliknya melepak dan berpeleseran di kelab malam sehingga awal pagi.

Lebih memeranjatkan apabila Zack juga sudah mula pandai ponteng kuliah.

“Perkara ini tidak diketahui oleh ibu bapa sehinggalah surat pembuangan universiti dihantar ke rumah.

“Pada waktu itu, ibu dan ayah begitu marah dan kecewa apabila mengetahui saya menipunya. Di­sebabkan terlalu marah, ayah te­lah mengusir saya dari rumah.

“Sejak dari saat itu, saya nekad untuk tidak pulang ke rumah sehingga ke hari ini. Tambahan pula saya sudah mempunyai lubuk ­syurga bersama rakan-rakan untuk berseronok di Kuala Lumpur,” jelasnya.

Penyakit kelamin

Akui Zack lagi, pergaulan bebas menyebabkan dia terikut-ikut de­ngan ajakan rakan sekeliling yang rata-ratanya gemar memakai pakaian wanita.

Dari sekadar melihat, jiwa muda Zack akhirnya terjebak.

Seawal usia 20 tahun, Zack sudah mula berani memakan pil hormon bagi memastikan susuk tubuhnya menarik seperti rakan-rakan ‘wanita’ yang lain.

“Pada waktu itu saya sudah tidak kenal erti dosa dan pahala. Apa yang saya tahu hanyalah ke­seronokan. Diri saya juga sudah kelihatan seperti seorang gadis.

“Kami mendapatkan wang de­ngan bekerja sebagai pemuas kepada lelaki-lelaki bernafsu songsang yang me­ngunjungi kelab malam tersebut.

“Kehidupan kami sangat mewah dan hampir setiap bulan saya bersama beberapa rakan yang lain akan bercuti ke luar negara selepas ditaja oleh ‘bapa ayam’,” jelasnya.

Menurut Zack lagi, biarpun begitu, mereka gemar melancong di sekitar Thailand, Korea dan China kerana negara-negara tersebut menawarkan pembedahan kecantikan pada harga yang murah.

Lokasi tersebut amat digilakan oleh Zack dan rakan-rakannya yang bergantung kepada ‘aset’ serta kecantikan untuk mendapatkan habuan lumayan.

Keseronokan yang dimiliki oleh Zack bagaimanapun tidak bertahan lama apabila pemuda ini di­sahkan menghidap HIV tiga tahu lalu, kesan daripada pergaulan bebas bersama pelanggannya.

“Kepala saya terasa bagai dihempap oleh satu batu yang besar apabila diberitahu mengenai ­berita tersebut.

“Sejak menghidap penyakit tersebut, saya kini tidak lagi dilanggani oleh mana-mana lelaki. Kehidupan harian menjadi sukar apabila wang juga sudah habis.

“Saya juga sudah lama tidak mengambil pil-pil hormon untuk mengekalkan kecantikan. Akibatnya, wajah saya kini kelihatan lebih tua daripada usia sebenar,” jelasnya.

Menurut Zack lagi, dia kini hanya bergantung hidup dengan mengemis dan menerima makanan yang diberikan oleh sukarelawan di sekitar ibu kota.

“Saya begitu menyesal. Andai masa boleh diundur, saya pasti tidak akan melakukan kesilapan lalu,” jelasnya.

Pengaruh rakan sebaya telah menukar Zack daripada seorang pelajar yang pintar kepada pekerja kelab malam menyebabkan masa depan pemuda yang berasal dari utara tanah air itu musnah apabila dia kini disahkan menghidap HIV.