Uzairi Taib atau nama Instagramnya @uzairitaib menjadi sensasi internet apabila menyelitkan unsur jenaka semasa mengajar bagi membolehkan pelajar-pelajarnya lebih mudah memahami apa yang diajar.

Guru lelaki berusia 22 tahun yang mengajar di sebuah pusat tuisyen di ibu kota itu juga gemar berkomunikasi secara dua hala dengan pelajarnya bagi memastikan mereka faham dengan apa yang diajar.

Jejaka kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, dia mendapat idea mengajar dengan pendekatan kreatif itu selepas berpengalaman belajar bersama abang iparnya, Shakib Shamsuddin yang merupakan tenaga pengajar di pusat tuisyen yang kini menjadi tempat dia mengajar.

“Pelajar nakal seperti saya sukar untuk mengikut teknik biasa dan daripada situlah menggunakan kaedah interaktif yang diajar oleh abang ipar dan mempraktikkannya kepada pelajar,” ujarnya.

Ujar Uzairi lagi, dia berasa puas apabila mengajar dengan kaedah tersebut biarpun adakalanya dia berpeluh-peluh kerana terlalu banyak bergerak.

Rata-rata netizen memuji kaedah pengajaran yang digunakan Uzairi dan ada yang berseloroh dengan berkata, teknik yang digunakan guru muda itu membuatkan mereka mahu kembali belajar subjek Matematik.