TANGANNYA menjinjit sebuah beg bimbit berwarna hitam di sisi. Tubuhnya menyarung pakaian jenama terkenal, cukup untuk membayangkan status empunya diri.

Bekerja di sebuah syarikat terkemuka di ibu negara sebagai seorang akauntan, tiada siapa menyangka dia merupakan seorang penagih dadah.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Johan, mula terlibat dengan dadah selepas putus tunang empat tahun lalu.

“Saya mengalami kemurungan kerana tidak tahu bagaimana mahu meluahkan perasaan kecewa itu.

“Setelah diperkenalkan dengan ekstasi oleh rakan, saya dapat berhenti memikirkan perkara tersebut,” katanya yang menghabiskan masa hampir setiap hari di sebuah kelab malam di ibu kota.

Johan yang merupakan graduan sebuah universiti awam di Selangor tidak pernah cuba berhenti mengambil dadah kerana sentiasa mendapat bekalan yang mencukupi.

Kesan rangsangan

Malah, dia juga sudah berjinak-jinak mengambil dadah jenis psikoaktif baharu bagi mendapat kesan rangsangan melebihi ekstasi.

Kesan mengambil dadah tersebut, Johan mula mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang pekerja. Kehidupannya menjadi kian tidak terurus. Dia gagal mengawal emosi dan bertukar menjadi panas baran.

Kemuncaknya, pada September lalu, Johan telah berselisih faham dengan rakan sekerjanya. Dek kerana gagal mengawal perasaan, Johan telah menumbuk rakannya.

Rentetan dari itu, dia telah dipecat oleh majikan. Dia amat menyesali kesilapannya dan sedang berusaha memulihkan diri. Kisah Johan adalah satu dari beribu kes penagihan dadah yang berlaku setiap tahun.

Bagaikan trend, penagih kini bukan lagi mereka yang tercicir pelajaran mahupun golongan berpendapatan rendah.

Menurut statistik Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada tahun 2016, sebanyak 12,134 penagih yang ditahan adalah merupakan golongan berpendidikan tinggi.

Bilangan tersebut mewakili penagih dengan kelayakan akademik bermula tamat Sijil Pelajaran Malaysia hinggalah ke peringkat ijazah kedoktoran.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Dr. Mohd. Rafidi Jusoh percaya, ia adalah berikutan kemunculan dadah jenis sintetik baharu yang digelar sebagai New Psychoactive Substances (NPS).

Gelombang dadah jenis baharu yang bermula awal tahun 2012 ini mempunyai kesan halusinasi menyamai dadah sintetik dan tradisional seperti kokain, kanabis dan ekstasi.

“Dadah kategori NPS sukar dikesan kerana mengandungi campuran pelbagai bahan kimia yang tidak menyalahi undang-undang tetapi mampu memberi kesan mengkhayalkan.

“Antaranya termasuklah simen, bahan peluntur, bahan pencuci, ubat batuk, kordial dan lain-lain yang boleh didapati di kedai runcit berhampiran.

“Penciptaannya cukup licik. Saintis gelap ini tahu kategori bahan yang digunakan tidak salah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan mula mencipta pelbagai jenis NPS ke seluruh negara,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat AADK di Jalan Maktab Perguruan di Kajang, Selangor baru-baru ini.

Proses di rumah

Rafidi berkata, NPS boleh dihasilkan di rumah tanpa menggunakan makmal untuk memproses seperti dadah lain. Bekalannya sentiasa mencukupi memandangkan ia tidak perlu diimport dari luar negara oleh keldai dadah seperti sebelum ini.

Cara penggunaannya juga boleh mengaburi mata penguat kuasa. Ia boleh digunakan dengan cara minum seperti air teh atau kopi, boleh dihisap seperti rokok dan dihidu seperti minyak wangi.

“Dahulu, penagih mudah dikesan kerana menggunakan teknik suntikan yang pasti meninggalkan kesan lebam di tangan dan sebagainya.

“Namun, kelicikan penciptaan NPS seperti dalam bentuk minyak wangi umpamanya menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesan golongan terlibat.

“Bayangkan, mereka hanya perlu menitikkan minyak wangi ke atas sapu tangan dan menghidunya untuk mendapatkan kesan dadah. Teknik ini dipanggil huffing,” ujarnya yang sudah berkhidmat selama 23 tahun dengan AADK.

