Majlis anjuran World Education Congress, CMO Asia dengan Majlis CMO sebagai Rakan Kongsi Strategik, manakala Stars of the Industry Group sebagai rakan kongsi penyelidikan itu mengiktiraf institusi dan individu yang melepasi beberapa tahap kecemerlangan dan menjadi contoh sebagai role model dan kepimpinan teladan.

Selain itu, anugerah tersebut mengiktiraf individu yang membina institusi mereka melalui kepimpinan dan inovasi dengan objektif utama melahirkan pemimpin masa depan.

Mir Azrul, 41, yang terkejut apabila namanya diumumkan berkata, penerima anugerah tersebut sebelum ini terdiri daripada Timbalan dan Naib Canselor universiti awam di Malaysia dan apabila ia pertama kali dianugerahkan kepada penerima bukan daripada bidang akademik, ia benar-benar memberi kejutan kepadanya.

Bagaimanapun, ujar lelaki yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak itu, anugerah tersebut merupakan satu pengiktirafan bukan sahaja buat kakitangan bukan akademik di IIUM malah buat semua kakitangan bukan akademik di universiti awam lain bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Terkejut

“Ketika mula-mula diberitahu (mengenai anugerah) saya terkejut sebab sebelum ini, bila saya lihat semula nama penerima, mereka terdiri daripada Naib Canselor atau Timbalan Naib Canselor universiti awam. Kecil diri saya berbanding mereka.

“Cuma saya rasa, mungkin anugerah itu berkaitan dengan artikel bertajuk Change Management in IIUM yang diterbitkan dalam International Journal of Business, Management and Innovation (IJBMI),” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Selain Mir Azrul, penerima anugerah tersebut adalah Profesor di Fakulti Pengurusan Maklumat Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun 2018, Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kol. Prof. Ir. Dr. Norazman Mohamad Nor dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dr. Mohd. Sahandri Gani Hamzah (2017), bekas Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UiTM), Prof. Dr. Ir. Abdul Rahman Omar (2016); bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang, Prof. Datuk Dr. Daing Mohd. Nasir Daing Ibrahim (2015) dan bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak (2013).

Mengulas lanjut, Mir Azrul berkata, beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Khas kepada Tan Sri Rais Yatim yang ketika itu merupakan Presiden IIUM.

Beliau yang selepas itu dilantik sebagai Pengarah Pentadbiran di Gambang pada Julai 2018 menambah, tanggungjawab yang datang bersama anugerah tersebut membuatkan beliau perlu lebih berusaha untuk membuktikan kelayakannya.

Mempunyai seramai kira-kira 4,000 individu terdiri daripada 330 staf pentadbiran, akademik dan sokongan serta 3,500 pelajar yang memerlukan perhatiannya, Mir Azrul yang pernah belajar di Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Muzwin, Kuala Kangsar dan Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh optimis tugas sebagai pentadbir universiti boleh digalas dengan baik sekiranya kerja-kerja itu dilakukan lebih daripada rutin biasa.

Agen perubahan

“Pada saya, sebagai pentadbir universiti, kita perlu bersungguh-sungguh dalam menjalankan tugas. Mungkin orang menganggap kerja pentadbir sekadar satu kerjaya biasa tetapi sebenarnya, pentadbir itu sendiri perlu menjadi agen perubahan yang boleh memberi idea bagi proses penambahbaikan.

“Kalau kita buat rutin biasa, itu saja. Tidak ada beza kita dengan kerja yang lain. Di universiti, ahli-ahli akademik lazimnya memandang golongan pentadbir sebagai golongan kelas kedua dan sebab itu, kita perlu pandai menterjemahkan ilmu yang kita ada supaya dapat dipraktikkan di universiti dan tempat kerja kita,” ujar anak keempat daripada lima beradik itu.

Mir Azrul yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Utara Malaysia, Sintok dan sedang melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Pengurusan di Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar (dulu dikenali sebagai Kolej Islam Perak di Ipoh) merupakan seorang yang aktif dalam pelbagai aktiviti bersama badan bukan kerajaan (NGO) seperti Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia Indonesia (YIRMI) dan khidmat komuniti di bawah Yayasan Budi.

Beliau turut dipilih sebagai Pemegang Amanah YIRMI selama tiga tahun iaitu sehingga tahun 2018 dan menjadi AJK Pusat bagi Yayasan Budi sejak tahun 2017.

Integriti

“Dalam menjalankan tugas dan menunaikan amanah, paling penting diri sendiri perlu ada integriti dan ia tidak boleh dikompromi. Apabila kita ada integriti, kita boleh menjalankan tugas tanpa rasa takut atau dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

“Perkara kedua, kita mesti ada perancangan, fikir tentang hala tuju dan ke mana kita mahu bawa organisasi dipimpin. Kalau kita sudah ada dua perkara ini, tidak mustahil organisasi dipimpin boleh bergerak seiring,” ujarnya.

Mengakhiri perbualan, beliau mahu merakamkan penghargaan buat Rais yang banyak mengajar dan berkongsi pengalaman sebagai mentornya serta IIUM yang telah mengambilnya bekerja sejak 18 tahun lalu.

Tanggungjawab yang digalas dengan penuh integriti dan perancangan mampu membuatkan seorang pemimpin itu bergerak seiring dalam menghasilkan kejayaan.