Sejak itu, mereka sering berhubung antara satu sama lain dan bagi Natasha yang baru berumur 23 tahun, lelaki yang dikenalinya itu amat baik dan sering mengambil berat tentang dirinya

“Setelah saling berhubung, ia telah menimbul bibit-bibit percintaan antara kami. Tidak dapat dinafikan dia seorang lelaki yang matang dan pandai mengambil hati saya.

“Setelah hampir lima bulan menjalinkan hubungan cinta, dia kemudiannya memberitahu hal sebenar bahawa dia adalah suami orang dan ayah kepada dua cahaya mata. Saya amat terkejut pada waktu itu. Saya cuba untuk memutuskan hubungan kami tetapi dia pandai mengambil hati dan memujuk untuk saya terus bersamanya,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Tambahnya, disebabkan perasaan cinta yang mendalam terhadap lelaki tersebut Natasha mengambil keputusan untuk meneruskan hubungan mereka.

Tidak lama selepas itu, lelaki tersebut telah menyatakan hasrat untuk menjadikan Natasha sebagai isterinya yang sah.

Memandangkan lelaki tersebut masih berstatus suami orang, mereka terpaksa melangsungkan perkahwinan tanpa kebenaran di Thailand

“Atas sebab cinta saya bersetuju untuk berkahwin di Thailand tanpa pengetahuan ahli keluarga. Saya tidak kisah semua itu, apa yang penting saya dapat berkahwin dengannya dan kami sah untuk menjalinkan hubungan sebagai pasangan suami isteri.

“Kesemua urusan perkahwinan diuruskan oleh seorang ejen yang merupakan kenalan kepada suami saya,” katanya.

Realitinya, melangsungkan perkahwinan di Thailand bukanlah sesuatu yang baharu.

Khidmat ejen

Kini banyak ejen yang menguruskan perkahwinan di negara Gajah Putih tersebut dengan mengiklankan perkhidmatan mereka di laman sosial Facebook.

Seorang ejen dikenali sebagai Faiz yang menguruskan urusan perkahwinan di Thailand menjelaskan, ramai pasangan mengambil keputusan untuk berkahwin di negara jiran itu kerana urusannya yang mudah.

Tegasnya, dia telah menjadi ejen menguruskan perkahwinan di Thailand sejak tahun 2017 dan lebih 10 pasangan telah dibawanya ke negara tersebut untuk tujuan demikian.

“Harga yang dikenakan untuk mereka melangsungkan perkahwinan di Thailand adalah antara RM2,500 hingga RM3,000 dan tempoh urusan adalah selama dua hari satu malam. Ada pasangan yang sanggup menawarkan upah sehingga RM5,000 hingga RM6,000 bagi membolehkan mereka berkahwin di negara tersebut.

“Mereka hanya perlu datang ke pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam di Kedah dan urusan kenderaan, perkahwinan dan penginapan akan diuruskan oleh saya,” katanya.

Tambahnya, ramai yang memilih untuk berkahwin di Thailand kerana prosedurnya yang mudah dan kosnya yang murah.

Dalam pada itu, Faiz menjelaskan, urusan perkahwinan tersebut akan dilangsungkan di sebuah masjid di Songkhla, Thailand yang terletak kira-kira 90 kilometer dari pintu sempadan Bukit Kayu Hitam.

Kebiasaannya urusan perkahwinan akan dilakukan pada sebelah pagi bagi membolehkan surat pengesahan dihantar ke Pejabat Konsulat Malaysia di Songkhla dan akan diambil semula pada keesokan harinya.

Surat pengesahan itu penting bagi membolehkan mereka untuk mendaftar perkahwinan di Malaysia kelak.

Sementara itu, Faiz menjelaskan, kebanyakan mereka yang memilih untuk berkahwin di Thailand adalah untuk berpoligami tetapi tidak mendapat kebenaran isteri pertama.

“Selain itu ada juga pelajar-pelajar yang memilih untuk berkahwin di sini kerana mendapat tentangan keluarga untuk berkahwin di Malaysia. Saya pernah membawa pasangan pelajar yang berasal dari Malaysia dan sebuah negara Asia Barat untuk melangsungkan perkahwinan di sini.

“Selain itu, ada juga pasangan janda dan duda yang memilih untuk berkahwin di sini. Mereka menjelaskan urusan perkahwinan di negara jiran itu lebih mudah dan mereka tidak perlu mengikuti kursus perkahwinan semula untuk berkahwin di Thailand,” katanya.

