Melihat betapa besarnya pengorbanan golongan ibu mengusung bayi di dalam perut ke hulu ke hilir selama 40 minggu bukan suatu perkara yang mudah. Bahkan, si ibulah yang terpaksa bertarung nyawa ketika melahirkan anak.

Pengorbanan demi pengorbanan dalam membesarkan seorang anak semestinya menjadi satu penghargaan bagi golongan ibu melihat anak-anak membesar di sisi.

Baru-baru ini, media massa tempatan mendedahkan senario sebaliknya apabila seorang ibu tergamak menjadikan dua anak kandungnya hamba seks kepada lelaki warga asing di Johor Bahru, Johor.

Wanita yang mengakui kesempitan hidup itu memberitahu, dia pernah beberapa kali membawa dua anak perempuannya ke hotel bajet berkenaan untuk dilacurkan kepada dua lelaki warga Bangladesh.

Dia yang berada di dalam bilik hotel berkenaan menerima bayaran RM50 bagi setiap anak manakala mangsa dibayar RM1, RM5, RM10 dan RM20.

Tindakan ibu tunggal itu melacurkan dua anak perempuannya yang baru berusia 10 dan 13 tahun kepada warga asing di sebuah hotel bajet pada bulan lalu mendapat balasan apabila dia dijatuhi hukuman penjara selama 75 tahun oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Permintaan

Menurut Naib Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM), Dr. Kamal Kenny, isu berkenaan jenayah seks ke atas kanak-kanak bawah umur tersebut bukan suatu isu baharu.

Katanya, ia cuma menjadi perhatian umum disebabkan sikap si ibu yang tergamak melacurkan anak sendiri sebagai mata pencariannya.

“Apabila berlaku insiden sebegini, masyarakat hanya menuding jari kepada si ibu dan melihat dari sudut pandang pelaku.

“Sedangkan hakikatnya, persoalan yang perlu dirungkai adalah lapisan di sebalik insiden yang berlaku iaitu permintaan terhadap jenayah seksual itu sendiri.

“Jika kita lihat, ibu tersebut melacurkan anaknya kepada pelanggan. Ini menunjukkan sebenarnya wujud permintaan terhadap sindiket pelacuran yang melibatkan golongan kanak-kanak dalam masyarakat kita,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Kongsi Kamal, hasil kajian FRHAM pada tahun 2015, lebih 5,000 pelacur kanak-kanak bawah umur yang dikenal pasti aktif melakukan kegiatan tersebut di sekitar Lembah Klang.

Kitaran tersebut dikatakan mudah untuk menular disebabkan kelemahan masyarakat yang menganggap pendidikan seks itu sebagai satu topik sensitif untuk dibincangkan secara meluas.

Namun, sekiranya ia diperkasakan di peringkat akar umbi, golongan kanak-kanak termasuk ahli keluarga mampu bertindak sekiranya berhadapan dengan isu sebegini.

Jelasnya, disebabkan pemikiran sempit masyarakat terhadap isu tersebut, mereka lebih memilih untuk berdiam diri apabila berlaku insiden itu di sekeliling.

“Apabila keluarga mangsa memilih untuk berdiam diri sebagai jalan keluar, ia akan mendorong pemangsa untuk melakukan terhadap orang lain dan kitaran tersebut akan berterusan buat selamanya.

“Justeru, langkah pencegahan dari awal menerusi pendidikan seks di sekolah, rumah dan program-program kesedaran di peringkat makro perlu dilaksanakan dengan lebih efisien.

Terus terang

“Isu jenayah seksual ini boleh diatasi sekiranya semua pihak seperti ibu bapa, guru, rakan, masyarakat, kerajaan termasuk pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) berganding bahu dan menjalankan peranan masing-masing dalam membanteras isu ini,” tegasnya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif FRHAM, Syirin Junisya berkata, komuniti dalam masyarakat memainkan peranan yang sangat besar dalam memantau dan melaporkan sebarang kejadian melibatkan jenayah seksual.

Ujarnya, sekiranya seluruh masyarakat memberikan kerjasama, usaha memastikan persekitaran harmoni pasti dapat dijayakan.

“Masyarakat kita selalu menganggap mengutarakan isu berkenaan pendidikan seks secara terbuka sebagai bukan budaya kita.

“Walaupun kononnya ia bukan budaya kita tetapi jenayah berkaitan seks seperti ini tetap juga berlaku dalam masyarakat, malah Asia Tenggara mencatatkan jumlah jenayah seksual tertinggi di dunia.

“Kita perlu menerima kenyataan tersebut dan hadapi situasi seperti ini dengan menjadi masyarakat yang berterus terang,” jelasnya.

Syirin menambah, usaha melahirkan masyarakat penyayang tidak mustahil untuk dicapai, namun mentaliti dan persepsi masyarakat terhadap pendidikan seks perlu diubah terlebih dahulu.