Disebabkan penggunaan gajet yang berlebihan ini, ia sedikit sebanyak memberi kesan terhadap hubungan kekeluargaan dalam masyarakat.

Menyedari permasalahan itu, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) baru-baru ini mengumumkan kempen No Gadget Hour selama satu jam sempena Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia (BKK1M) 2017.

Ia diadakan secara serentak di beberapa buah lokasi di seluruh negara iaitu di Taman Metropolitan Kepong, Kuala Lumpur selain lokasi lain termasuk di Selangor, Johor dan Perlis.

Ia amat bersesuaian dengan objektif sambutan itu bagi menge­ratkan hubungan dan mendalami isi hati ahli keluarga masing-ma­sing.

Pakar Psikologi Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Mariani Mohd. Nor menyambut baik inisiatif itu dan menyifatkan ia sebagai satu langkah untuk mengurangkan kebergantungan kepada gajet di peringkat makro secara menyeluruh.

Menentang

"Pada awalnya, ramai pihak pasti akan menentang idea itu kerana masyarakat kita selama ini bergantung kepada medium yang menjadi alat penghubung dan mencari maklumat tersebut.

"Mereka ibarat 'mati kutu' jika dipisahkan daripada gajet.

"Menerusi kempen itu, ia berupaya mendidik masyarakat mengurangkan kebergantungan terhadap gajet semata-mata untuk menghabiskan masa mereka," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Mariani berkata, kempen itu sangat baik pada peringkat penyesuaian.

Tanpa gajet, ia dapat mengembalikan semula komunikasi dalam keluarga dengan adanya tegur sapa, gurau senda serta perkenalan.

Malah, dengan wujudnya pergaduhan dalam keluarga, ia sedikit sebanyak dapat menyemarakkan komunikasi itu sendiri yang kini semakin terhakis.

Selain itu, kempen tersebut dapat membiasakan masyarakat untuk hidup dalam keadaan tanpa gajet.

"Tidak dinafikan, gajet itu memberi impak positif dalam hidup individu, namun kebergantungan terhadap gajet sangat berisiko, sekali gus mampu menjejaskan hubungan antara suami isteri, anak-anak malah adik-beradik.

"Apabila dapat bercakap secara langsung bersama ahli keluarga, komunikasi itu mampu merapatkan kembali hubungan kekeluargaan.

"Inisiatif itu dapat mengembalikan keharmonian rumah tangga di peringkat makro seterusnya wajar diteruskan lagi pada tahun berikutnya dengan tempoh yang lebih panjang dan kerap," jelasnya lagi.

Memantau

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pembangunan Penduduk Malaysia, Prof. Dr. Fatimah Daud menegaskan, ibu bapa seharusnya memainkan peranan mereka dalam memantau dan mengawal selia penggunaan gajet di dalam rumah.

Hal ini kerana penggunaan gajet di rumah secara berleluasa tanpa peraturan masa pada setiap hari akan menyebabkan ketagihan terhadap anak-anak.

"Ketagihan terhadap gajet dalam diri anak-anak akan memberi kesan terhadap pembesaran dan gaya hidup mereka kelak.

"Justeru, ibu bapa perlu mempunyai peraturan khusus dari segi tempoh masa penggunaan gajet anak-anak pada setiap hari.

"Sebagai contoh, had penggunaan gajet terhadap kanak-kanak hanya satu jam pada waktu pagi dan sejam pada waktu petang manakala pada waktu malam pula mereka boleh berehat bersama keluarga," ujarnya.

Bahkan, Fatimah turut mencadangkan supaya tabiat masyarakat kita menyogok anak-anak menggunakan gajet sebagai medium eskapisme seharusnya dihentikan.

Apabila ibu bapa leka, paparan media dan permainan video berunsur keganasan mudah untuk disebar kerana ia sukar dikawal.

Rentetan itu, anak-anak akan dididik sehingga tingkah laku mereka menjadi ganas kelak, sekali gus melahirkan generasi tanpa belas ihsan dan kasih sayang.