Akui Nur Aliyah, buku tersebut menjadi item penting untuk dibawa ke mana sahaja walaupun mempunyai masa sekitar 10 hingga 30 minit sahaja untuk membaca ekoran kesibukan tugas sebagai guru mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik.

“Dahulu saya bukanlah ulat buku tetapi tabiat itu terjadi ketika mengikuti pengajian ijazah sarjana muda di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

“Kami menjalani disiplin ketenteraan yang ketat dan tidak dibenarkan memegang telefon bimbit maka, saya mengisi masa lapang itu dengan membaca buku,” jelas anak sulung daripada tiga beradik itu.

Nur Aliyah yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Bimbingan dan Kaunseling, Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, tabiat membaca itu boleh dipupuk walaupun kita sudah meningkat dewasa.

“Saya berasa puas apabila dapat membelek helaian demi helaian muka surat dan membuat catatan pada buku tersebut,” tuturnya yang mempunyai perpustakaan mini di rumah.

Sementara itu, Pengurus Besar Gallery Bookstore Sdn. Bhd., Zaffri Hassan berkata, ancaman utama industri perbukuan ialah gajet seperti telefon pintar yang menjadi gaya hidup masa kini.

Segala maklumat hanya boleh diperoleh di hujung jari sehingga perhatian masyarakat beralih kepada gajet berbanding buku.

“Di samping itu, industri buku juga terkesan dengan kehadiran buku elektronik (e-Book) yang dilihat sebagai cara membaca masa hadapan.

“Ia berikutan banyak penerbit dari luar negara yang melabur dalam pembangunan e-Book sehingga buku fizikal dikurangkan,” jelasnya ketika ditemui di Konvensyen Penulisan Kuala Lumpur, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.

Ujarnya dua dekad lalu, syarikat penerbitan dan pembekalan buku dari luar negara banyak beroperasi di Asia Tenggara dan berlaku persaingan dalam membekalkan buku-buku berkualiti.

Tumpuan kepada e-Book sekitar tahun 2008 menyebabkan syarikat-syarikat dari luar negara lebih memberi fokus kepada pembangunan e-Book dan mula mengecilkan operasi malah ada yang menutupnya.

Walau bagaimanapun masyarakat kita masih mahukan buku fizikal dan peralihan kepada platform baharu itu tidak berlaku.

Justeru, pengusaha kedai buku terpaksa pergi ke luar negara untuk mendapatkan bahan bacaan tersebut serta mencari sumber lain berbanding sebelum ini syarikat penerbitan itu akan bertemu terus dengan penjual buku di Malaysia.

Ekoran situasi itu, kita kekurangan buku berkualiti dan kepelbagaian bahan bacaan dari luar negara.

Bunuh minat

Lantas membuatkan jualan buku di Malaysia menjadi perlahan dan ia ditambah lagi dengan beberapa faktor-faktor lain seperti kurangnya minat membaca dan ekonomi apabila orang tidak menjadikan buku sebagai senarai utama dalam pembelian mereka.

“Pun begitu, secara keseluruhan pasaran buku dunia mengalami pemulihan berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pemain industri buku ketika ditemui pada pesta buku tahun lalu.

“Kini terdapat tiga golongan pembaca iaitu yang betul-betul berminat dengan e-Book, menyukai kedua-duanya dan memilih buku fizikal sepenuhnya,” jelasnya yang telah bertugas di Gallery Bookstore sejak tiga tahun lalu.

Menyingkap kembali ketika baucar buku diperkenalkan sekitar tahun 2011, Zaffri berkata, ketika itu jualan buku meningkat dan penerbit mula mengejar kuantiti dan bukan kualiti.

Ekoran itu, berlaku lambakan buku dan membunuh minat membaca orang ramai serta memberi kesan jangka panjang kepada industri buku di negara ini.

“Buku-buku yang tidak laku itu dijual pada pesta buku lelong pada harga yang sangat murah.

“Di situ lahir stigma masyarakat yang melengah-lengahkan pembelian kerana menunggu pesta jualan lelong itu,” tuturnya.

