Bagaimanapun, baru-baru ini sekumpulan saintis telah mendedahkan kebaikan yang terkandung di dalam serangga tersebut walaupun ia membuatkan sesetengah masyarakat berasa mual.

Kedengaran agak pelik, namun saintis telah mendapati bahawa cecair yang dihasilkan oleh spesies lipas tertentu didapati mengandungi salah satu daripada sumber khasiat terbaik untuk pemakanan seimbang dan tidak mustahil ia boleh menjadi produk komersial suatu hari nanti.

Tidak seperti kebanyakan serangga lain, lipas dari spesies kumbang pasifik adalah bersifat viviparous iaitu lipas betina melahirkan anaknya yang berkembang di dalam tubuh dan bukannya dengan melalui proses bertelur.

Bagaimanapun, beberapa tahun lalu, saintis yang melakukan ujian terhadap beberapa spesies serangga telah menemui sesuatu yang bersifat luar biasa selepas mendapati terdapat spesies lipas yang mengembangkan embrio dan menetaskan anaknya di dalam tubuh sebelum melahirkannya.

Paling berkhasiat

Malah, lipas betina itu juga di dapati memberi anaknya minum sejenis cecair ibarat susu berwarna kuning pucat yang dikeluarkan melalui kulitnya.

Hasil daripada penyelidikan yang dijalankan mendapati, susu lipas mempunyai tiga kali ganda kandungan tenaga berbanding susu lembu, sekali gus menjadikan susu lipas salah satu bahan paling berkhasiat.

Semasa memotong bahagian kulit lipas untuk melakukan kajian, para penyelidik mendapati bahawa cecair yang dihasilkan oleh lipas betina mempunyai bentuk seperti susu yang mempunyai tekstur berkilat seperti kristal dan sedikit melekit.

Kajian menyeluruh yang dijalankan ke atas cecair kristal itu menunjukkan bahawa sumber khasiat yang terkandung di dalamnya terdiri daripada sumber makanan lengkap terbaik yang terdapat di dunia.

“Di dalam susu lipas terkandung sumber khasiat seperti protein, asid amino penting, lipid dan gula,” ujar salah seorang saintis yang terlibat dalam kajian itu, Leonard Chavas, kepada agensi berita CNN.

Dakwa Chavas lagi, kandungan khasiat yang terkandung di dalam susu lipas tersebut begitu tinggi untuk membantu anak-anak lipas kumbang pasifik membesar dengan cepat, malah saiznya lebih besar berbanding spesies lain.

Bahan berkhasiat itu diekstrak dalam bentuk cecair kristal yang memerlukan embrio di dalam kantung dan terkumpul di bawah lapisan kulit lipas yang nipis.

Proses sukar

Bagaimanapun, proses penghasilan susu lipas itu bukanlah sesuatu proses mudah yang disangka. Hal ini kerana, untuk mendapatkan kira-kira 100 gram susu lipas, sebanyak 1,000 ekor lipas diperlukan untuk mendapat khasiat daripada susunya.

Buat masa ini, saintis cuma mampu untuk menghasilkan bahan yang mengandungi khasiat sama seperti susu lipas dan menghasilkannya dalam bentuk pil.

“Kami masih menjalankan kajian menyeluruh dan ingin menghasilkan pengeluaran susu lipas secara besar-besaran,” ujar Chavas.

Secara teorinya, susu lipas itu boleh digunakan dengan cara menuang sedikit cecair tersebut ke dalam bancuhan kopi. Bahkan, ia juga boleh digunakan sewaktu mengambil sarapan bijirin pada waktu pagi selain dijadikan perasa tambahan di dalam aiskrim.

Bagaimanapun, timbul persoalan terhadap penghasilan susu lipas tersebut iaitu dari segi rasa dan tahap keselamatannya terhadap manusia.

Dalam satu pendedahan yang diumumkan, Chavas memberitahu bahawa rasa susu lipas tidaklah seburuk seperti yang disangka, namun ia masih berasa tidak sedap. Menurutnya, susu lipas tidak mempunyai rasa tertentu dan sukar untuk menggambarkannya.

Mengenai kesan pengambilannya terhadap manusia, ia bagaimanapun menunjukkan jawapan yang agak merumitkan.

Menurut ahli biokimia, Subramanian Ramaswamy dari Intitut Biologi Stem Cell dan Perubatan Regeneratif, Bangalore, India pada dasarnya cecair yang dihasilkan oleh lipas itu dilihat tidak mendatangkan apa-apa masalah.

“Bagaimanapun, belum ada bukti saintifik yang menunjukkan perkara tersebut adalah benar,” ujar Subramanian.

Sebelum ini, susu lipas pernah menjadi tajuk berita muka hadapan akhbar dua tahun lalu, dan tidak pernah dilaporkan lagi selepas itu sebelum ia dibangkitkan semula oleh saintis beberapa hari lalu.

Saintis dakwa kandungan khasiat dalam cecair pada badan lipas tiga kali ganda lebih tinggi berbanding susu lembu dan akan dikomersialkan melalui kajian terperinci.