Dalam rakaman video berdurasi satu minit lapan saat itu, kelihatan seorang wanita berbaju merah jambu dipercayai ibu kepada kanak-kanak tersebut menyerahkan anaknya kepada seorang lagi wanita iaitu pengasuhnya ketika berada di dalam lif.

Selepas ibu kepada kanak-kanak itu beredar, pengasuh itu dilihat memukul dengan menumbuk dan menampar beberapa kali kanak-kanak perempuan itu hingga menangis.

Tidak cukup dengan memukulnya, wanita tersebut turut menggoncang kanak-kanak perempuan itu sekuat hati tanpa rasa kasihan.

Kejadian yang berlaku di China itu telah mendapat kecaman masyarakat ekoran tindakan pengasuh itu mendera kanak-kanak malang tersebut.

Menurut laporan, pengasuh kejam yang dikenali sebagai Li itu telah ditangkap polis selepas ibu bapa kepada kanak-kanak malang itu membuat laporan bahawa anak mereka didera.