Ada di antaranya mempunyai sambungan bersiri atau dibahagikan kepada bab-bab. Buku log tersebut turut dipinjam oleh guru dan rakan-rakan yang berminat mengikuti perkembangan cerita rekaannya.

Ketika itu, gaya bahasa dan olahan anak kelahiran Temerloh, Pahang itu banyak dipengaruhi pelbagai genre buku dan novel yang pernah dibacanya.

“Minat menulis tidak pernah padam meskipun setelah saya menamatkan pengajian dalam jurusan kejuruteraan awam di Universiti Teknologi Mara (UiTM) seterusnya ke alam pekerjaan. Saya sebelum ini pernah bekerja di sebuah kilang pembuatan alat ganti kereta.

“Selepas bertahun-tahun menulis, saya hanya dapat menerbitkan buku pertama berjudul 7 Keajaiban Surah Al-Baqarah pada tahun 2012,” katanya yang kini merupakan penulis sepenuh masa kepada K2 ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Begitulah bakat penulisan yang ada di dalam diri Tengku Nurhusni diperakui. Menariknya, kecenderungan itu turut dikongsi bersama suaminya, Hasrul Azrie Zakaria Nor, 40, yang mempunyai minat yang sama.

Bahkan, mengimbau mengenai buku pertamanya itu, Tengku Nurhusni berkata, dia sebenarnya turut meminta bantuan suami untuk membaca terlebih dahulu manuskripnya.

Rupa-rupanya, suaminya yang mempunyai latar belakang pendidikan agama mempunyai bakat terpendam dalam menyunting dan menjadikan kandungan buku lebih menarik.

“Alhamdulillah ia masih dijual dan telah dicetak semula sebanyak dua kali. Selepas buku itu diterbitkan, saya terus menulis buku-buku lain secara konsisten antara dua hingga empat buah buku setahun.

“Sekitar tahun 2014, saya dan suami mula terlibat dalam aktiviti penulisan ghostwriter dan setakat ini pernah menulis bagi pihak lima orang tokoh dari pelbagai bidang dan latar belakang,” jelasnya sekali gus membuka kisah penglibatannya dalam kerjaya unik itu.

Ghostwriter merupakan peluang kerjaya yang boleh diceburi oleh sesiapa sahaja yang mempunyai kemahiran dan bakat penulisan. Ghostwriter yang turut dikenali sebagai penulis upahan atau penulis bayangan menulis bagi pihak orang lain. Justeru, kerjaya ini sering digambarkan sebagai penulis tanpa nama atau penulis yang menulis untuk ‘penulis’.

Signifikan kewujudannya mudah, bukan semua orang dikurniakan bakat menulis.

Lazimnya, ghostwriter akan mendekati atau ditawarkan oleh golongan seperti ahli perniagaan, selebriti, ahli politik, pakar bidang tertentu selain syarikat untuk menulis kandungan buku mereka.

Kekangan masa

Antara sebab utamanya ialah golongan tersebut merupakan antara pihak yang lazimnya mempunyai idea atau bahan penulisan menarik, namun mungkin sesetengah mereka tiada kemahiran untuk menyusun perkataan dan menjadikannya mudah dibaca serta difahami khalayak umum.

Ia bukan sahaja melibatkan buku, bahkan boleh jadi dalam bentuk-bentuk penulisan yang lain seperti teks ucapan, e-buku, blog, laman sosial dan lain-lain.

Selain itu, faktor masa juga menjadi kekangan untuk golongan ini menulis sekali gus memerlukan khidmat ghostwriter. Terdapat juga syarikat penerbitan menggunakan penulis upahan untuk membantu menyiapkan projek-projek buku tertentu.

Secara purata, Tengku Nurhusni berkata, dia boleh menerima bayaran sekitar RM8,000 hingga RM12,000 daripada pelanggan untuk penulisan sebuah buku. Sebuah buku pula mengambil masa antara 20 hari sehingga tiga bulan untuk disiapkan.

Walaupun ibu kepada tiga cahaya mata itu merupakan penulis sepenuh masa, namun dia hanya menulis selama dua jam setiap hari secara konsisten bermula pukul 10 malam hingga 12 tengah malam.

