SIFAT seorang peniaga kedai runcit yang menerima wang kertas yang
SIFAT seorang peniaga kedai runcit yang menerima wang kertas yang koyak daripada pelanggan dipuji orang ramai.

Cerita tersebut yang dikongsi sendiri oleh pemilik kedai runcit tersebut di dalam laman Facebooknya bernama Roselin D. Richard telah mendapat perhatian kira-kira 22,000 pengguna laman sosial selepas kisah tersebut tular.

Menurut kisah yang diceritakan Roselin, dua orang kanak-kanak telah datang ke kedainya untuk membeli roti dan memberikan wang kertas yang telah koyak.

Bagi kebanyakan peniaga lain, rata-rata mereka tidak akan menerima wang kertas yang telah rosak dan akan meminta pelanggan untuk memberikan wang kertas lain.

Bagaimanapun, Roselin tidak berbuat demikian kerana berasa kasihan selain mendakwa wang kertas yang telah rosak itu boleh ditukarkan dengan wang baharu di Bank Negara.

Sebagai seorang peniaga, Roselin sering kali menerima wang kertas yang telah terkoyak dan buruk, namun tetap mengambilnya dan dikumpul di dalam sebuah bekas untuk ditukarkan dengan wang baharu.

Tindakan Roselin yang berasal dari Sabah itu telah membuka mata netizen yang rata-ratanya memuji tindakannya yang bukan sahaja menerima wang koyak daripada dua orang kanak-kanak tersebut, malah daripada kesemua pelanggannya.