Bapa kepada 13 orang anak dan suami kepada dua orang isteri itu yang sememangnya meminati penanaman pokok bunga kemudian meminta anak-anaknya mencari anak pokok kelapa di kawasan berhampiran kediamannya di Pekan Nenas, Pontian, Johor.

Ketika itu, dia yang tidak boleh bangun mula melihat cara-cara menanam bonsai kelapa di Facebook dan turut bertanya soalan kepada rakan-rakan di laman sosial bagi mendapatkan hasil dan reka bentuk yang menarik.

Menurutnya, pokok kelapa biasa ditanam di atas tanah dan kebanyakan orang mengambil umbut, daun, lidi atau buah kelapa untuk dimakan, diminum atau dijadikan santan dan sebagainya.

Namun, belum pernah lagi dia melihat mana-mana individu menanam pokok bonsai kelapa seperti yang popular di negara jiran itu.

“Selepas melihat perkongsian di Facebook, saya mula membuatnya secara perlahan-lahan. Saya melakukannya bermula sekadar hobi dan apabila bilangannya sudah banyak, terbit juga rasa mahu berniaga tetapi hasil tangan saya itu ada yang menjadi dan ada pula yang rosak,” kata ahli perniagaan itu ketika dihubungi K2 baru-baru ini yang mengimbau mengenai penglibatan awalnya dalam seni tanaman bonsai kelapa.

Sementara itu, seorang lagi peminat bonsai kelapa, Khairul Amri Kamarulzaman, 46, berkata, penanaman pokok kelapa bonsai itu tidak semudah yang disangka apabila ia mudah mati jika tersalah potong bahagian pelepahnya.

“Perasaan seronok itu timbul apabila ia menjadi seperti yang kita mahu iaitu apabila sudah menjadi batang kelapa dan daunnya juga terbuka atau ‘pecah’. Namun, seni ini memerlukan jangka masa yang panjang, misalnya akar sebatang pokok itu perlu diletakkan di dalam medium air selama antara enam hingga tujuh bulan sebelum dipindahkan ke atas tanah.

“Ia memerlukan penjagaan rapi kerana apabila akar mula dipindahkan, ia mudah menjadi kering dan mati. Bagi mengelak kejadian itu berlaku, akar dan tempurung perlu dibalut dengan kain agar sentiasa lembap,” ujarnya.

Berhati-hati

Sepanjang proses pembentukan daun pula, kata Khairul Amri yang tinggal di Taman Seri Serdang, Serdang, Selangor, pelepah batang perlu dipotong untuk membolehkan ia membentuk tunas baharu. Proses pemotongan yang dikenali sebagai sayat itu perlu dilakukan secara berhati-hati dan tidak boleh terkena air kerana ia boleh menyebabkan umbut kelapa membusuk dan akhirnya mati.

“Serangga seperti semut suka pada umbut kelapa dan sebab itu penjagaannya perlu rapi. Jadi, tidak hairanlah ada antara bonsai kelapa boleh mencecah sehingga ribuan ringgit sebatang bergantung pada bentuk dan akar setiap pokok tersebut,” katanya yang menyimpan impian untuk membuka nurseri bagi menjual bonsai kelapa dan pokok-pokok lain.

Tambah bapa kepada tiga orang cahaya mata itu, dia sendiri akan membawa hasil-hasil tanaman tersebut ke mana-mana acara dan festival misalnya Festival Bunga dan Taman Floria Diraja Putrajaya (Floria) pada tahun lalu bagi mempopularkan bonsai kelapa kepada umum.

“Apabila sudah mula menanam pokok ini, saya jadi sayang dan akan memastikan ia disiram dua hari sekali bagi mengelak ia kering dan mati,” ujarnya.

Seorang lagi peminat bonsai kelapa, Abdul Rahman Satiman dari Kampung Keladi, Kulim, Kedah memberitahu, pembuatan bonsai kelapa itu sendiri mempunyai keunikan tersendiri terutama apabila daun pelepahnya mula mekar.

Selain itu, akar bonsai kelapa kata Abdul Rahman, 46, boleh ditentukan sendiri ke mana arahnya bagi mendapatkan hasil yang menarik.

“Saya sekarang mempunyai 120 batang pokok dan bercadang untuk menambahnya sehingga 500 pokok pada masa akan datang kerana hasil jualannya menunjukkan pulangan yang baik.

“Penanaman pokok ini tidak memerlukan modal yang tinggi. Jika dahulu saya boleh dapatkan kelapa secara percuma tetapi sekarang sudah perlu membayarnya sehinggakan ada yang menjualnya RM10 sebiji. Mungkin mereka sudah mula lihat pulangan yang diterima daripada hasil penjualannya,” ujarnya ketawa.

Pada masa sekarang, Abdul Rahman bukan sahaja menjual bonsai tersebut, malah dia turut mengajar pembeli cara-cara untuk menjaganya.

Batu laut

Sementara itu, pasangan suami isteri dari Sungai Petani, Kedah iaitu Ahmad Rustam Sulaiman, 49, dan Normimi Johari, 49, mempunyai cara tersendiri menghasilkan bonsai kelapa iaitu ditanam di atas batu laut dan batu pulau.

Cerita Normimi, idea tersebut tercetus daripada minat suaminya yang gemar masuk ke hutan dan meneroka perkara baharu hasil carian di internet.

“Pada mulanya suami saya melihat cara penanaman pokok bonsai atas batu yang ditanam di Jepun dan Korea. Jadi, apabila dia masuk ke hutan atau pulau dan melihat batu unik dan cantik, dia cuba tanam tanaman. Dari situ minat itu timbul apabila melihat hasilnya yang menarik.

“Bermula dari situ, kami mula menanam pelbagai pokok yang boleh dijadikan bonsai di atas batu dan apabila melihat bonsai kelapa menjadi trend, kami turut mencuba. Menariknya apabila kami jadikan batu sebagai tapak dan menambah unsur landskap bagi memberi nilai tambah kepada pokok itu supaya lebih menarik,” ujarnya pula.

Pada masa sekarang, Normimi dan suaminya menjual pokok tersebut secara online dan masih dalam proses untuk membuka nurseri jualan pokok sendiri.

“Pada masa ini, kami membekalkan tanaman ini di bahagian utara tanah air sahaja dan kebanyakan yang berminat untuk membeli pokok bonsai ditanam atas batu ialah kaum Cina. Kami pernah berkongsi idea penanaman kelapa bonsai di atas batu dengan kawan-kawan dalam kumpulan WhatsApp dan mereka juga terkejut.

“Kami turut pernah berhasrat untuk menyertai Floria namun tidak berkesempatan kerana sebaik sahaja tanaman disiapkan untuk dibawa ke ekspo ia sudah habis diborong pelanggan,” katanya yang mahu menghasilkan lebih banyak pokok kelapa bonsai di atas batu.