Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Ali, 44, merupakan antara beratus-ratus pelarian Afghanistan di Australia yang memilih untuk menetap di kawasan pedalaman daripada tinggal di bandar utama seperti Sydney atau Melbourne.

Malah, restoran yang dibukanya itu menerima sambutan hangat kerana merupakan satu-satunya restoran di bandar tersebut yang menyajikan makanan berasaskan masakan Arab.

“Saya mencadangkan kepada semua rakan terutamanya warga Afghanistan agar berhijrah ke bandar ini kerana penduduknya sangat mesra.

“Tambahan pula, tidak susah untuk mendapatkan pekerjaan di sini kerana populasinya yang tidak begitu besar,” katanya sambil meminta agar nama sebenarnya dirahsiakan bagi melindungi keluarganya yang masih berada di negara asal.

Dikenali sebagai negara pendatang, hampir separuh daripada 25 juta penduduk Australia, sekurang-kurangnya salah seorang daripada ibu bapa mereka dilahirkan di luar negara.

Negara tersebut dianggarkan mengambil kira-kira 14,000 pelarian setiap tahun.

Bagaimanapun, disebabkan dasar antisuaka yang keras terhadap ketibaan bot dan insiden perkauman berprofil tinggi telah menyebabkannya dikenali sebagai sebuah negara yang tidak mesra kepada pendatang asing bukan berkulit putih.

Mengikut kumpulan pengkaji dari Institut Lowy, terdapat peningkatan dalam sentimen antipendatang walaupun pengambilan keseluruhan pendatang masih dihadkan pada 190,000 orang setiap tahun.

Berdasarkan kajian yang dilakukan, institut itu mendapati buat kali pertama pada tahun 2017 lebih daripada separuh rakyat negara itu mengatakan bahawa jumlah pendatang terlalu ramai.

Perubahan demografi yang pesat di bandar-bandar Australia sejak sedekad yang lalu telah menyebabkan ramai penduduk meluahkan kekecewaan dan terpaksa bergelut dengan kesesakan serta harga rumah yang tinggi.

Namun, menurut Menteri Penduduk dan Bandar, Alan Tudge, pada masa yang sama beberapa kawasan di luar bandar menuntut kedatangan lebih ramai orang.

Maklum balas

Tudge berkata, kementeriannya sedang merangka langkah untuk memastikan golongan pendatang yang baru tiba ditempatkan di pekan-pekan kecil di luar kawasan untuk beberapa tahun dan seterusnya menjadikan lokasi itu rumah mereka.

Pengkritik pula menyatakan bahawa dasar itu tidak akan dapat dilaksanakan disebabkan para pendatang terpaksa bergelut untuk menyesuaikan diri mereka dengan situasi luar bandar yang mempunyai bahasa serta budaya yang jauh berbeza.

Bagaimanapun, apa yang ditemui oleh seorang pengkaji dari Universiti Teknologi Sydney, Jock Collins adalah tidak sama dengan dakwaan pengkritik tersebut.

Collin yang baru sahaja menjalankan tinjauan terhadap 250 keluarga pendatang dari Iraq, Syria dan Afghanistan mendapati, kebanyakan daripada mereka memberikan maklum balas positif selepas ditempatkan di bandar-bandar kecil.

Tambahan pula, peluang pekerjaan yang masih banyak dan sambutan baik daripada penduduk setempat telah meringankan beban para pendatang yang berada di sana.

“Banyak bandar di luar kawasan mengalami masalah kekurangan populasi dan sesetengahnya disebabkan penghijrahan orang-orang muda. Jadi, kedatangan pendatang boleh memenuhi jurang yang ada,” katanya.

Kebanyakan pendatang juga meluahkan kebimbangan untuk menyesuaikan diri mereka dalam persekitaran yang sibuk berbanding kawasan luar bandar.

Antara kisah kejayaan hasil kedatangan pendatang ialah di Mingoola iaitu satu bandar kecil yang terletak di New South Wales dan bersempadan dengan Queensland.

Bandar tersebut boleh dikatakan hampir mati dan sunyi memandangkan kebanyakan penduduknya sudah memasuki peringkat lanjut usia atau warga emas.

Terdesak untuk mendapatkan suntikan golongan muda, bandar itu akhirnya berjaya mendapatkan penghuni baharu iaitu pelarian dari luar bandar timur Afrika yang sedang berjuang untuk hidup di Sydney.

Pujian yang sama turut diberikan terhadap Nhil, sebuah bandar yang terletak sejauh empat jam pemanduan dari Melbourne.

Bandar yang hampir kehilangan penduduk itu akhirnya terisi apabila syarikat pengeluar ayam tempatan, Luv-a-Duck menjumpai komuniti Karen iaitu satu kaum yang dianiaya di Myanmar dan menyatakan kesediaan untuk menetap di bandar kecil tersebut.

Lapan tahun kemudian, perniagaan di bandar tersebut kembali berkembang dan komuniti itu kini merupakan 10 peratus daripada jumlah penduduk Nhil yang seramai 2,000 orang.

“Dari kedudukan yang merosot, bandar-bandar itu kini berkembang pesat,” kata Jack Archer dari Institut Australia Wilayah iaitu sebuah badan yang menekankan strategi nasional bagi memenuhi keperluan bandar-bandar yang memerlukan pekerja daripada kalangan pendatang. – AFP