Dengan langkah perlahan, sekumpulan gajah dewasa menghalakan belalai dan telinga mereka ke hadapan sebagai tanda amaran agar dua ekor singa betina yang berada berhampiran melarikan diri.

Gajah-gajah dewasa itu berdiri di hadapan binatang pemangsa itu bagi membolehkan anak-anak gajah minum dengan selamat.

“Lihat betapa tenangnya kawanan gajah itu? Perkara tersebut tidak berlaku beberapa bulan lalu. Haiwan itu masih gemuruh,” kata ketua pemuliharaan untuk taman-taman di Afrika, Froment.

Dicemari

Froment yang berasal dari Belgium telah berpindah ke Benin, sebuah negara di Afrika Barat sejak empat bulan lalu. Dia telah menghabiskan hayatnya di Afrika bagi membantu negara-negara di benua itu untuk melindungi taman negara mereka daripada musnah akibat konflik yang tidak berkesudahan sejak beberapa dekad lalu.

Benin tidak berperang, namun wilayah Pendjari yang terletak lebih 12 jam dari ibu kota Cotonou telah bertahun-tahun diabaikan hak politik dan ekonomi.

Taman negara seluas 4,700 kilometer persegi itu merupakan salah satu daripada tiga sempadan di bahagian utara Benin dan berjiran dengan Burkina Faso dan Niger.

Ia merupakan pusat santuari terakhir bagi hidupan liar di Afrika Barat dan telah lama diabaikan sejak zaman kolonial Perancis.

Pendjari telah dicemari dengan masalah pemburuan gajah untuk mendapatkan gading, pemburu haram dan penebangan pokok.

Pengarah Badan Kebangsaan Benin untuk Promosi Pembangunan Warisan dan Pelancongan (ANPT), Jose Pliya berkata, kemusnahan yang disebabkan aktiviti manusia akhirnya membuatkan taman itu ‘mati secara perlahan-lahan’.

Kerajaan menubuhkan ANPT untuk menyokong pelaksanaan projek-projek baharu seiring dengan visi Presiden Patrice Talon yang ingin menjadikan sektor pelancongan sebagai keutamaan sepanjang tempoh lima tahun pentadbirannya.

“Presiden sering menekankan kekayaan warisan dan budaya di Benin berbanding hasil minyak yang belum dimanfaatkan.

“Kami sedang menjalankan enam projek di seluruh negara. Pada masa ini, Pendjari merupakan antara projek yang paling progresif,” kata Pliya.

Kira-kira 200,000 orang pelancong melawat Benin pada tahun 2014 hingga 2015. Namun, Presiden Talon mempunyai matlamat untuk mencapai jumlah sejuta pelancong antara 2018 hingga 2021 dan mewujudkan lebih 100,000 peluang pekerjaan dalam tempoh sedekad akan datang.

Bagi mengembalikan semula kegemilangan taman negara tersebut, Benin perlu mencari pelabur luar yang sanggup melabur AS$26 juta (RM101.2 juta) untuk tempoh lebih sedekad. Malah, kerajaan Benin sendiri telah memperuntukkan sejumlah AS$6 juta (RM23 juta).

Benin ingin mengikut jejak langkah Rwanda yang menjadikan program pemuliharaan gorila sebagai tarikan pelancongan utama dan mampu menghasilkan pendapatan lebih AS$400 juta (RM1.6 bilion) pada tahun 2016.

Ekonomi

Pada masa ini, hanya terdapat beberapa ekor singa, kerbau dan badak air tetapi angka sebenar sedang dikumpul menggunakan pesawat ringan yang terbang rendah.

“Sebelum ini tiada cara untuk terbang di sini, namun ia menjadi keperluan kerana pemantauan dari udara dapat melihat bangkai, kebakaran hutan dan kesan pemburuan dengan lebih jelas,” kata juruterbangnya, Stephane Carre.

Cabaran terbesar di rantau yang kebanyakan masyarakatnya miskin itu ialah penerimaan penduduk di kampung sekitar. Pembangunan taman negara itu tidak akan bermakna sekiranya penduduk setempat tidak mendapat manfaat secara ekonomi.

Selain mewujudkan peluang pekerjaan dalam pelancongan, taman negara di Afrika juga diharap dapat mengembangkan perusahaan mengeksport madu lebah dan membuat mentega shea untuk industri kosmetik. – AFP