Dia sempat melihat pelanggan-pelanggan di sekeliling restoran mamak lokasi ketika dia ditemu bual. “Kamu lihat, semua orang sudah ada telefon bimbit sendiri. Semuanya canggih-canggih, mereka sudah tidak memerlukan telefon awam,” katanya.

Hakikatnya, telefon awam pernah menjadi alat perhubungan terpenting dalam kalangan masyarakat di negara ini terutamanya sekitar tahun 70-an hingga 90-an.

Mengimbau kembali pengaruh telefon awam dalam hidupnya, Zulazri yang berasal dari Sungai Petani, Kedah hanya ketawa kecil.

Dia memaklumkan alat komunikasi tersebut pernah menjadi ‘sesuatu’ yang penting dalam hidupnya.

Katanya, dia menggunakan telefon awam untuk berhubung dengan kekasihnya terutama pada sebelah malam.

“Ketika itu, telefon awam sama penting dengan telefon bimbit pada hari ini. Kalau tidak guna sehari, rasa macam tidak lengkap hidup.

“Telefon awam ini popular ketika saya di sekolah menengah. Jadi, waktu itu memang saya gemar ‘bergayut’ untuk berbual-bula dengan buah hati.

“Kalau semalam, boleh habis hampir RM7 juga duit syiling. Orang kata, sampai panas ganggang telefon,” katanya sambil ketawa.

Telefon awam biasanya dipasang di tiang lampu tepi jalan atau kawasan tumpuan ramai seperti pusat beli-belah, taman perumahan, perhentian bas dan sekolah.

Zulazri yang berkhidmat sebagai anggota keselamatan berkata, telefon awam pernah menjadi penyelamat keluarganya.

Jelas bapa kepada seorang cahaya mata itu, pernah suatu ketika sepupunya mengalami kecederaan teruk pada dahi akibat terjatuh ketika bermain.

“Waktu itu ibu bapa saya tiada di rumah kerana sedang bekerja. Jadi, saya terus berlari ke pondok telefon awam.

“Dengan pantas, saya dail talian 999 untuk mendapatkan bantuan ambulans. Kalau tiada telefon awam, saya tidak tahu nasib sepupu saya,” katanya.

Bagaimanapun, zaman telefon awam tidak bertahan lama. Ia mula merudum menjelang tahun 2000 selepas telefon bimbit digunakan secara meluas.

Situasi ini menyebabkan syarikat pengelola telefon awam ketika itu, Telekom Malaysia, Hello menjual perkhidmatan tersebut kepada syarikat lain.

Difahamkan, telefon awam yang beroperasi di negara ini diuruskan oleh beberapa syarikat kecil dan orang perseorangan yang terdiri daripada bekas pekerja syarikat telekomunikasi.

Kini, dianggarkan terdapat kira-kira 30,000 hingga 40,000 telefon awam di negara ini. Persoalannya berapa banyak yang masih beroperasi?

Salah seorang pemilik syarikat pemasangan telefon awam, K. Vijayan, 36, memberitahu, industri telefon awam semakin tenat disebabkan kurangnya permintaan.

Jelas pemilik syarikat Easycall Payphone yang ditubuhkan sejak sedekad lalu itu, permintaan untuk pemasangan telefon awam masih ada tetapi terhad kepada kawasan-kawasan tertentu.

Kos operasi

“Kalau dahulu, hampir semua tempat dan kawasan mempunyai sekurang-kurangnya satu telefon awam untuk kegunaan bersama.

“Namun kini, kami hanya mendapat permintaan pemasangan telefon awam di sekolah, asrama, kem tentera dan perumahan rakyat,” katanya yang berpengalaman luas dalam industri telefon awam.

Easy Payphone yang mempunyai empat kakitangan tetap mempunyai lebih 1,000 buah telefon awam di seluruh negara.

Vijayan yang menetap di Kuantan, Pahang memberitahu, kebanyakan pengusaha syarikat telefon awam di negara ini beroperasi dengan keuntungan minimum.

Katanya, ia berpunca daripada penggunaan yang rendah selain peningkatan kos operasi dari tahun ke tahun.

“Kami membuat pengutipan wang setiap sebulan sekali. Purata wang yang diperoleh sekitar RM200 untuk setiap satu telefon awam.

“Ia berbeza ketika zaman kegemilangannya dahulu. Seminggu tiga kali kami akan membuat kutipan,” katanya sambil memaklumkan kadar panggilan adalah 20 sen seminit.

Walaupun begitu, selagi perkhidmatan tersebut masih diperlukan oleh orang ramai, pihaknya sentiasa bersedia untuk memasang telefon awam.

Perubahan

Sementara itu, Pengasas dan Pegawai Eksekutif MyFon, Shafie Saleh berkata, industri telefon awam memerlukan perubahan ketika bersaing dengan telefon pintar.

Jelasnya, perubahan tersebut juga perlu disesuaikan dengan perubahan gaya hidup masyarakat yang semakin pantas.

“Saya masih yakin, telefon awam masih diperlukan orang ramai terutamanya pada waktu-waktu tertentu.

“Bagaimanapun, cara untuk mengakses telefon awam perlu diperbaharui dengan teknologi baharu seiring tuntutan orang ramai,” katanya.

Perubahan gaya hidup masyarakat itu telah memberi peluang kepada Shafie untuk mewujudkan telefon awam yang dapat diakses tanpa syiling.

Telefon awam yang dikenali sebagai MyFon itu yang pertama di dunia boleh diakses menggunakan kad sim.

Menariknya, kad sim keluaran Tune Talk yang digunakan pada MyFon boleh dimasukkan dalam telefon bimbit.

“Saya sedar, masyarakat sekarang terutamanya golongan muda tidak suka membawa wang tunai terutamanya syiling.

“Situasi ini memberi ilham kepada saya untuk menerapkan elemen tanpa tunai kepada telefon awam,” katanya yang pernah berkhidmat dengan Telekom Malaysia.

MyFon digunakan secara meluas oleh para pelajar di lebih 100 buah sekolah berasrama penuh di seluruh negara.

Penerimaan ini bertitik tolak daripada beberapa kemudahan yang ditawarkan. Antaranya kad sim boleh ditambah nilai di mana-mana, data percuma dan penggunaan khidmat pesanan ringkas.

Menurut Shafie, telefon awam masih diperlukan oleh masyarakat terutamanya dalam situasi kecemasan seperti kehilangan atau tertinggal telefon bimbit.

Jelasnya, dengan adanya telefon awam ia dapat membantu memudahkan mangsa membuat panggilan kepada orang ramai yang dapat memberi bantuan.

“Pernah sekali, sewaktu berada di pusat beli-belah, saya secara tidak sengaja tertinggal telefon bimbit dan kunci kereta dalam kereta.

“Ketika itu, puas saya cari telefon awam untuk menghubungi isteri supaya dia boleh membawa kunci pendua kepada saya.

“Ini jelasnya menunjukkan kita masih memerlukan telefon awam dalam situasi mendesak. Namun, usaha ini memerlukan sokongan daripada pihak kerajaan,” katanya.

Meskipun zaman kegemilangan telefon awam semakin malap, namun fungsi dan keperluannya masih relevan dengan sedikit suntikan perubahan.