Tragedi itu tercetus setelah polis melancarkan operasi untuk menahan seorang guru agama, Ibrahim Mahmood atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya.

Dalam peristiwa tersebut, seramai 14 penduduk termasuk Ibrahim Libya terbunuh manakala empat lagi anggota polis turut terkorban.

Pada waktu itu, kebanyakan penduduk di Kampung Memali begitu taksub dengan fahaman politik yang ekstrem sehingga timbul isu kafir-mengkafir dan pulau-memulau.

Bagaimanapun, selepas 32 tahun peristiwa itu berlalu, penduduk di kampung berkenaan kembali hidup dalam suasana yang cukup harmoni, mesra dan saling hormat-menghormati.

Selain itu, taraf ekonomi penduduk di kampung yang terletak tidak jauh dari sempadan Thailand itu semakin baik apabila terdapat dalam kalangan generasi muda yang bekerja di dalam sektor kerajaan dan berniaga. Bagaimanapun, terdapat sebahagian penduduk masih bekerja sebagai penoreh getah dan petani.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Memali, Mhd. Khir Ibrahim, 62, berkata, Kampung Memali yang berasal daripada sejenis pokok bernama Mali-mali mempunyai seramai 400 penduduk.



OMAR (kanan) mengetuai projek ternakan madu kelulut di Kampung Memali.

Gembira

Menurutnya, kawasan kampung berkenaan yang berkeluasan kira-kira dua kilometer persegi terletak berdekatan Selatan Thailand mempunyai hubungan dengan masyarakat Patani di selatan negara jiran itu sejak dahulu.

"Saya gembira penduduk di kampung ini kini hidup dalam suasana cukup mesra dan erat sejak beberapa tahun lalu.

"Pada masa ini, tiada lagi masalah politik ekstrem dalam kalangan penduduk apabila mereka menunjukkan semangat kerjasama dan saling bantu-membantu seperti majlis kenduri perkahwinan dan kematian," katanya ketika ditemui Kosmo! di kampung berkenaan baru-baru ini.

Mhd. Khir memberitahu, kampung tersebut yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayu dan Parlimen Baling juga tidak terlepas daripada arus pembangunan walaupun terletak jauh di kawasan pedalaman.



Muhammad Mahyudin mengusahakan kedai runcit yang menjadi tumpuan penduduk kampung membeli barangan keperluan harian.

Manfaat

"Penduduk di kampung ini telah mendapat manfaat daripada pembinaan jalan dari Bandar Baling ke kawasan sempadan negara jiran di Durian Burung, Padang Terap yang merentasi kampung berkenaan, selain kemudahan asas lain seperti bekalan air dan elektrik," katanya.

Dalam pada itu, Imam Masjid Charok Puteh, Rashid Sudin, 63, pula berkata, penduduk di Kampung Memali tanpa mengira fahaman politik bersembahyang di masjid berkenaan yang terletak bersebelahan dengan kampung tersebut.

Menurutnya, sebuah lagi masjid berhampiran dengan Kampung Memali adalah Masjid Pecah Sawa.

Katanya, ahli jawatankuasa Masjid Charok Puteh sentiasa menganjurkan program ceramah agama bagi menggalakkan lebih ramai ahli kariah penduduk Memali mengimarahkan masjid itu.

Selain itu, tambahnya, beberapa program lain juga diadakan seperti gotong-royong, majlis korban pada Hari Raya Aidiladha dan acara penyampaian bantuan.

"Perkara yang membanggakan, penduduk Memali tanpa mengira fahaman politik dan peringkat usia memberi sambutan yang baik dalam menjayakan program-program tersebut," katanya.

Ketua Peneroka Felcra Weng, Memali, Omar Abu Bakar, 60, berkata, seramai 43 peserta di tanah rancangan itu mengusahakan projek menternak madu kelulut secara berkelompak sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, peserta terbabit akan bergotong-royong mengutip madu kelulut itu kira-kira tiga minggu sekali untuk dijual dan hasil pendapatan dikumpulkan terlebih dulu sebelum diagihkan pada musim persekolahan dan perayaan.

"Pada masa ini, kami mempunyai 380 sarang madu kelulut dan sekali kutipan mendapat hasil kira-kira 69 kilogram madu. Madu kelulut ini dijual kepada Felcra pada harga RM200 sekilogram," katanya.

Menurutnya, peserta terbabit juga merancang untuk menambah bilangan sarang madu kelulut itu dari semasa ke semasa bagi memberi pulangan pendapatan yang lebih tinggi.

"Selain itu, projek menternak madu kelulut ini diharapkan dapat menarik pelancong berkunjung ke Felcra Weng, Memali ini untuk melihat secara dekat penternakan madu kelulut," katanya.



GAMBAR fail tragedi Memali yang berlaku 32 tahun lalu.

Maju

Seorang peniaga kedai runcit, Muhammad Mahyuddin Abd. Rahman, 41, berkata, perniagaan kedai runcit yang diusahakan sejak empat tahun lalu di kampung itu semakin maju dan dia merancang untuk membuka sebuah lagi kedai runcit untuk memenuhi permintaan penduduk dalam tempoh terdekat.

"Pelanggan kedai runcit saya ini bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan, malah orang ramai yang melalui jalan baharu dari Baling ke Durian Burung untuk ke pintu sempadan Malaysia dan Thailand turut singgah di sini," katanya.

Selain itu, Muhammad Mahyuddin memberitahu, kedai runcitnya menjadi tumpuan penduduk kerana kedudukan kampung itu agak jauh dari bandar Baling untuk mereka membeli barangan keperluan harian.