Trend itu berkembang hasil daripada minat pengguna yang inginkan sesuatu kelainan dalam menikmati makanan.

Ia turut dipacu oleh galakkan pihak kerajaan menerusi pelbagai geran dan pinjaman kepada para usahawan yang ingin menceburi perniagaan tersebut.

Modus operandi perniagaan trak makanan adalah menjual makanan kepada pembeli di jalanan. Hidangan yang sering menjadi pilihan usahawan trak makanan termasuklah sajian Barat, nasi campur, masakan panas, air jus dan air kopi.

Bagaimanapun, terdapat segelintir pengguna yang merungut mengenai harga makanan yang dijual oleh usahawan trak makanan tidak berbaloi dengan kualiti dan kuantiti.

Presiden Kelab Trak Makanan Bandaraya Kuala Lumpur, Shiraj Shah Subahan berkata, masalah tersebut berpunca daripada sikap para usahawan trak makanan itu sendiri.

Jelasnya, terdapat usahawan meletakkan harga tinggi selepas terpengaruh dengan tanda harga yang diletakkan oleh peniaga trak makanan lain.

Hakikatnya, tanda harga tinggi yang dikenakan oleh peniaga trak makanan itu sebenarnya termasuk gaya persembahan, kuantiti mahupun keenakan rasanya.

Misalnya, harga laksa biasanya dijual RM4 semangkuk, namun selepas usahawan trak makanan menghidangkannya dalam tempurung, ia dinaikkan kepada RM8 semangkuk.

“Kebanyakan usahawan trak makanan ini terdiri daripada penjaja. Apabila beralih kepada perniagaan trak, mereka cenderung menaikkan harga makanan.

“Namun, kualiti dan kuantiti makanan yang dijual masih pada tahap penjaja,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini. Shiraj Shah memaklumkan, para usahawan trak makanan perlu berusaha berfikir secara kreatif dalam usaha memajukan perniagaan mereka.

Dia memberitahu, mereka perlu mencari jalan untuk memberi nilai tambah dan melazatkan lagi makanan yang dijual.

“Orang Malaysia ini, kalau sesuatu makanan itu sedap, mereka tidak kisah dengan harganya.

“Justeru, para peniaga trak makanan perlu berusaha ke arah itu. Bukannya, menaikkan harga sesuka hati tanpa sebarang perubahan,” katanya dalam nada tegas.

Baru-baru ini, seorang pengguna media sosial meluahkan rasa tidak puas hati mengenai harga makanan yang dijual oleh peniaga trak makanan.

Menurutnya, harga yang dikenakan tidak berbaloi dengan kualiti dan kuantiti makanan yang ditawarkan.

Kenyataan yang dibuat dalam media sosial tersebut turut mendapat sokongan daripada netizan yang rata-rata bersetuju dengan pendapat lelaki berkenaan.

Negatif

Sementara itu, salah seorang peniaga trak makanan, Danial Marizd, 32, berpendapat, masalah harga mahal berlaku mungkin disebabkan desakan membayar balik ansuran pinjaman atau geran.

Katanya, terdapat segelintir usahawan trak makanan yang perniagaannya kurang mendapat sambutan, justeru mereka terpaksa menaikkan harga untuk membayar semula pinjaman.

“Saya tidak menolak kemungkinan usahawan-usahawan ini mengenakan harga mahal kerana ingin membayar balik pinjaman mereka.

“Tindakan mengaut untung mudah ini bukan akan menguntungkan usahawan, sebaliknya membuatkan perniagaan mereka bertambah teruk,” katanya.

Danial yang juga pemilik trak makanan La Damiglia menambah, tindakan menaikkan harga sesuka hati oleh sesetengah peniaga trak makanan dikhuatiri akan memberi impak negatif kepada industri tersebut.

Katanya, dia bimbang sekiranya masyarakat tidak lagi membeli sajian daripada usahawan trak makanan disebabkan harganya yang mahal.

“Saya tegaskan di sini, tidak semua usahawan trak makanan mengenakan harga tinggi.

“Pengguna perlu bijak berbelanja dengan membeli daripada usahawan trak makanan yang menawarkan harga berpatutan sahaja,” katanya.