Permasalahan itu hakikatnya cukup mengganggu perasaan Sheikh Kharleez Bamadhaj Jaffar dan meraih empati dirinya.

Anak muda yang berumur 26 tahun itu rengsa jika dia tidak berbuat apa-apa bagi membantu bayi yang dilahirkan dengan kecacatan tersebut. Dia cukup memahami dilema tersebut apatah sepupunya juga menghidap masalah yang sama.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu tidak mengambil masa yang lama untuk bertindak. Selepas mendapat restu daripada kedua-dua ibu bapanya, anak kelahiran Kuala Lumpur itu nekad untuk melakukan kayuhan solo sejauh 4,593 kilometer (km) dari Kuala Lumpur ke Kunming, China demi menggapai misinya mengumpul dana untuk bayi yang berdepan masalah tersebut.

Dia hanya mengambil masa selama empat bulan untuk membuat persediaan termasuk peralatan dan perancangan perjalanan.

Berbekalkan wang simpanan sebanyak RM2,000 kembara yang mengambil masa selama 67 hari itu merentasi beberapa negara seperti Thailand, Laos dan Vietnam.

Ternyata, usaha pemegang Ijazah Sarjana Muda Perdagangan Antarabangsa, Universiti Multimedia (MMU), Melaka itu berbaloi. Dia berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM15,000 untuk Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia (CLAPAM).

Selain membuat kayuhan solo empat tahun lalu, penganalisis kanan di syarikat Willies Towers Watson itu aktif melakukan kerja-kerja amal terutama dalam membantu golongan gelandangan dan mereka yang kurang bernasib baik.

Jiwa besar yang dimiliki anak bongsu dari tiga beradik itu terus menjadi bualan apabila berita kejayaannya terpampang di dada-dada akhbar dan menjadi ikon golongan muda.

Pasti tiada siapa yang menyangka tarikh 20 Februari 2018 adalah hari terakhir pemuda itu keluar dari rumah untuk ke tempat kerja dan tidak kembali buat selama-lamanya ke pangkuan keluarga.

Dia terlibat dalam kemalangan jalan raya yang telah meragut nyawanya.

Kehilangan

Motosikal jenis Kawasaki Ninja yang ditunggang Sheikh Kharleez dipercayai terbabas dilanggar sebuah kereta Proton Saga di Kilometer 445.8 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara.

Betapa luluhnya hati kedua-dua ibu bapa dan sanak saudara Allahyarham saat menerima berita duka itu namun mereka reda dengan takdir yang telah ditentukan.

Ibu Allahyarham Sheikh Kharleez, Tunku Zaleha Tunku Yusoff, menyifatkan pemergian anaknya satu kehilangan besar yang tidak mungkin dapat dicari ganti.

Jauh di sudut hati, dia bersyukur anaknya seorang manusia yang berguna bukan sahaja kepada keluarga bahkan masyarakat.

Ibu kepada tiga anak itu mengakui meskipun pelbagai rintangan ditempuhi anaknya sepanjang menjayakan misi murni itu namun semua halangan tidak mematahkan sedikit pun semangatnya. Kembara yang panjang dan melibatkan banyak negara itu memungkinkan Allahyarham terdedah dengan persekitaran cuaca yang tidak menentu, dan berkomunikasi. Bahkan, Allahyarham Sheikh Kharleez sanggup mengikat perut dan pernah jatuh sakit ketika kayuhan amalnya menghampiri Vietnam.

“Dia mengalami demam dan selesema sehingga terpaksa berehat di Thanh Hoa, Vietnam selama beberapa hari sebelum menyambung semula perjalanan ke Hanoi,” ujarnya.

Virus

Selama beberapa minggu, Allahyarham mengalas perut dengan oat atau minuman bijirin yang dibeli di kedai serbaneka manakala dia menjamah roti bersama mentega kacang sebagai hidangan tengah hari dan pasta pada waktu malam.

Sifat suka membantu dalam diri Allahyarham ibarat ‘virus’ yang menjangkiti rakan-rakannya.

Sepanjang tujuh tahun perkenalan dengan Allahyarham, Nurul Nadia Ithnin, 25, menyifatkan Sheikh Kharleez sebagai seorang yang penyayang.

Pemuda itu bersama kira-kira 10 orang lagi rakan lain menyantuni gelandangan di sekitar Kuala Lumpur sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan.

“Dia sendiri mengambil inisiatif membungkus makanan dari rumahnya untuk diedarkan kepada gelandangan dan keluar mencari kotak-kotak yang boleh digunakan oleh mereka sebagai alas tempat tidur,” ujarnya yang menjalankan perniagaan secara online dan terlibat dalam misi membantu gelandangan.

Sheikh Kharleez juga akan meluangkan masa bersama gelandangan untuk mendengar suara hati mereka sambil menyuntik kata-kata semangat.

Dari kaca mata sahabat, Allahyarham seorang yang tidak pernah berkira baik dari segi masa, wang ringgit dan tenaga. Bahkan, dia tidak kisah untuk mengeluarkan duit poketnya sendiri.

Bagi menghargai sumbangan, perih jerih dan semangat yang tidak pernah putus asa Allahyarham, Nurul Nadia bersama rakan-rakan yang lain tekad untuk menubuhkan Yayasan Sheikh Kharleez dalam tempoh terdekat. “Menerusi yayasan ini, segala kerja-kerja amal yang pernah dilakukannya akan diteruskan. Mereka yang ingin menghulurkan dana boleh berbuat demikian menerusi yayasan tersebut,” ujarnya.

Seorang lagi karib Allahyarham yang juga perunding kewangan, Naim Syahir Khosaime, 27, menyifatkan Allahyarham mempunyai semangat kesukarelawan yang begitu tinggi.

Dia aktif mengikuti pelbagai kerja-kerja sukarela di bawah University Peer Group (UCG) iaitu sebuah persatuan pembimbing rakan sebaya di universitinya.

Antaranya mengajar bahasa Inggeris, memberi ceramah motivasi dan mengadakan program kesedaran dengan pelajar Sekolah Tunas Bakti, Melaka.

Menyedari betapa peri pentingnya tuntutan menuntut ilmu, Allahyarham Sheikh Kharleez memohon untuk menjalani praktikal sebagai felo di Teach for Malaysia.

Teach for Malaysia ialah sebuah badan amal yang menggembleng tenaga belia paling cemerlang negara untuk mengatasi ketidaksamaan ekuiti dalam pendidikan.

Melalui Felo Teach for Malaysia seseorang akan berkhidmat sebagai guru selama dua tahun di sekolah berkeperluan tinggi dan komited untuk mentransformasikan pencapaian kanak-kanak yang berlatar belakang sosio-ekonomi rendah.

“Dia mahu mendampingi, memberi motivasi dan semangat untuk mereka bangkit mengubah kehidupan menjadi lebih baik.

“Jika mahu dihitung tenaga yang dikorbankan, tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Terlalu sukar untuk mencari pemuda sepertinya yang sentiasa memikirkan orang lain,” katanya yang mengenali Allahyarham sejak lapan tahun lalu.

Sheikh Kharleez Bamadhaj Jaffar mengabdikan 
dirinya dengan kerja-kerja kebajikan demi 
membantu golongan yang kurang bernasib baik.