Dalam mendepani cabaran itu, Gallery Bookstore mengambil pendekatan kreatif dengan menggunakan ruang niaga di dalam kedai itu untuk mempamer dan meletakkan tajuk-tajuk terkini kesukaan orang ramai.

Pihaknya juga memilih lokasi kedai buku di bandar kedua seperti di Taiping dan Kuala Kangsar, Perak serta Arau, Perlis kerana di lokasi-lokasi berkenaan masih ramai orang yang tidak mempunyai akses membeli buku.

Tambahnya, pemain industri buku tidak boleh mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata.

Apa yang berlaku hari ini merupakan wajah sebenar industri buku kita.

Pengikut

Gallery Bookstore yang beroperasi sejak tahun 2015, menjual pelbagai jenis buku untuk kanak-kanak sehingga dewasa.

Kini, kedai buku itu mempunyai 10 cawangan.

Mengulas mengenai bahan bacaan yang paling diminati pada masa kini, Zaffri berkata, buku sejarah Nusantara seperti Tanah Melayu mendapat sambutan hangat terutamanya daripada golongan muda.

Mereka mahu mengetahui asal usul bangsa dengan sejarah yang berfakta dan sumber sahih.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Galeri Ilmu Sdn. Bhd., Mohd. Yusri Yusof berkata, industri buku tidak akan mati selagi ada orang menuntut ilmu kerana ia diperlukan dalam proses tersebut.

Paling penting ialah bagaimana pemain industri ini mempersembahkan buku tersebut dengan cara kreatif kepada masyarakat.

“Masyarakat dan anak muda kita sekarang sudah bijak memilih bahan bacaan maka, penerbit dan penulis perlu memastikan buku yang bertepatan dengan kehendak mereka.

“Kematangan masyarakat memilih bahan bacaan adalah tanggungjawab penerbit kerana kitalah yang akan memandaikan mereka,” ujarnya yang telah bertugas di Galeri Ilmu sejak awal penubuhannya iaitu pada tahun 1997.

Di samping itu, beliau mengakui penulis yang mempunyai pengikut sangat penting dalam penjualan buku dan ia memberi keyakinan kepada penerbit untuk menerima manuskrip tersebut.

Penulis itu sudah mengetahui segmen dan pasaran serta kekuatan diri lantas dapat menarik khalayaknya untuk membaca karya tersebut.

Galeri Ilmu yang menerbitkan bahan bacaan berasaskan agama Islam telah menerbitkan 50 hingga 60 judul dalam setahun.

Sebagai penerbit buku pada era globalisasi ini, Galeri Ilmu tidak terlepas daripada mengharungi cabaran besar itu.

Terang anak kelahiran Kuala Lumpur itu, isi kandungan sudah tidak mempunyai batasan dan khalayak boleh mendapatkan apa sahaja bahan pada bila-bila dengan menggunakan capaian internet.

“Oleh itu, kami sebagai penerbit perlu menyaingi rentak ini dengan memikirkan beberapa platform baharu seperti menggunakan ruang e-Book dan laman sosial serta meneroka keperluan masyarakat.

“Namun, menukar platform itu tidak mudah kerana melibatkan kos yang tinggi terutamanya kos promosi,” tutur bapa kepada lima orang cahaya mata itu.

Sehubungan itu, pihaknya akan mengenal pasti profil pasaran dan pengguna agar produk bacaan tersebut sampai kepada tangan orang yang ingin membeli.

Yusri berkata, pemain industri perlu kenal siapa pembeli mereka kerana setiap orang yang masuk ke dalam kedai buku sudah mempunyai senarai belian bahan bacaan.

Tambahnya, penerbit sekarang sudah berubah dan mengikuti standard antarabangsa dengan menghasilkan bahan bacaan berkualiti mengikut kehendak khalayak.

Ujarnya lagi, walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk membantu industri buku tetapi jika minat membaca sudah pudar dan tidak dipupuk dengan betul maka, ia hanya sia-sia.

“Kerjasama semua pihak sangat diperlukan dalam usaha membudayakan pembacaan dan memastikan bahan bacaan mereka pilih itu berkualiti,” katanya.