Kehebatan pengaruh selebriti terutama dalam laman Instagram sering menjadikan mereka rebutan jenama-jenama terkemuka untuk dijadikan duta atau sekadar wajah kempen dengan tujuan meningkatkan permintaan di pasaran.

Seperti contoh pada tahun 2014, jenama terkemuka Calvin Klein (CK) menampilkan penyanyi pop tersohor, Justin Bieber menerusi kempen #MyCalvins untuk koleksi pakaian dalam yang menyaksikan ia menjadi kempen digital CK paling berjaya setakat ini apabila mendapat perhatian lebih 4.5 juta peminat Bieber.

Menurut Ketua Pemasaran Calvin Klein Inc. Melissa Goldie, tujuan utama setiap kempen adalah untuk menjual produk dan memastikan ia melekat pada fikiran pengguna biarpun sekadar menerusi sekeping foto sahaja maka di situlah pengaruh media sosial selebriti memainkan peranan penting.

“Bagi memastikan sesuatu produk itu relevan, ia perlu menjadi topik perbualan dalam masyarakat secara konsisten. Mungkin ada yang mengatakan populariti selebriti mengatasi jenama itu sendiri namun dalam perniagaan, apa yang penting adalah produk terjual dan keuntungan diperoleh.

“Lihat sahaja kepada kempen #MyCalvins, dalam masa 48 jam sahaja gambar-gambar sesi fotografi separuh bogel Bieber dan model, Lara Stone yang dimuat naik di Instagram Bieber dan CK, mampu menarik perhatian dunia sekali gus meningkatkan sasaran jualan kami dengan mendadak,” katanya lagi.

Pengaruh besar

Menyedari perkara serupa, syarikat penerbangan tambang murah nombor satu dunia, AirAsia turut tidak melepaskan peluang dalam mengambil kesempatan di atas perkembangan ini apabila melancarkan kempen AirAsia #ThroughTheLens dengan kerjasama syarikat elektronik, Sony yang menampilkan selebriti popular tempatan.

Menurut Ketua Kumpulan Komersial AirAsia X, Barry Klipp, ia suatu strategi pemasaran yang diperlukan kerana pengaruh besar yang dimiliki oleh selebriti di dunia media sosial adalah perkara yang tidak boleh dinafikan.

Bagi edisi kempen kali ini, seramai lima orang selebriti telah diumumkan sebagai wajah AirAsia #ThroughTheLens iaitu Che Puan Juliana Evans, Elfira Loy, Alvin Chong, Izara Aishah dan Zahirah Macwilson. Mereka diberi peluang berkongsi cerita berkenaan negara-negara yang dilawati sepanjang program ini.

“Kami berpendapat apabila selebriti berkongsi pengalaman atau cerita pengembaraan mereka menerusi perspektif sendiri di media sosial, ia akan menjadikan perkongsian mereka lebih dekat di hati peminat. Ini sekali gus meningkatkan jumlah potensi-potensi pelanggan baharu kami yang ingin melancong ke destinasi sama seperti selebriti kesayangan mereka.

“Pemilihan kelima-lima selebriti ini dibuat berdasarkan kekuatan pengikut di media sosial dan juga kecenderungan melancong mereka yang tinggi. Contohnya seperti Elfira, dia sememangnya dikenali sebagai seorang yang gemar melancong dan sering mengembara ke merata tempat di seluruh dunia, jadi ia suatu kelebihan buat kami,”jelasnya lagi.

Baik buruk

Sementara itu, pelakon tinggi lampai, Zahirah Macwilson pula menyedari setiap perkongsian dalam media sosial pasti akan mendapat perhatian peminat, terutama dengan statusnya sebagai seorang selebriti.

Tidak merasakan populariti yang ada pada dirinya dieksploitasi oleh pihak berkepentingan untuk meningkatkan jualan mereka, Zahirah berkata itu juga salah satu rangka strategi pemasaran yang semakin diguna pakai di seluruh dunia oleh kebanyakan jenama-jenama besar dunia.

“Kita hidup pada zaman media sosial dan teknologi maka penggunaan selebriti dalam pemasaran digital bukanlah perkara baharu. Mungkin ia kelihatan seperti mengambil kesempatan namun secara teknikalnya, ia sama sahaja seperti iklan fizikal yang meletakkan wajah artis sebagai duta.

“Menerusi media sosial, penyebaran berkenaan sesuatu produk itu akan lebih meluas dan senang diakses kerana hampir setiap orang memiliki platform tersebut,” katanya lagi.

Biarpun populariti artis yang menjadi duta atau wajah kempen serta produk itu menjadi keutamaan, jika ia tidak dilaksanakan dengan baik, akan timbul masalah terutama jika pelanggan berasa tertipu dengan jenama atau selebriti itu sendiri.

Hal ini pernah terjadi kepada pelakon Fattah Amin yang dituduh menipu ejen-ejen makanan kesihatan yang diwakilinya sehingga dia dikatakan memberhentikan sebarang promosi tentang produk itu di media sosialnya sehingga ia tidak lagi terjual di pasaran.

Tidak mengeluarkan sebarang penjelasan lanjut berkenaan produk tersebut, suami kepada Fazura itu hanya menegaskan dia tidak akan sesekali menipu peminat dan sedang mencari jalan penyelesaian terbaik bagi masalah yang timbul.

Secara keseluruhannya, apa yang boleh dikatakan adalah penggunaan selebriti di media sosial sebagai senjata utama dalam meningkatkan jualan dan melariskan produk bukanlah perkara asing lagi dalam dunia hiburan tempatan atau luar negara.

Namun, pemilihan selebriti yang betul untuk sesuatu kempen atau produk perlu dibuat dengan teliti agar bersesuaian dengan profil wajah yang dilantik dan memberi keyakinan kepada peminat bahawa ia adalah sesuatu yang asli dan bukan dibuat-buat hanya untuk melariskan jualan.

Pada zaman dunia media sosial ini, menggunakan pengaruh selebriti di platform berkenaan seperti sudah menjadi strategi pemasaran yang semakin popular dalam kalangan jenama terkemuka dunia untuk melariskan produk.