Lelaki tersebut yang hanya memperkenalkan diri sebagai Khairul memberitahu, dia mula menjadi pengawal keselamatan di masjid tersebut lebih setahun lalu dan kini berjaya menguasai tujuh bahasa iaitu Mandarin, Vietnam, Korea, Jepun, Thailand, Parsi dan Inggeris.

“Saya berasal dari Kelantan. Sebelum ini saya hanya bercakap dalam dialek Kelantan yang cukup pekat dan sukar difahami oleh kebanyakan orang.

“Selepas tiga bulan, saya mula menguasai bahasa Melayu dengan lebih baik,” kongsinya.

Ujar Khairul, menyedari hakikat Masjid Putra menjadi destinasi pelancong dari luar negara, dia nekad untuk menguasai bahasa asing bagi membolehkannya bertutur dengan pengunjung.

Oleh kerana dia tidak menghadiri kelas bahasa yang formal, pemandu pelancong dan pengunjung luar negara merupakan guru terbaiknya.

Setiap kali mereka membetulkan bahasa Khairul, lelaki berkulit sawo matang itu akan mencatat ke dalam buku nota dan mempelajari ucapan yang tepat dengan sebutan betul.

Kesungguhan Khairul itu mendapat pujian netizen yang menganggap tidak semua orang begitu rajin dan gigih untuk mempelajari bahasa asing.