Selepas tertangguh beberapa minit dari jadual perjalanan asal, pesawat Airbus A350-900 ULR berkenaan kemudiannya berlepas pada pukul 11.35 malam, 11 Oktober lalu dari Lapangan Terbang Changi, Singapura.

Sebelum berlepas, para penumpang kelihatan sibuk mengambil gambar kemasan dalaman mewah pesawat berkenaan untuk dimuat naik ke dalam akaun media sosial masing-masing.

Selepas melalui pernerbangan tanpa henti sejauh 15,341 kilometer (km) selama 17 jam 52 minit, pesawat berkenaan akhirnya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark berhampiran New York pada pukul 5.29 pagi waktu tempatan, 53 minit lebih awal daripada waktu dijangka.

Penerbangan dari Singapura ke Newark dianggar mengambil masa selama 18 jam 45 minit sekali gus mencipta sejarah tersendiri apabila diiktiraf sebagai penerbangan tanpa henti paling jauh di dunia.

Selepas berlepas dari Singapura, pesawat berkenaan telah melalui Thailand, China, Mongolia, Rusia, Kutub Utara, Greenland, Kanada sebelum tiba di Newark.

Jarak penerbangan yang dilalui pesawat itu juga hampir menyamai separuh ukur lilit bumi yang sejauh 40,075km.

SIA melancarkan semula penerbangan melibatkan laluan Singapura dan Newark itu selepas memberhentikan penerbangan asal kira-kira lima tahun lalu akibat kos operasi yang tinggi.

Syarikat itu memberhentikan laluan penerbangan jarak jauh itu pada tahun 2013 melibatkan pesawat jenis Airbus A340-500 yang mempunyai empat enjin apabila harga bahan api semakin meningkat.

Bagi memberi keselesaan kepada penumpang untuk menghadapi perjalanan yang panjang berkenaan, pesawat itu hanya menyediakan dua kelas penerbangan iaitu kelas bisnes dan kelas ekonomi premium.

SIA memberitahu, pesawat Airbus A350-900 ULR itu hanya menyediakan 67 tempat duduk kelas bisnes dan 94 kerusi kelas ekonomi premium.

Harga tiket bagi kelas ekonomi premium bermula dari RM4,230 sehala atau RM6,750 untuk dua hala, manakala kelas bisnes bermula dari RM14,054 untuk sehala dan RM21,205 untuk dua hala.

Sebelum ini, rekod penerbangan paling jauh dipegang oleh Qatar Airways yang menawarkan perkhid­matan antara Doha, Qatar ke Auckland, New Zealand pada 6 Februari 2017 dengan masa perjalanan selama 17 jam 30 minit.

Qantas Airways pula berada di tempat ketiga dengan perkhidmatan tanpa henti selama 17 jam 20 minit dari Perth, Australia ke London, England pada 25 Mac 2018.

Penumpang resah

SIA dilaporkan membeli tujuh buah pesawat jenis berkenaan yang direka untuk menggantikan pesawat Boeing 777 yang telah berusia.

Nama ULR pada pesawat bermakna ultra long haul sempena kemampuan pesawat itu untuk terbang lebih 2,896km berbanding jenis A350-900 biasa.

Naib Presiden Kanan Jualan dan Pemasaran SIA, Campbell Wilson berkata, pesawat berkenaan menggunakan minyak 25 peratus kurang berbanding pesawat generasi lama dengan saiz serupa.

“Ia membolehkan kami menawarkan perkhidmatan untuk menghapuskan masa transit sebelum ini iaitu sekitar enam jam,” katanya.

Sementara itu, kapten pesawat berkenaan, Indranil Ray Chaudhury memberitahu, penerbangan jarak jauh tanpa henti memberi cabaran bukan sahaja kepada penumpang, malah kepada kru penerbangan sendiri.

“Saya akan mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri dengan penerbangan sebegini,” katanya.

Sebagai kapten pesawat, Chaudhury menerbangkan sendiri pesawat berkenaan ketika berlepas dan bahagian awal penerbangan sebelum berehat.

Dia kemudian kembali semula ke kokpit untuk mengendalikan tiga jam terakhir penerbangan.

“Anda perlu sentiasa segar bukan sahaja semasa mendarat tetapi juga untuk sebarang kemungkinan termasuk cuaca buruk,” katanya.

Setiap seorang daripada 13 kru penerbangan berkenaan juga mendapat rehat selama lima jam di dalam bilik tidur anak kapal.

“Penumpang akan menjadi mudah untuk berasa resah berbanding biasa dan kami akan menawarkan mereka sesuatu untuk dimakan atau untuk ditonton,” kata kru penerbangan, Charmaine Ang.

Tonton filem

Bagi penerbangan ini, SIA mencadangkan penumpang untuk tidur sebanyak dua kali iaitu lima jam untuk sekali tidur berserta dua sajian makanan.

Selepas sejam sajian pertama dihidangkan, lampu kabin bertukar oren untuk mensimulasikan cahaya matahari walaupun ketika itu malam.

Lampu kabin kemudian akan digelapkan untuk masa tidur pertama sebelum lampu biru terang dinyalakan lima jam selepas itu.

Penumpang seterusnya akan dihidangkan makan malam sebelum sekali lagi lampu digelapkan bagi membolehkan penumpang tidur buat kali kedua.

Sementara itu, salah seorang penumpang, Tilo Kruger yang menaiki pesawat berkenaan dengan tiga rakannya memberitahu, dia menaiki pesawat itu untuk merasai pengalaman terbang tanpa henti selama hampir 19 jam itu.

“Selain itu, saya juga mahu melihat sendiri keadaan dalaman pesawat ini,” katanya.

Seorang lagi penumpang yang kelihatan bimbang, Peggy Ang berkata, dia tidak pasti apa yang perlu dilakukannya sepanjang penerbangan berkenaan.

“Mungkin saya menonton semua filem yang saya mampu,” katanya yang mahu ke Orlando untuk urusan perniagaan.

Dalam pada itu, pakar penerbangan, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd. Haniff berkata, teknologi enjin pesawat terkini membolehkan pesawat penumpang mempunyai kemampuan untuk terbang lebih jauh berbanding sebelum ini.

“Faktor pengurusan minyak yang lebih cekap di mana enjin pesawat pada masa kini menggunakan minyak yang lebih sedikit untuk jarak yang sama membolehkan pesawat terkini terbang lebih jauh.

“Selain itu, faktor tangki minyak yang lebih besar pada pesawat juga memainkan peranan penting bagi membolehkan pesawat berkenaan untuk terbang lebih jauh,” katanya.

Selain itu, jelasnya, pengurangan bilangan penumpang seperti yang dilakukan SIA untuk penerbangan antara Singapura dan Newark menyebabkan berat kapal terbang berkurangan.

“Pengurangan berat ini sekali gus membolehkan pesawat terbang lebih jauh berbanding sebelum ini,” katanya.

Tambahnya, walaupun harga tiket penerbangan tanpa henti lebih mahal berbanding penerbangan berhenti, penumpang yang mengejar masa terutamanya ahli perniagaan gemar menggunakan penerbangan tanpa henti kerana mereka dapat tiba ke destinasi dituju dengan lebih cepat.