Baru-baru ini, Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli Dr. Xavier Jayakumar mahu membawa isu undang-undang melibatkan ganja ke Kabinet.

Beliau berharap perubatan berasaskan ganja tidak dianggap sebagai jenayah mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Penggunaan ganja untuk perubatan mencetuskan polemik selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor menjatuhkan hukuman mati terhadap Muhammad Lukman Hakim pada 30 Ogos lalu atas kesalahan memiliki, memproses dan mengedarkan minyak diperbuat daripada ganja bagi tujuan perubatan.

Menurut Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan, Universiti Malaya (UMCAS), Dr. Rusdi Abd. Rashid, cadangan yang diutarakan oleh kerajaan untuk menyahkan ganja daripada akta tersebut harus dipertimbangkan.

“Bagi saya tidak semua penagih ganja ini melakukan jenayah. Jika mereka ditangkap tidak sepatutnya dipenjarakan.

“Malah, lebih elok dihantar ke hospital terlebih dahulu untuk melakukan pemeriksaan tahap ketagihannya sebelum dibawa ke pusat kaunseling,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Jelasnya lagi, masyarakat harus memahami bahawa menyahkan ganja daripada akta itu bukan bermaksud ia boleh digunakan oleh semua orang.

Namun, beliau berkata, ia sebenarnya mempunyai pengawalan dari segi kuasa memberi dan hanya orang yang patut diberi dibolehkan.

“Contoh, pesakit itu menghadapi penyakit kronik seperti kanser dan hanya penggunaan ganja boleh menyembuhkannya.

Kajian

“Jadi, hanya doktor yang berkuasa untuk memberikan kebenaran untuk menggunakan ganja itu kepada pesakit,” jelasnya yang beranggapan sekiranya ganja itu telah ditemukan bukti mampu menyembuhkan rawatan.

Rusdi akui, memang kini tiada bukti kukuh yang mengatakan ganja itu sesuai digunakan untuk rawatan tetapi beliau berharap tiada halangan daripada pihak kerajaan untuk pengkaji-pengkaji membuat kajian.

Dalam pada itu, Rusdi berkata, dalam persetujuan membabitkan akta itu, beliau juga tidak bersetuju sekiranya ganja itu bebas daripada undang-undang.

“Ini kerana akan membuka peluang kepada pengedar-pengedar menjual kepada orang awam terutamanya golongan remaja.

“Pendapat saya, akta itu harus diperhalusi untuk dadah jenis ganja dan sekiranya dibenarkan, ia harus dikawal,” tuturnya.

Sementara itu, Pakar Psikiatri Penagihan Dadah, Unit Wiser, Jabatan Psikiatri Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kelantan, Dr. Mohd. Azhar Mohd. Yasin berkata, ganja tidak termasuk dalam jenis dadah sintetik.

Ujarnya, dadah sintetik adalah dihasilkan oleh manusia. Erti kata lain adalah dadah yang dibuat kajian di makmal.

“Ganja memang tergolong dalam akta dadah tetapi realitinya ia berasal daripada tumbuhan.

“Memang kedua-duanya mempunyai kesan sampingan terhadap penagih yang mengambilnya tetapi ada perbezaan di antaranya,” ujarnya.

Tambahnya, kesan dadah sintetik pada masa kini mempunyai kesan ketagihan yang jauh lebih kuat serta mengakibatkan kerosakan otak kekal yang teruk ke atas penagih.

Bagi pengambilan ganja pula, penagih itu akan menjadi seorang yang kuat makan dan selalu berkhayal tetapi jika diambil pada jangka masa panjang akan mengundang kemudaratan kepada kesihatan penagih.