Berkorban merupakan salah satu ibadah suci seperti yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim kepada anaknya, Nabi Ismail bagi memenuhi perintah Allah.

Ekoran daripada peristiwa itu, umat Islam disyariatkan untuk melaksanakan ibadah korban.

Menerusi ibadah ini, kita dididik untuk mengorbankan sesuatu yang disayangi. Dalam konteks dunia hari ini, wang merupakan perkara yang dicintai oleh manusia.

Menyedari keistimewaan ibadah korban di sisi Allah, Amirul Asraf Ahmad Sapian, 29, tidak melepaskan peluang untuk melaksanakannya.

Kumpul wang

“Tiga tahun lalu, saya menunaikan amanah arwah ibu yang meminta kami sekeluarga melakukan ibadah korban seekor lembu untuk setiap ahli keluarga sekiranya berkemampuan.

“Tahun ini merupakan kali kedua saya melakukan ibadah korban,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Ujar Amirul Asraf, beliau berasa puas dan teruja untuk melakukan ibadah ini kerana percaya kepada pahala amalan sedekah serta kesannya kepada kehidupan sehingga dikurniakan ganjaran yang tidak disangka-sangka.

Terang anak ketiga daripada lima adik-beradik itu, semua orang mampu melakukan ibadah korban jika bijak menyimpan wang.

“Ibadah ini hanya dilakukan setahun sekali, sekali gus memberi peluang untuk mengumpul wang.

“Saya mendisiplinkan diri untuk mengumpul RM50 sebulan dan setelah cukup setahun ia berjumlah RM600. Maka, cukuplah untuk membayar satu bahagian lembu,” tutur Eksekutif Bahagian Kualiti sebuah syarikat swasta di Kapar, Selangor itu.

Tidak dinafikan, ada segelintir umat Islam yang memandang ringan ibadah ini apatah lagi tidak berasakan Hari Raya Aidiladha sebagai satu perayaan besar.

Hari raya itu dilalui tanpa rasa apa-apa sama seperti hari-hari biasa dan begitulah rutin yang dilalui saban tahun.

Menurut pendakwah bebas, Zul Ramli Mohamed Razali, Hari Raya Aidiladha mempunyai kedudukan dan kemuliaan yang tertinggi berbanding Hari Raya Aidilfitri.

“Umat Islam akan menyambutnya pada 10,11,12 dan 13 Zulhijah pada setiap tahun dan akan bertakbir sepanjang empat hari itu.

“Berbeza dengan Hari Raya Aidilfitri, kita hanya bertakbir pada Maghrib 1 Syawal dan berakhir pada pagi esoknya selepas khutbah raya,” jelasnya.

Oleh itu, bilangan takbir itu telah menunjukkan kebesaran Hari Raya Aidiladha dan keistimewaannya berbanding Hari Raya Aidilfitri.

Manusia hebat

Jelasnya, kesanggupan manusia untuk berkorban apa sahaja yang disayangi demi mengejar cinta Allah menjadikan perayaan ini sangat hebat.

Tambahnya, ketika melakukan ibadah korban dan haji, kita dapat belajar serta merasai pengorbanan daripada manusia hebat iaitu Nabi Ibrahim dan keluarganya.

Allah mahu kita meniru pengorbanan daripada manusia hebat itu yang diuji untuk mengorbankan anak tersayangnya iaitu Nabi Ismail semata-mata menurut perintah-Nya.

Mengulas mengenai hukum ibadah korban, Zul Ramli berkata, ia merupakan sunat muakkad iaitu sunat yang dituntut.

Rasulullah sangat menganjurkan ibadah korban ini seperti yang disebut dalam sebuah hadis:

“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh manusia pada hari raya korban yang lebih disukai Allah daripada mengalirkan darah (yakni menyembelih korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk-tanduknya, kuku-kuku dan bulu-bulunya (dan diletakkan di atas timbangan). Dan sesungguhnya darah binatang korban itu mendapat kedudukan di sisi Allah di suatu tempat yang tinggi sebelum ia jatuh di atas bumi. Oleh itu, ikhlaskanlah hati kamu ketika berkorban itu.” (Riwayat Imam at-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim daripada Saidatina ‘Aisyah.

Di samping itu, beliau turut menyarankan agar umat Islam memperbanyakkan amalan soleh pada 1 hingga 10 Zulhijah kerana ganjarannya sangat besar.

Mengupas mengenai pandangan masyarakat terhadap perayaan ini, Zul Ramli berkata, jika dibandingkan pada tahun-tahun sebelum ini, sudah berlaku peningkatan dalam ibadah korban apabila banyak diadakan di masjid-masjid tetapi ia hanya berlaku dalam komuniti kecil.

Justeru, beliau mencadangkan agar kesedaran mengenai hal ini perlu dipertingkatkan dan kita seharusnya menyambut Hari Raya Aidiladha dengan meriah sama seperti Hari Raya Aidilfitri.