Tambahnya, apabila selesai urusan perkahwinan di Thailand, dia menasihati kesemua pasangan untuk mendaftar perkahwinan mereka di Malaysia bagi membolehkan tiada masalah yang timbul di kemudian hari.

Kebanyakan pasangan yang memilih untuk berkahwin di Thailand adalah mereka yang tinggal di negeri-negeri yang bersempadan dengan negara tersebut.

Kedah antara negara yang mencatatkan jumlah tertinggi kes berkahwin di Thailand.

Pada Mac lalu, Bernama melaporkan, kes pasangan dari Kedah yang berkahwin tanpa kebenaran di Thailand dilihat semakin membimbangkan apabila sebanyak 799 kes dica­tatkan tahun lalu, meningkat 233 daripada 566 kes pada 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Ke­sihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, jumlah itu merangkumi kesa­lahan pernikahan tanpa kebenaran dan berpoligami tanpa kebenaran yang direkodkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri ini.

“Kesalahan nikah di Thailand ini terbahagi kepada pernikahan tanpa kebenaran seperti nikah di sana (Thailand) sebab keluarga menghalang iaitu ke­salahan di bawah Seksyen 40(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kedah) 2008 dan poligami tanpa kebenaran yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 124 enakmen sama.

“Sebanyak 502 kes pernikahan tanpa kebenaran dan 297 kes poligami tanpa kebenaran dicatatkan tahun lalu manakala 406 kes pernikahan tanpa kebenaran de­ngan 160 kes poli­gami tanpa kebenaran pula direkodkan berlaku tahun sebe­lumnya,” katanya ketika ditemui Bernama di pejabatnya di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

Katanya, berdasarkan statistik tahun lalu, pasangan dari daerah Kota Setar mencatatkan jumlah tertinggi yang melakukan kesalahan itu dengan 118 kes diikuti Langkawi (116), Kubang Pasu (110) dan Pendang (44 kes).

Ismail berkata, beliau percaya masih ramai pasangan dari negeri Kedah yang berkahwin di negara jiran tidak mendaf­tarkan perkahwinan mereka di pejabat agama Islam di sini dan keada­an itu amat membimbangkan kerana akan memberi im­plikasi terhadap hak isteri dan urusan pendaftaran anak kelak.

Pemudah cara

Bagi menangani masalah itu, beliau berkata, kerajaan ne­geri telah mengambil inisiatif melaksanakan kempen Jom Daftar Nikah mulai 1 Mac lalu yang bertujuan menggalakkan pasangan yang belum mendaftar perkahwinan mereka untuk berbuat demikian.

Katanya, menerusi kempen itu jabatan agama Islam negeri akan menjadi pemudah cara termasuk membantu menyediakan segala urusan dokumentasi untuk pasangan tersebut mendaf­tarkan pernikahan mereka.

Kempen ini merupakan ha­sil kesinambungan program Mai Daftar Nikah 2018 daripada kerajaan negeri terdahulu.

Bagaimanapun, Ismail berkata, pasangan terbabit tetap dikenakan denda yang akan ditentukan oleh Hakim Mahkamah Syariah berdasarkan kesalahan dilakukan.

“Saya jamin jumlah denda itu nanti tidak akan membebankan pasangan yang mendaftarkan pernikahan menerusi kempen ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pejabat Konsul Malaysia di Songkhla, Thailand, merekodkan peningkatan permohonan rakyat Malaysia untuk mendapatkan surat pengesahan pernikahan di selatan Thailand sejak 2011.

Konsul Jeneralnya, Mohd. Afandi Abu Bakar berkata, sebanyak 4,653 permohonan surat pengesahan pernikahan diterima tahun lalu berbanding 4,375 pada 2017.

Menurutnya, mengikut statistik, pejabat itu menerima 2,885 permohonan pada 2011, sebanyak 3,463 (2012), diikuti 3,485 (2013), 3,831 (2014), 4,081 (2015) dan 4,178 (2016).

Mohd. Afandi berkata, majoriti permohonan melibatkan pasangan yang telah berkahwin dua atau tiga tahun dan ia diajukan mungkin atas beberapa sebab seperti keperluan mendaftarkan anak.

Kebanyakan permohonan itu, kata beliau, melibatkan perkahwinan sesama rakyat Malaysia di pejabat-pejabat agama Islam di selatan Thailand.

Permohonan surat pengesahan pernikahan itu turut diterima daripada mereka yang telah berkahwin selama 20 tahun, namun bilangannya kecil, katanya.

Beliau menasihati rakyat Malaysia supaya tidak menggunakan ejen dalam urusan pernikahan yang mungkin menjurus kepada masalah dari segi status perkahwinan kelak.