Bait-bait yang dipetik menerusi portal gazaalan.net dan diterjemah oleh seorang pengguna laman sosial, Hatta Syamsuddin itu merupakan satu daripada 10 pesanan terakhir Morsi selepas dia diarahkan untuk bercakap dan mempertahankan diri oleh hakim di dalam mahkamah, 25 minit sebelum rebah.

Sejak Isnin lalu, nama Mohammed Morsi Isa al-Ayyat, 67, menjadi sebutan ramai dan tajuk berita utama hampir di seluruh pelosok dunia selepas bekas presiden Mesir itu meninggal dunia.

Menurut laporan media tempatan, Morsi yang merupakan Presiden Mesir ke-5 rebah selepas penutup sesi perbicaraan kesnya di mahkamah dan meninggal dunia sejurus selepas itu. Laporan awal menyatakan kematian Morsi disebabkan oleh serangan jantung.

Menyingkap perjalanan hidupnya di pentas politik Mesir menerusi portal Aljazeera, Mohammed Morsi dilantik sebagai Presiden pada 24 Jun 2012 selepas Suruhanjaya Pilihan Raya Mesir mengumumkan bahawa Morsi berjaya memenangi kerusi Presiden Mesir dengan mengalahkan lawannya, Ahmed Shafiq.

Dalam Pilihan Raya tersebut, Morsi yang merupakan calon Ikhwanul Muslimin mendapat 51.7 peratus undi, manakala lawannya, Ahmed Shafiq yang hanya berjaya meraih 48.3 peratus undi.

Kemenangan tersebut lantas mencipta sejarah baharu dalam pucuk pimpinan negara tersebut apabila Morsi dikatakan menjadi pemimpin pertama Mesir yang memenangi pilihan raya secara demokratik dalam sejarah negara itu.

Biarpun dipilih secara demokratik selepas berakhirnya pemerintahan 30 tahun Presiden Hosni Mubarak, namun sepanjang setahun menerajui kepimpinan Mesir, Morsi sering digelar sebagai ‘tayar ganti’ dalam kalangan masyarakat setempat memandangkan beliau merupakan pengganti terakhir.

Difahamkan, pilihan awal pergerakan itu adalah seorang jutawan dan ahli perniagaan yang digugurkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan pada saat-saat akhir.

Bagaimanapun, tempoh pemerintahannya hanya bertahan satu tahun sahaja apabila pada 30 Jun 2013, bantahan besar-besaran meletus di Mesir yang mana segelintir penduduk menyeru peletakan jawatannya sebagai Presiden.

Morsi kemudian digulingkan pada 3 Julai 2013 oleh Menteri Pertahanan dan Panglima Besar Tentera, Abdul Fatah al-Sisi.

Susulan itu, pada April 2015, Morsi dijatuhi hukuman penjara selama 20 tahun di atas kematian perusuh dan ahli Ikhwanul Muslimin di luar istana Presiden di Mesir pada Disember 2012.

Penangkapan Morsi menjadikan beliau sebagai salah seorang daripada 60,000 masyarakat Mesir yang dipenjarakan atas keberanian mereka untuk mencari kehidupan lebih baik.

Siasatan telus

Impak kematian mengejutkan presiden pilihan rakyat itu cukup besar apabila seluruh masyarakat dunia bersedih. Pemergiannya ke ‘negara abadi’ bukan sahaja diratapi setiap isi bumi, malah turut mencetuskan kemarahan masyarakat di Mesir dan negara lain.

Biarpun punca kematiannya didakwa disebabkan serangan jantung, namun alasan tersebut tidak dapat diterima segelintir masyarakat dunia sehingga beberapa badan termasuk Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu menggesa siasatan lanjut yang lebih telus dilakukan untuk mencari jawapan tentang kematiannya.

Memetik laporan yang dikeluarkan portal Aljazeera, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menyalahkan penindasan atas kematian Morsi.

“Sejarah tidak pernah melupakan penindas yang menyebabkan kematiannya. Mereka mengurung Morsi di penjara dan mengancamnya dengan hukuman mati.

“Semoga Allah menenangkan saudara Morsi kami, jiwa syahid kami dengan damai,” kata Erdogan yang mempunyai hubungan erat dengan bekas presiden itu.

Human Rights Watch menyifatkan berita kematian Morsi sebagai ‘mengerikan’ memandangkan kegagalan pihak berkuasa memberikan beliau mendapatkan akses perubatan yang mencukupi.

Lebih-lebih lagi apabila pemimpin pilihan rakyat itu mempunyai sejarah kesihatan yang kurang memberangsangkan dan menghidap penyakit kencing manis, hati serta buah pinggang.

Tidak ketinggalan, pemimpin Ikhwanul Muslimin di London, Mohammed Sudan menyifatkan kematian Morsi sebagai pembunuhan yang dirancang.

“Pihak berkuasa Mesir meletakkannya di dalam kurungan bersendirian. Mereka menyekat bantuan perubatan dan memberinya makanan menjijikkan.

“Mereka tidak memberikan Morsi hak untuk mendapatkan keperluan hidup yang asas,” jelasnya.

Penjara Tora

Difahamkan sepanjang tempoh penahanan, beliau ditahan dengan kejam di dalam penjara Tora yang turut digelar sebagai Penjara Scorpion. Penjara tersebut direka khas untuk tahanan politik dan majoriti penghuninya merupakan Ahli Ikhwanul Muslimin.

Kaedah penahanan Morsi turut mendapat kecaman daripada Detention Review Panel yang dianggotai oleh peguam dan ahli parlimen Britain yang menganggap penahanan itu sebagai di bawah yang sepatutnya berdasarkan undang-undang antarabangsa.

Menurut laporan Human Right Watch, tahanan yang memasuki penjara berkenaan tidak akan keluar dalam keadaan hidup.

Mereka dinafikan hak untuk mendapatkan ubat-ubatan dan keluarga juga dilarang untuk menghantar bekalan ubat serta makanan kepada tahanan.

Dilaporkan dalam tempoh antara Mei hingga Oktober 2015, sekurang-kurangnya enam orang tahanan maut di dalam penjara tersebut dengan dua daripada mereka di diagnosis dengan kanser dan diabetes.

Menurut keluarga tahanan, pihak penjara melarang tahanan daripada menerima rawatan.

Di sebalik imej suram yang sering dipaparkan di media cetak dan elektronik, Morsi di kaca mata rakyat dan keluarga sebenarnya disifatkan sebagai seorang lelaki budiman.

Disebabkan itu, tidak hairanlah jika dia dipilih untuk menjadi Presiden sewaktu Pilihan Raya negara tersebut pada tahun 2012.

Perkara tersebut diperakui isterinya, Naglaa Mahmoud.

Menerusi laporan The Guardian, Naglaa mengahwini Morsi ketika berusia 17 tahun.

“Saya suka semua tentang dia. Perkelahian kami tidak pernah berlangsung lebih dari beberapa minit.

“Dia banyak membantu saya melakukan kerja-kerja rumah,” jelasnya.

Biarpun begitu, Naglaa menerusi akaun twitternya menyifatkan kematian suaminya itu sebagai syahid.

Selepas hampir enam tahun menjadi tahanan penjara, Morsi, pemimpin pertama di Mesir yang memenangi pilihan raya secara demokratik dalam sejarah negara tersebut pada tanggal 24 Jun 2012 disahkan meninggal dunia selepas 25 minit rebah di dalam mahkamah.