SELEPAS segala peralatan yang digunakan disahkan berada dalam keadaan baik dan selamat, Kapten (Pertahanan Awam) M. Rageswaran, 35, mula turun dari menara latihan berketinggian bangunan empat tingkat.

Tidak seperti lazimnya, beliau yang bertugas dengan pasukan elit Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang dikenali sebagai Spider sejak sedekad lalu turun dari menara tersebut dengan menyusuri seutas tali besar dan hanya memakai sarung tangan khas serta topi keselamatan. Beliau juga tidak menggunakan sebarang peralatan tambahan seperti abah-abah, carabiner atau tali keselamatan untuk mengikat badannya seperti yang biasa dilihat pada aksi lasak seperti itu.

“Dalam keadaan biasa, cara yang saya lakukan itu sebenarnya sangat berbahaya kerana ia boleh mengundang kecederaan.

“Tetapi sebagai pegawai dalam pasukan Spider, saya perlu mempunyai keberanian dan kemahiran untuk melakukannya kerana cara itu mungkin perlu dilakukan ketika berada dalam suasana bencana yang sebenar,” katanya.

Selain Rageswaran, rakan setugasnya, Kapten (PA) Riduan Nordin, 31, turut memiliki kemahiran sama. Dia berkemampuan menuruni menara menggunakan tali khas tanpa memakai sebarang peralatan keselamatan.

Jelas Riduan, sebagai seorang pegawai dalam pasukan elit APM, mereka perlu menguasai sebanyak mungkin kemahiran dan kepakaran dalam konteks penyelamatan harta benda dan nyawa terutama dalam situasi bencana.

Mengimbas penglibatan mereka dalam kejadian bencana sebenar yang pernah berlaku sebelum ini, Rageswaran berkata, antara yang tidak dapat dilupakan ialah ketika terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) nahas sebuah bas yang terhumban ke dalam gaung di Kilometer 3.5 Jalan Genting Highlands, Pahang pada Ogos 2013.

Nahas itu telah mengorbankan 37 nyawa selain mengakibatkan 16 penumpang lain cedera dengan 14 daripada mereka dilaporkan kritikal.

“Ketika itu, pasukan elit APM merupakan antara pasukan penyelamat yang terlibat dalam menyelamatkan mangsa nahas kerana tugas tersebut memerlukan kepakaran termasuk kemampuan menuruni gaung dan melakukan tugas menyelamat menggunakan tali.

Mencari mayat

“Disebabkan bas tersebut jatuh ke dalam gaung pada kedalaman kira-kira 60 meter dari jalan raya, ramai penumpang yang maut dan keadaan mangsa sangat mengerikan.

“Saya merupakan antara petugas yang terlibat dalam menyelamatkan mangsa yang masih hidup selain mencari mayat penumpang yang sudah meninggal dunia termasuk mengumpulkan anggota badan mangsa yang terputus,” katanya.

Menurut Riduan, antara pengalaman yang berharga sepanjang menyertai pasukan Spider ialah ketika bertugas semasa kejadian pencerobohan Lahad Datu, Sabah oleh kumpulan pemberontak dari Filipina pada tahun 2013.

Sebagai pasukan elit, pegawai Spider APM ditugaskan di pusat perlindungan untuk mengawal keselamatan dan ketenteraman penduduk di kawasan pencerobohan agar mereka tidak panik.

“Walaupun tugas kami menjaga keselamatan penduduk, tetapi situasi berbeza dan berbahaya kerana penceroboh memiliki senjata. Sebarang kejadian tidak diingini boleh berlaku pada bila-bila masa sedangkan kami tidak memiliki sebarang senjata untuk mempertahankan diri,” katanya.

Selain dua situasi tersebut, terdapat banyak lagi keadaan yang melibatkan penyertaan pasukan Spider sebagai pasukan penyelamat terutama dalam kejadian bencana yang berlaku di negara ini.

Tidak sendirian

Malah menurut Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi, Kolonel (PA) Mohd. Yusof Samad, Spider merupakan pasukan terbaik yang dimiliki APM pada ketika ini.

Katanya, ketika mula ditubuhkan pada tahun 2008, pasukan itu pada asalnya dikenali sebagai Pasukan Khas Pertahanan Awam atau Paspa.

“Ketika itu, Paspa ditubuhkan atas inisiatif jabatan yang memikirkan keperluan untuk berada selangkah ke hadapan dalam tugas pengurusan bencana dan operasi penyelamatan dengan cara yang lebih sistematik, teratur efisyen.

“Mereka yang berada dalam pasukan ini berpangkat pegawai dan dilatih untuk memiliki kemahiran yang lebih tinggi berbanding anggota APM yang lain termasuk berkebolehan mengendalikan peralatan khas dan canggih kerana mereka merupakan pasukan yang akan berada di hadapan ketika berhadapan dengan sebarang bencana,” katanya.

Menurut Mohd. Yusof, Paspa kemudiannya telah dijenamakan semula oleh Ketua Pengarah APM, Mejar Jeneral Datuk Azmy Yahya. Ia mula dikenali sebagai pasukan Special Disaster and Emergency Response Team atau Spider bermula 1 Ogos 2017.

Walaupun Spider merupakan sebuah pasukan elit dalam operasi penyelamatan, namun ia tidak bertidak bersendirian dalam melaksanakan tugas-tugas menyelamat mangsa.

Sebaliknya kata beliau, Spider akan bekerjasama dengan pasukan elit penyelamat lain seperti Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia atau Smart yang bernaung di bawah Majlis Keselamatan Negara dan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia atau Storm yang merupakan pasukan elit Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam sebarang bencana besar yang berlaku.

Kepakaran

“Walaupun Spider, Smart dan STORM merupakan pasukan elit daripada agensi yang berbeza, kami tidak pernah bersaing antara satu sama lain kerana tujuan penubuhan kami adalah sama iaitu membantu dalam operasi penyelamatan dalam kejadian bencana,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Komander Pasukan Spider, Mejar (PA) Mohd. Zairos Nizam Mohd. Tarmizi berkata, sehingga kini Spider telah dianggotai oleh 84 pegawai dan telah ditempatkan di lima zon operasi iaitu utara, tengah, timur, selatan dan zon Sabah dan Sarawak.

Katanya, bersesuaian dengan objektif penubuhan pasukan itu, setiap pegawai dalam pasukan berkenaan sememangnya memiliki kepakaran dalam pelbagai situasi operasi menyelamat kerana mereka telah dilatih dan menjalani kursus khas.

Antaranya ialah kursus pelepasan dari udara dan terjunan pantas menggunakan tali, combat medic, abseilling menggunakan helikopter, mencari dan menyelamat kawasan bandar peringkat antarabangsa atau IUSAR dan kursus pengendalian bahan berbahaya.

“Kursus dan latihan khas ini diadakan secara berkala setiap tahun dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan bagi memantapkan kemahiran mereka dalam berhadapan dengan sebarang situasi bencana.

“Secara umum, kewujudan pasukan Spider bukan hanya tertumpu kepada operasi penyelamatan semata-mata, tetapi turut merangkumi tugas-tugas pengurusan sebelum, semasa dan selepas kejadian bencana selain khidmat nasihat kepada persediaan dan persiapan dalam menghadapi kecemasan ketika keadaan aman,” katanya.