Menyedari cabaran yang dihadapi AADK dalam menangani isu dadah alaf baharu ini, pihaknya telah berjaya menyenarai 27 jenis dadah di bawah kategori NPS ke dalam Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Secara keseluruhannya, terdapat lebih 600 jenis NPS di seluruh dunia. Namun, kita percaya setakat ini terdapat 37 jenis NPS digunakan di Malaysia.

“Usaha ini penting bagi memastikan pengedar dan penagih dadah kategori ini dapat ditumpaskan segera daripada terus merosakkan bangsa,” ujarnya.

Kerohanian

Terbaharu, AADK turut mengubah corak pemulihan dan rawatan penagih daripada berunsur disiplin ketenteraan kepada aktiviti bersifat kerohanian.

“Bermula tahun 2016, kita telah menggunakan pendekatan modul Islamic Spiritual Rehabilitation Approach berasaskan Model Inabah atau kerohanian bagi memulihkan penagih dadah dalam jangka panjang.

“Amalan memaksa dan mengerah sudah tidak relevan memandangkan trend penagihan yang melibatkan golongan bijak pandai.

“Kita mahu bawa mereka kembali kepada fitrah manusia dijadikan agar kesalahan sama tidak dilakukan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. B.J. Vicknasingam berkata, kewujudan pelbagai aplikasi di internet turut memudahkan akses terhadap dadah.

Pengedar menggunakan aplikasi temu janji untuk meluaskan pasaran dadah baharu tanpa dihidu oleh penguat kuasa.

“Hasil maklumat dan kajian kami mendapati, terdapat kod tertentu yang disertakan pada profil pengguna dan jemputan temu janji yang membawa maksud dadah digunakan dalam temu janji itu.

“Kebiasaannya, ia digunakan oleh golongan yang terlibat dalam parti hubungan seks kumpulan termasuk parti gay untuk menghilangkan rasa malu memandangkan kebanyakan dadah jenis baharu ini mempunyai kesan stimulan,” katanya yang sering menjalankan kajian lapangan memahami tingkah laku penagih.

Menurut Vicknasingam, penjualan dadah ini juga berlaku secara online sama seperti membeli produk kecantikan dan sebagainya.

Penyamarannya dalam bentuk vitamin dan herba memungkinkan penghantaran dibuat melalui servis kurier ke depan pintu rumah tanpa sebarang masalah.

Ia sekali gus membolehkan akses kepada semua lapisan masyarakat termasuk yang berselindung di sebalik jawatan tinggi, orang kenamaan, selebriti dan penjawat awam.

Dalam pada itu, Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Datin Paduka Che Asmah Ibrahim berpendapat, terjebaknya golongan bijak pandai ke kancah dadah adalah disebabkan ketidakstabilan nilai hidup.

Menurutnya, seorang manusia seharusnya mempunyai kestabilan dari segi intelektual, spiritual dan emosional.

“Kesilapan golongan ini ialah mereka mempunyai intelektual tetapi gagal membuat pertimbangan yang baik dari segi emosi. Ia lazimnya bermula dengan tekanan perasaan sama ada di tempat kerja ataupun dalam perhubungan.

Sehubungan dengan itu, Che Asmah menyarankan kepada mereka yang merasakan diri berada dalam keadaan tertekan supaya melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti yang boleh merangsang minda.

Sifat malu

Beliau juga menasihatkan kepada anak-anak muda supaya tidak menghabiskan masa dengan melayari internet kerana ia boleh mempengaruhi pemikiran seseorang dengan gejala sosial termasuk dadah.

“Sebailknya, sibukkanlah diri dengan aktiviti bermanfaat seperti menyertai mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang banyak melaksanakan program bersama masyarakat.

“Apabila kita mendampingi masyarakat seperti kanak-kanak umpamanya, secara tidak langsung akan menanamkan sifat malu dalam diri untuk terlibat dengan perkara yang tidak elok,” ujarnya.

Tambah Che Asmah, pihaknya sentiasa mengalu-alukan penglibatan orang ramai untuk menyumbang bakti dan berkongsi kepakaran masing-masing dalam membangunkan program kemasyarakatan anjuran IKRAM.

“Kita ada pelbagai program termasuklah meilbatkan golongan siswa yang digelar sebagai IKRAMTEEN. Marilah sertai kami agar masa terluang anda tidak berakhir dengan perkara tidak sihat,” jelasnya.