Remaja berusia 15 tahun itu keliru lantas bertanya kepada kawan-kawannya: “Apa yang terjadi? Kenapa semuanya gelap?”

Selepas beberapa kali mendapatkan rawatan di hospital namun semua usaha menemui jalan buntu. Ibu bapanya berasa malu dengan keadaan anak mereka. Pakar perubatan mengesahkan Mubarak buta.

Susulan itu, Mubarak tidak ke sekolah dan dia dikunci di dalam pondok lumpur milik keluarganya selama beberapa tahun.

Kini, Mubarak, 22, kembali ke bilik darjah dengan inisiatif kecil oleh agensi bantuan yang membantu kanak-kanak kelainan upaya (OKU) mendapatkan pendidikan arus perdana.

Kehidupan sangat sukar bagi OKU di negara termuda di dunia itu akibat terlibat dalam perang saudara dua tahun selepas kemerdekaan pada tahun 2011.

Peperangan berlaku apabila tentera yang setia kepada Presiden Salva Kiir bertempur dengan tentera yang setia kepada Naib Presiden negara tersebut, Riek Machar.

Ketidakupayaan yang disebabkan oleh konflik semakin meningkat selepas keganasan merebak di seluruh negara dan membunuh puluhan ribu penduduk.

 

Tertekan

Duduk di belakang sebuah Pusat Pendidikan Rejaf untuk Orang Buta, Mubarak merupakan antara kira-kira 20 peratus pelajar OKU di Sudan Selatan yang bersekolah.

“Saya sedang menyesuaikan diri dengan keadaan saya. Tinggal di rumah selama beberapa tahun lalu adalah detik paling sukar. Saya tidak dapat menyesuaikan diri menjadi seorang buta dan sangat tertekan,” katanya yang memakai pakaian seragam berwarna biru dan cermin mata hitam.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan sehingga 15 peratus penduduk dunia adalah kurang upaya tetapi data menunjukkan jumlah yang sedikit di negara-negara membangun. Sikap dan stigma terhadap individu OKU sangat meluas di Sudan Selatan dan usaha untuk mengubahnya sukar.

“Kanak-kanak OKU akan disorok dan orang ramai menggelar mereka dengan kecacatan yang dialami berbanding nama yang diberikan,” kata Kelly Thayer yang merupakan penyelaras kecemasan untuk badan kebajikan Humanity and Inclusion yang dahulunya dikenali sebagai Handicap International.

Badan kebajikan tersebut melatih guru dan pekerja sosial bagi memastikan kekurangan dapat ditambah baik.

“Orang ramai mempunyai tanggapan bahawa kanak-kanak OKU tidak perlu ke sekolah.

“Kebanyakan sekolah sukar dihubungi dan kekurangan guru keperluan khas,” kata Thayer.

“Kemiskinan dan buta huruf memburukkan lagi keadaan,” kata Menteri Kebajikan Sosial, Awut Deng Acuil sambil menambah bahawa penyakit polio, digigit ular dan kemalangan antara punca ketidakupayaan.

Di Juba, hanya sebuah daripada beratus-ratus sekolah menyokong pendidikan untuk golongan OKU namun hasilnya positif.

Mubarak yang belajar membaca dan menulis Braille di sekolah khas tidak lama lagi akan dipindahkan ke sekolah arus perdana.

Sementara itu, Faiba Gale, 18, pula belajar di sekolah menengah di daerah Buluk, Juba, salah sebuah daripada beberapa sekolah yang menyokong pendidikan inklusif.

“Ibu bapa saya mahu saya menyambung pelajaran. Pada peringkat awal, ia agak sukar. Hari ini saya suka pergi ke sekolah dan rakan sekelas sangat membantu,” kata Gale yang jatuh sakit semasa kanak-kanak dan tidak mampu untuk berjalan tanpa bantuan.

Berpuluh-puluh pelajar memakai baju putih dilihat duduk bersama Gale di atas kerusi kayu di dalam sebuah kelas sederhana.

“Kami mengajar pelajar agar saling membantu dan kami melihat ikatan persahabatan antara pelajar normal dan pelajar OKU,” kata guru besar Sekolah Rendah Buluk A2, James Jada.

 

Bahasa isyarat

Dalam pada itu, Samuel Stephen, 12, yang dilahirkan cacat pendengaran mempunyai seorang guru yang mengajar menggunakan bahasa isyarat sejak beberapa tahun lalu.

“Saya masih tidak faham semua yang diajar di dalam kelas namun guru saya menerangkan semampu beliau,” katanya kepada penterjemah.

Salah seorang kawan baiknya, Martin Arkangelo, 12, tidak pekak namun mempelajari bahasa isyarat sejak beberapa tahun lalu.

“Saya dan Stephen bermain bola sepak bersama-sama setiap hari. Tidak sukar untuk saya memahami bahasanya. Kini kami boleh bercakap menggunakan tangan,” katanya.

Walaupun dengan inisiatif baharu, kehidupan untuk individu OKU masih sukar terutama di kawasan Sudan Selatan yang dilanda perang.

“Ramai OKU duduk di rumah atau mengemis di pasar. Ahli keluarga mereka fikir kecacatan adalah sumpahan dan membebankan,” kata Anthony Joseph. 
– Reuters