Pada bulan lepas sahaja, dua kes kematian mengejut dilaporkan berlaku di Dungun, Terengganu melibatkan dua orang lelaki berusia 36 tahun dan 57 tahun yang sedang dan selepas bermain badminton bersama rakan.

Pada tahun lepas, seorang remaja berusia 18 tahun juga rebah akibat sesak nafas sebelum disahkan meninggal dunia ketika bermain futsal.

Senario itu menimbulkan tanda tanya sama ada aktiviti bersukan seperti badminton dan futsal meningkatkan risiko kematian mengejut walaupun kebiasaaannya individu yang aktif lebih sihat dan sukar diserang penyakit.

Bagi mengupas lebih lanjut mengenai isu kematian mengejut ketika bersukan ini, ikuti temu bual yang dilakukan oleh wartawan Kosmo! Ahad, ROSLI HASSAN bersama Pengurus Jabatan Kecemasan Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Farina Mohd. Salleh di pejabatnya di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Apakah punca utama kematian mengejut yang berlaku semasa seseorang itu sedang bersukan?

DR. FARINA: Punca utama kematian mengejut terutamanya dalam masyarakat pertengahan umur dan warga emas yang bersukan adalah disebabkan serangan jantung akibat daripada salur darah koronari jantung yang tersumbat sama ada menjadi sempit atau tersumbat sepenuhnya.

Semasa bersukan, paru-paru dan otot memerlukan oksigen yang lebih daripada kebiasaannya. Disebabkan salur darah koronari jantung tersumbat, jantung gagal mengepam darah beroksigen secukupnya sehingga boleh menyebabkan seseorang itu sesak nafas dan akhirnya mati mengejut.

Terdapat juga kemungkinan seseorang yang sedang bersukan itu mati mengejut akibat penyakit asma, namun ia jarang berlaku jika hendak dibandingkan dengan mati mengejut akibat serangan jantung.

Apakah tanda-tanda seseorang itu mengalami serangan jantung ketika bersukan?

Serangan jantung ketika bersukan boleh menimpa sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur dan usia muda bukanlah jaminan seseorang itu selamat daripada risiko mati mengejut ketika bersukan.

Terdapat beberapa tanda seseorang itu mengalami serangan jantung ketika bersukan. Salah satu tanda berkenaan ialah rasa mencengkam dan menyucuk-nyucuk pada bahagian dada terutamanya di tengah-tengah atau sebelah kiri dada.

Ramai yang tersalah anggap rasa sakit pada tengah dada adalah akibat sakit pedih hulu hati sedangkan ia sebenarnya adalah akibat serangan jantung.

Selain itu, seseorang itu juga akan mengalami kesukaran hendak bernafas, berpeluh dengan banyak selain degupan jantung yang laju atau tidak sekata.

Terdapat sesetengah individu turut berasa berdebar dan bimbang tanpa sebab sebelum mengalami serangan jantung.

Mereka yang mengalami serangan jantung juga akan berasa sakit serta kebas pada bahagian tangan kiri selain berasa pening dan terasa seperti hendak pitam sebelum akhirnya tidak sedarkan diri.

Boleh doktor jelaskan tindakan yang perlu diambil sekiranya seseorang mengalami tanda-tanda serangan jantung ketika bersukan.

Sekiranya seseorang yang sedang bersukan mengalami tanda-tanda sebegini, pertama sekali apa yang mereka perlukan lakukan adalah berhenti dan berehat daripada menjalani aktiviti sukan berkenaan dengan segera.

Jangan terlampau teruja untuk terus bermain dan memaksa diri walaupun selepas mengalami tanda-tanda serangan jantung ini sehingga mendedahkan diri kepada risiko mati mengejut akibat serangan jantung.

Sekiranya tanda-tanda ini tidak hilang selepas berehat, mereka perlu segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan menjalani pemeriksaan kesihatan dan bukannya ke klinik-klinik swasta.

Jangan pulang ke rumah untuk mandi atau menukar pakaian terlebih dahulu sebaliknya terus pergi ke hospital secepat mungkin. Jangan pandu sendiri kereta sebaliknya minta orang lain untuk menghantar kita ke hospital.

Selain itu, sekiranya seseorang itu didapati tidak sedarkan diri ketika bersukan, orang ramai perlu memberikan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) dengan segera sebelum dibawa segera ke hospital.

