Pada waktu itu, tubuh kecil milik Jamie Gavin, 3, masih lagi berada di dalam dewan bedah di Hospital Harefield yang terletak di Middlesex, London bagi menjalani pemindahan jantung dan paru-paru.

Selepas lebih empat jam bertarung nyawa, Jamie akhirnya selamat dibedah dan dipindahkan ke wad unit rawatan rapi (ICU) untuk pemantauan lanjut.

Jamie merupakan pesakit paling kecil pertama dunia yang berjaya menjalani pembedahan tersebut.

Tanggal 13 Ogos lalu, genap 33 tahun kejayaan pembedahan pemindahan jantung dan paru-paru dilakukan pada tubuh kecil itu.

Kejayaan pembedahan yang diketuai oleh seorang doktor kelahiran Mesir, Dr. Magdi Yacoub bersama 12 pakar bedah yang lain lantas menjadi buah mulut masyarakat dunia.

 

Paling berani

Bukan itu sahaja, kejayaan tersebut turut menarik perhatian mendiang Puteri Diana yang pada waktu itu merupakan isteri pewaris takhta diraja Britain.

Pada waktu itu, beliau melahirkan rasa kagum di atas keberanian Jamie sebelum mengiktirafnya sebagai seorang kanak-kanak yang paling berani setahun selepas pembedahan dilakukan.

Bapa Jamie, Tom Gavin berkata, anaknya dikesan mengalami masalah jantung sejak berada di dalam kandungan lagi.

“Ketika kecil, kami diberitahu bahawa jantungnya mempunyai masalah, tetapi ia masih berada dalam keadaan terkawal.

“Bagaimanapun, sekitar bulan Mei 1985 iaitu ketika Jamie berusia tiga tahun, doktor mengesahkan anak saya mengalami masalah jantung kongenital.

“Keadaan tersebut menyebabkan jantung dan paru-parunya menjadi semakin lemah dan memerlukan pembedahan segera. Nama Jamie dimasukkan dalam senarai menunggu penerima organ paling atas.

“Sepanjang tempoh tersebut, kami berasa sangat tertekan. Le­bih-lebih lagi apabila mengenangkan nasib yang bakal dihadapi oleh Jamie jika gagal mendapatkan penderma organ dalam tempoh yang terdekat,” jelasnya.

Bagaimanapun, menurut Tom, kegelisahan yang dialami bersama isterinya berakhir apabila pada awal Ogos 1985, doktor memberitahu pen­derma jantung Jamie telah ditemui.

“Hanya tuhan sahaja yang tahu betapa bersyukurnya kami pada waktu itu dan menurut doktor, penderma jantung dan paru-paru Jamie merupakan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang dikenali Tina Bran.

“Bran meninggal dunia selepas terjatuh dari sebuah tingkap ketika melawat seorang teman bersama ibunya di sebuah pangsapuri di Southampton, England,” jelasnya.

 

Penderma organ

Cerita Tom lagi, mereka tiga beranak diterbangkan dari Ireland ke London pada hari Isnin sebelum menjalani pembedahan dua hari berikutnya.

“Jamie merupakan seorang bayi yang sangat lemah. Pada usia yang sangat muda, sudah tentu Jamie begitu memerlukan penderma organ,” ujarnya.

Anak sulungnya itu pulih dan ceria seperti kanak-kanak normal yang lain selepas pembedahan tersebut berjaya dilakukan.

“Jamie mengambil masa yang sangat cepat untuk pulih daripada pembedahan tersebut. Selepas sebulan diletakkan di bawah ICU, Jamie dipindahkan ke wad biasa sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

“Pada tahun 1986, Jamie mula aktif dan terlibat untuk mengumpul dana bagi Hospital Harefield.

“Air mata kami suami isteri bergenang setiap kali melihat kegembiraan dan keseronokan Jamie bermain bersama kanak-kanak lain.

“Saya rasa, Jamie tidak mungkin dapat hidup tanpa prosedur pembedahan yang dijalankan oleh Dr. Magdi,” jelasnya.

Biarpun begitu, menurut Tom, umur Jamie tidak panjang apabila dia meninggal dunia di Great Ormond Street Children’s Hospital, London pada tahun 1992.

“Jamie meninggal dunia ketika berumur sembilan tahun akibat komplikasi jantung.

“Biarpun telah meninggal dunia, namun Jamie masih lagi merupakan penerima pemindahan jantung dan paru-paru yang paling lama bertahan di dunia sehingga ke hari ini,” jelas Tom.

Bagaimanapun, kisah Jamie sebagai penerima jantung dan paru-paru termuda dunia yang berjaya menjalani pemindahan jantung dan paru-paru terukir dalam sejarah dunia sehingga ke hari ini.

Jamie Gavin, 3, seorang kanak-kanak yang mengalami masalah jantung kongenital menjadi penerima jantung dan paru-paru termuda di dunia pada tahun 1985 selepas kejayaannya menjalani pembedahan selama empat jam di Hospital Harefield, London.