Namun, kehadiran ramai pendaki yang kurang berpengalaman untuk menawan puncak tertinggi di dunia itu mengundang lebih banyak risiko kematian.

Seorang juruterbang syarikat penerbangan India, seorang ahli bina badan dari Ohio, Amerika Syarikat (AS) dan seorang bekas eksekutif jualan atas talian sedang menunggu di pangkalan utama untuk mendaki gunung yang mempunyai ketinggian 8,848 meter itu.

Mereka menggunakan tali yang sama seperti orang lain untuk mendaki. Malah, mereka turut sama menghadapi bahaya seperti gelongsor dan keletihan ketika pendakian tetapi bezanya mereka dikenakan bayaran permit pendakian yang murah.

Penurunan harga itu memberi peluang kepada orang ramai untuk merealisasikan impian seumur hidup menakluki puncak gunung tersebut.

Bagaimanapun, pengkritik memberikan amaran kepada beberapa pengendali Gunung Everest yang mengurangkan harga permit serendah AS$20,000 (RM79,649) dan menerima pendaki tidak berpengalaman.

“Pengendali lain mengenakan caj yang lebih mahal iaitu AS$70,000 (RM278,774) dengan pasukan yang lebih kecil. Malah, mereka mempunyai jaminan keselamatan yang terbaik untuk pelanggan,” tegas pengkritik itu.

Mat Brennan, 57, berkata, ia merupakan matlamat paling besar baginya untuk menakluki dan berdiri atas puncak gunung tertinggi di dunia itu.

Brennan membayar sebanyak AS$65,000 (RM258,862) kepada agensi Alpine Ascents yang berpangkalan di AS untuk melakukan pendakian setinggi 8,000 meter dari aras laut pertamanya.

“Saya selalu mendaki gunung dan sentiasa inginkan yang lebih tinggi. Saya rasa ini adalah masa yang sesuai untuk merealisasikan impian itu,” katanya yang bekerja di sebuah syarikat penerbangan di AS.

Pada tahun 1980, kerajaan Nepal hanya membenarkan satu pasukan untuk satu laluan ke Gunung Everest dan beberapa pendaki berpengalaman bersama pasukan kebangsaan boleh melakukan pendakian.

Selepas syarat itu dibatalkan pada tahun 1990, pihak pengendali menerima ramai pendaki, sekali gus menjadikan ia sebuah industri yang menguntungkan.

Pendaki amatur

Pada tahun ini, seramai 346 pendaki membayar permit pendakian di laluan sebelah selatan Nepal berbanding 373 permit yang dikeluarkan pada tahun 2017.

Malah, seramai 180 pendaki melakukan pendakian dari Tibet dan daripada jumlah itu, enam orang pendaki disahkan meninggal dunia.

Guy Cotter yang menjadi juru pandu arah selama 27 tahun berkata, kini ramai pendaki kurang berpengalaman ingin menawan Gunung Everest.

“Orang ramai boleh mendapatkan permit pendakian pada harga murah di internet tetapi mereka perlu tahu, mereka tiada pengalaman berurusan dengan pihak penjual permit tersebut.

“Malah, kesemua mereka ini bukan pendaki tapi hanya ingin memburu ‘trofi’ iaitu dengan mendaki Gunung Everest,” katanya yang juga merupakan Perunding Pengembaraan yang berpangkalan di New Zealand.

Cotter menambah, pada tahun 1953, Tenzing Norgay dan Edmund Hillary dari New Zealand merupakan lelaki pertama yang sampai puncak Gunung Everest, setelah mencuba sebanyak tujuh kali.

Namun, pendaki amatur hari ini berharap untuk melakukannya pada percubaan pertama mereka dan ia akan mendorong lebih ramai pendaki untuk mengambil risiko.

“Orang lain sudah naik dan sampai ke atas sebelum saya. Jadi, kenapa saya tidak boleh melakukannya,” kata Daneial Horne yang berumur 33 tahun.

Horne membayar AS$70,000 (RM278,774) untuk mendaki Gunung Everest buat kali kedua dan akan mengambil masa beberapa tahun mencari wang bagi membuat percubaan lain jika dia gagal.

Cotter berkata, kebimbangan tentang bayaran permit telah menghantui pendaki Gunung Everest sejak awal ekspedisi dibuka tanpa had.

Ramai yang meramalkan titik perubahan selepas tahun 1996 apabila lapan orang meninggal dunia ketika turun dari puncak Gunung Everest.

Ada antara mereka mempunyai pengalaman terhad dan pada masa itu jurupandu arah kendalikan oleh Rob Hall dan Scott Fisher.

“Pihak pengkritik memberitahu, Hall dan Fischer kedua-duanya meninggal dunia pada pendakian itu kerana terlalu mementingkan pelaburan pelanggan untuk sampai ke puncak gunung.

Ramai pengendali lama Gunung Everest memberikan amaran kepada pendaki dan pengendali yang kurang berpengalaman bahawa mereka akan membawa kepada lebih banyak kematian.

“Saya menjangkakan ia akan menyebabkan lebih banyak kematian di atas gunung selagi pengendali yang membawa mereka itu tidak berpengalaman,” kata Russell Brice yang telah membawa ramai pendaki ke puncak Gunung Everest sejak tahun 1994.

Dia juga menyalahkan sikap beberapa pendaki yang terlalu obses atau ‘demam puncak’ sehingga memaksa diri untuk meneruskan perjalanan walaupun sudah tidak berdaya. – AFP