Usaha untuk membanteras gejala ini mesti diteruskan tanpa henti terutamanya melibatkan golongan lelaki yang menjadi pemimpin masa hadapan.

Apabila dadah telah menguasai diri, tiada pertimbangan yang boleh dibuat. Malah, seseorang penagih itu sanggup melakukan apa sahaja tanpa memikirkan kesan dan natijahnya.

Dalam Islam, dadah merupakan bahan terlarang dan diharamkan kerana ia memberi kesan yang negatif serta menggugat keharmonian masyarakat sehingga berlakunya jenayah membunuh.

Baru-baru ini, Kosmo! melaporkan seorang bapa yang berada di bawah pengaruh dadah bertindak kejam dengan menetak anak lelaki kandungnya sampai mati di rumah mereka di Puchong Permai, Selangor.

Membunuh dalam Islam adalah satu perbuatan yang keji dan diharamkan terutamanya jika pembunuhan itu disengajakan.

Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (Pinta), Mohd. Zahid Mahmood berkata, dalam Islam membunuh dengan sengaja akan dikenakan hukuman yang dipanggil qisas.

Qisas bermaksud balasan dan dari segi istilah adalah suatu hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah dan wajib dilaksanakan bagi menunaikan hak manusia.

“Dari segi Islam, pembunuhan yang disebabkan kesan daripada pengambilan benda-benda haram seperti arak ataupun dadah adalah kesalahan membunuh dengan sengaja.

Bertindak agresif

“Ini kerana ia adalah perbuatan yang dicari bukannya penyakit sejak lahir ataupun sakit kekal seperti gila,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Mohd. Zahid, apabila didapati bersalah oleh mahkamah, tertuduh wajib dikenakan hukuman qisas jika keluarga si mati berkehendak seperti itu.

Namun, Mohd. Zahid menjelaskan, dalam Islam juga jika keluarga si mati memaafkan pembunuh terbabit, ia terlepas daripada hukuman itu tetapi harus membayar pampasan seperti yang telah ditetapkan.

Sementara itu, bekas Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Dr. Abd. Halim Mohd. Hussin berkata, individu di bawah pengaruh dadah tidak dapat berfikir secara waras dan mudah hilang pertimbangan.

“Mengambil benda terlarang seperti dadah jenis syabu boleh menyebabkan seseorang itu bertindak agresif sehingga sanggup membunuh.

“Tindakan membunuh boleh berlaku kerana syabu adalah sejenis dadah perangsang dan ia berbeza dengan dadah heroin serta morfin yang memberi ketenangan kepada mereka,” katanya.

Abd. Halim menambah, pengambilan dadah secara berlebihan boleh mengakibatkan kematian kepada penagih.

Dalam pada itu, Abd. Halim berkata, pihak AADK sentiasa mengadakan kempen memerangi dadah habis-habisan di seluruh negara bagi memastikan rakyat tempatan bebas daripada bahan terlarang tersebut.

“Cuma kadang-kadang, kita tidak dapat membantu mereka yang sedang nazak akibat pengambilan dadah yang banyak atau sudah lama menagih.

“Kami berharap, rakan-rakan atau saudara-mara terdekat penagih akan memaklumkan dengan lebih awal mengenai keadaan mereka supaya tindakan segera boleh diambil,” ujarnya.