Ia merupakan sebahagian daripada elemen penting yang memberikan pengguna menikmati pengalaman gastronomi yang sempurna.

Pengguna boleh menikmati minuman dengan lebih cermat tanpa perlu risau perihal seperti ngilu pada gigi.

Penyedut minuman itu merupakan inovasi yang diperkenalkan oleh pereka moden Amerika Syarikat, Marvin Chester Stone pada Januari 1888. Menariknya, amalan minum air menggunakan penyedut minuman sudah pun dilakukan sejak tamadun Mesopotamia kira-kira 5,000 tahun Sebelum Masihi lagi. Kini, ia digunakan secara meluas sehingga kini.

Dengan perkembangan teknologi yang memberangsangkan, penyedut minuman yang dahulunya digunakan daripada serat tumbuhan itu kini diubah menggunakan material plastik.

Malangnya, penyelidik Universiti Georgia mendedahkan inovasi itu menyumbang kepada pencemaran plastik dunia apabila ia merangkumi 4 peratus daripada 9 juta tan sisa pepejal yang dibuang ke laut setiap tahun.

Menurut aktivis alam sekitar, Amlir Ayat, masyarakat kini terlalu bergantung pada penggunaan straw plastik, sekali gus menyebabkan ia sukar untuk dikawal sehingga berlaku pencemaran.

Petroleum

“Straw plastik ini sememangnya menyumbang kepada pencemaran alam sekitar kerana ia diperbuat daripada petroleum selain tidak mudah terurai.

“Disebabkan itu, alternatif baharu perlu diperkenalkan bagi menggantikan penyedut minuman sedia ada misalnya straw logam, kertas, mahupun plastik yang boleh digunakan berulang kali.

“Ia bagi memudahkan kedua-dua belah pihak iaitu pengguna dan peniaga sekali gus melahirkan masyarakat yang peka terhadap alam sekitar,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Amlir, pengharaman penggunaan straw plastik juga dilihat sebagai salah satu langkah mendidik masyarakat yang berkesan.

Bagaimanapun, inisiatif tersebut perlu dilakukan secara berperingkat agar masyarakat dapat memahami terlebih dulu relevan undang-undang itu diperkenalkan.

Baru-baru ini, Kementerian Wilayah mengumumkan pengharaman penggunaan penyedut minuman plastik di semua kedai dan restoran makanan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mulai Januari tahun depan.

Langkah itu bertujuan mengurangkan pencemaran dan memelihara alam sekitar.

Tindakan penguatkuasaan akan diambil bermula tahun 2020 selepas pengguna terutama peniaga diberi kesedaran mengenai bahaya penggunaan produk berasaskan plastik.

Mekanisme peruntukan undang-undang adalah sama seperti penggunaan beg plastik dan bekas makanan polistirena. Peniaga yang didapati me­langgar peraturan boleh dikompaun tidak melebihi RM1,000.

Kementerian itu juga dalam proses untuk memasukkan larangan penggunaan penyedut minuman plastik tersebut sebagai salah satu daripada syarat permohonan dan pembaharuan lesen perniagaan.

Ketika ini restoran makanan segera, McDonald’s dan gedung kelengkapan rumah dan hiasan dalaman, Ikea, telah memulakan inisiatif tidak menyediakan penyedut minuman.

Pelanggan akan minum minuman tanpa menggunakan straw.

Penasihat Bahagian Alam Sekitar, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof. Dr. Ahmad Ismail menyambut baik pengumuman kementerian tersebut.

Mentaliti

Katanya, ia merupakan langkah yang wajar diperkenalkan ekoran Malaysia kini merupakan negara kelapan di dunia yang membuang plastik dalam lautan.

“Sejak awal tahun lagi, aktivis, persatuan dan penyelidik alam sekitar dari seluruh dunia mempromosikan pengurangan penggunaan barangan berasaskan plastik.

“Hal ini kerana percemaran plastik di lautan mengancam populasi hidupan laut seperti penyu, ikan dan burung-burung laut sehingga akhirnya dikhuatiri mengancam keseimbangan ekologi dunia.

“Bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang itu dapat dilaksanakan dengan berjaya, pendidikan dan kempen berskala besar yang melibatkan seluruh masyarakat perlu dilakukan secara konsisten,” jelasnya.

Selain itu, pendidikan dari peringkat akar umbi lebih-lebih lagi golongan kanak-kanak dan pelajar peringkat universiti juga perlu diperkasa.

Tambah Ahmad, cabaran utama penguatkuasaan undang-undang itu ialah mentaliti masyarakat yang sukar berubah selain mengambil tempoh masa panjang untuk efektif.

Justeru itu, semua pihak harus berganding bahu memastikan penguatkuasaan undang-undang itu berjalan lancar.

Selain itu, di samping penguatkuasaan undang-undang, pengetahuan, kesedaran dan amalan dalam kalangan masyarakat perlu turut diberikan penekanan.