Bantuan kecemasan ini mampu meningkatkan peluang seseorang itu untuk hidup daripada dibiarkan begitu sahaja sementara menunggu ambulans tiba.

Apakah langkah-langkah yang perlu diambil sebelum seseorang itu menyertai aktiviti lasak atau bersukan?

Individu yang aktif dalam aktiviti sukan lasak atau berintensiti tinggi seperti badminton dan futsal digalakkan menjalani sesi pemeriksaan kesihatan secara berkala iaitu sekurang-kurangnya dua tahun sekali bagi mereka yang tidak mempunyai penyakit atau setahun sekali bagi mereka yang menghidap penyakit seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi.

IJN juga ada menawarkan Pakej Kecergasan Atlet kepada orang ramai bagi memastikan seseorang itu selamat ketika bersukan.

Pemeriksaan kesihatan ini dapat mengelakkan sebarang risiko kesihatan tidak dijangka seperti serangan jantung yang kemungkinan berlaku ketika bersukan terutamanya bagi mereka yang telah lama tidak aktif bersukan.

Walaupun individu yang gemar bersukan biasanya mempunyai tahap kesihatan yang lebih baik berbanding yang tidak aktif bersukan, mereka tidak semestinya bebas daripada penyakit jantung.

Mereka yang mempunyai sejarah ahli keluarga yang mengalami penyakit jantung berkemungkinan lebih tinggi untuk menghidap penyakit jantung tanpa mereka sedari.

Bagi mereka yang telah lama tidak aktif bersukan, tingkatkan aktiviti fizikal dengan bersukan secara sederhana terlebih dahulu.

Amalkan juga cara hidup yang sihat dengan tidak merokok selain mengamalkan pemakanan sihat.

Mereka yang mati mengejut kebanyakannya didapati terlibat dalam sukan badminton dan futsal. Adakah sukan ini mendatangkan risiko serangan jantung yang yang lebih tinggi berbanding sukan lain?

Sebenarnya semua aktiviti lasak seperti mendaki gunung dan sukan berintensiti tinggi seperti badminton, futsal, skuasy dan maraton boleh menyebabkan jantung berdegup dengan kadar yang lebih laju sekali gus meningkatkan risiko serangan jantung.

Bagaimanapun, disebabkan badminton dan futsal merupakan antara sukan kegemaran masyarakat di negara ini, maka bilangan mereka yang mati mengejut ketika bermain kedua-dua sukan ini adalah lebih tinggi berbanding sukan-sukan lain.

Ramai yang mendakwa melakukan aktiviti sukan pada waktu malam juga meningkat risiko serangan jantung. Dakwaan ini adalah tidak benar. Apa yang sebenarnya berlaku ialah masyarakat di negara ini lebih gemar bersukan pada waktu malam kerana keadaan suhunya yang lebih sejuk selain kesibukan bekerja pada waktu siang.

Disebabkan itu, ia hanyalah secara kebetulan kebanyakan kes mati mengejut berlaku pada waktu malam.

Adakah seseorang yang menyertai aktiviti lasak dan sukan berintensiti tinggi perlu memantau kadar degupan jantung mereka?

Mereka yang melakukan aktiviti lasak dan sukan berintensiti tinggi dinasihatkan memantau kadar degupan jantung masing-masing menerusi jam pintar yang dipakai pada tangan.

Kadar degupan jantung normal adalah 60 hingga 100 kali seminit, manakala atlet sukan mempunyai kadar degupan jantung sekitar 50 kali seminit.

Ketika sedang melakukan aktiviti lasak atau bersukan, kadar degupan jantung akan meningkat sekitar 130 kali seminit bagi mengepam darah beroksigen yang diperlukan otot dan paru-paru.

Kadar degupan jantung seseorang yang bersenam atau bersukan sepatutnya berada pada kadar 50 peratus hingga 80 peratus kadar degupan jantung maksimum.

Kadar degupan jantung maksimum dikira menerusi kaedah 220 tolak umur. Sebagai contoh, seseorang yang berumur 40 tahun mempunyai kadar degupan jantung maksimum 180 kali seminit.

Ketika bersenam, dia perlu mengawal kadar degupan jantung pada kadar 50 peratus hingga 80 peratus kadar daripada 180. Ini bermakna, kadar degupan jantungnya perlu berada antara 90 kali seminit hingga 144 kali seminit.

Jangan melebihi kadar degupan jantung ini kerana ia boleh meningkat risiko serangan jantung hingga akhirnya menyebabkan mati mengejut.