Lazimnya, sebelum mula menulis dan membentangkan kepada pelanggan mengenai konsep isi kandungan, dia terlebih dahulu akan mengkaji karakter pelanggan atau individu yang menjadi subjek lebih-lebih lagi bagi buku bersifat autobiografi atau biografi.

“Sebagai contoh, ketika membuat konsep atur letak bahan penulisan untuk suami yang diberi kepercayaan menulis untuk seorang pendakwah popular, saya cuba menyelami sifat dan personalitinya menerusi video ceramah yang disampaikan.

“Selain itu, saya juga pernah mengkaji Facebook seorang usahawan bermula dari tarikh beliau membuka akaun media sosial itu sehinggalah pada detik posting terbaharu dimuat naik untuk memahami perwatakan individu berkenaan.

“Saya berasa puas apabila figura yang ditonjolkan mengatakan apa yang ditulis benar-benar menggambarkan diri, semangat perjuangan dan jiwa mereka,” jelasnya.

Bukan penipuan

Tengku Nurhusni berkata, terdapat pihak yang beranggapan buku yang dihasilkan ghostwriter tidak asli serta seolah-olah menipu pembaca.

Tidak bersetuju dengan stigma tersebut, dia menegaskan 100 peratus sumber kandungan buku adalah daripada pelanggan. Penulis ghostwriter juga terikat dengan etika dan mengamalkan sikap integriti dalam berkarya.

“Saya melihat kelebihan ghostwriter ini ialah mereka mempunyai kemahiran menyerap maklumat serta memudahkan bahasa jargon iaitu bahasa khusus yang digunakan dalam bidang tertentu kepada bahasa umum yang lebih difahami.

“Misalnya, jika pelanggan meminta saya menulis seni membangunkan modal insan bagi pihaknya, ia merupakan buah fikiran dan kepakaran mereka kerana saya tiada pengetahuan mengenai bidang tersebut,” katanya.

Suri rumah Arina Mohamad Amin, 32, yang mula berjinak-jinak menjadi ghostwriter sejak tahun lalu berkata, aktiviti tersebut membuka ruang kepada golongan suri rumah yang mempunyai minat menulis menjana pendapatan.

Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam jurusan Seni Gunaan dan Reka Bentuk itu sering menggunakan tanda pagar #ghostwriter dan #penulisupahan di laman sosialnya agar khidmatnya diketahui ramai.

“Kalau hendak tulis buku sendiri mungkin memakan masa kerana tiada bahan atau idea menarik yang ingin disampaikan. Justeru, khidmat ghostwriter dapat memupuk momentum untuk seseorang itu mendekati dunia penulisan dan penerbitan buku.

“Penulis ghostwriter tidak sekadar diminta menulis buku. Saya sendiri pernah mendapat tugasan menulis kandungan untuk laman sosial dan blog pelanggan,” ujarnya.

Sementara itu, pengasas laman upahmenulis.com, Nordianah Bachok, 38, berpendapat ghostwriter perlu mempunyai sistem bekerja yang berstruktur meliputi aspek mengira kos, menyediakan perjanjian dan sebut harga.

Aktif mengendalikan bengkel dan kursus khas melatih penulis upahan sejak 2017, beliau turut menubuhkan Persatuan Penulis Upahan Malaysia bagi melindungi hak serta menjaga kebajikan golongan tersebut.

“Sebelum memulakan sesuatu projek, ghostwriter sepatutnya menyediakan dokumen perjanjian yang jelas mengenai kadar bayaran agar tiada salah faham antara kedua-dua belah pihak selain boleh dirujuk kembali jika ada masalah berbangkit pada masa depan.

“Sebagai panduan, kos standard yang lazim dicadangkan bagi penulisan sehelai kertas A4 misalnya antara RM40 hingga RM100 bergantung kepada tahap kesukaran dan kos-kos lain yang perlu ditanggung ghostwriter seperti perjalanan jauh dan sebagainya,” jelasnya.

Ghostwriter merupakan penulis upahan yang memanfaatkan kemahiran menulisnya untuk pihak atau orang lain meliputi pelbagai skop penulisan tanpa namanya dinyatakan sebagai penulis karya itu.