Sambil memerhatikan pekerja-pekerjanya memunggah barang, Koo Soo mula mengasingkan kerang-kerang yang akan dijual mengikut saiz masing-masing.

“Sekarang ini bekalan kerang agak sukar untuk diperolehi.

“Lebih lima tahun yang lalu, saya boleh mendapatkan lebih 10 guni kerang untuk dijual setiap hari. Setiap satu guni mengandungi sebanyak 57 kilogram (kg) kerang.

“Bagaimanapun, sejak dua tahun kebelakangan ini, saya hanya mampu mendapatkan kira-kira enam guni sahaja daripada pembekal kerang di Perak dan Selangor,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Ujar Koo Soo lagi, disebabkan kesukaran untuk mendapatkan bekalan kerang ketika ini, harga jualan kerang menjadi mahal iaitu antara RM8 hingga RM13 untuk setiap kilogram bergantung kepada saiz.

“Dahulu kerang dijual dengan harga serendah RM4 sahaja untuk 1kg. Bagaimanapun, kini harga tersebut berubah dan dijual dua kali ganda le­bih mahal dise­babkan kesukaran untuk mendapatkan bekalan,” jelasnya.

Ceritanya lagi, biarpun pada mulanya dia sendiri tidak pasti punca kesukaran untuk mendapatkan bekalan kerang untuk dijual, namun be­rita mengenai ancaman kepupusan hidupan kerang di Malaysia yang dikeluarkan akhbar baru-baru ini sedikit-sebanyak telah merungkai persoalan yang bermain di benaknya.

Menerusi laporan tersebut, hidupan kerang dijangka terancam dalam masa tiga tahun akan datang. Kenya­taan itu dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia selepas melihat trend kemerosotan pengeluaran hidupan kerang sejak 10 tahun kebelakangan ini.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Munir Mohd. Nawi, Malaysia mula berhadapan dengan masalah kemerosotan pengeluaran kerang pada tahun 2005 iaitu dengan perubahan hasil daripada 59,521 metrik tan setahun kepada hanya 9,597 metrik tan pada tahun 2016.

“Kerang atau nama saintifiknya Anadara granosa merupakan hidupan laut yang dikategorikan dalam kumpulan moluska. Di Malaysia, kita umpa­makan kerang sebagai emas hitam.

“Industri kerang negara sebenar­nya sudah bermula sejak beberapa dekad yang lalu. Kita merupakan satu daripada lima pengeluar kerang dunia selain China, Thailand, Korea dan Kemboja.

“Selangor dan Perak merupakan antara negeri pengeluar kerang utama di negara ini. Jika diimbas kembali, kita pernah mencapai tahap penge­luaran maksimum pada tahun 2010 iaitu sebanyak 78,000 metrik tan setahun selepas Kebun Kerang di ne­geri Selangor ditubuhkan.

“Bekalan kerang yang tinggi suatu ketika dahulu juga membolehkan kita membekalkan hidupan tersebut ke Singapura dan Thailand,” jelasnya.

Parameter air

Biarpun begitu, menurut Munir lagi, keadaan tersebut bagaimanapun berubah dan negara kini berhadapan dengan ancaman kepupusan hidupan itu berikutan pengeluaran kerang di Malaysia merosot sebanyak 80 peratus sejak 10 tahun yang lalu.

Bagaimanapun, apa yang menghairankan ialah, trend kemerosotan pendaratan kerang itu hanya berlaku di Malaysia dan tidak melibatkan empat buah negara pengeluar kerang yang lain.

Justeru, pada tahun 2015, Institut Penyelidikan Perikanan telah menjalankan satu program penyelidikan menyeluruh untuk mencari punca permasalahan tersebut di Kebun Kerang yang dibina di kawasan pesisir pantai sekitar pe­rairan Sepang sehingga sempadan perairan Perak.

Hasil daripada kajian itu mendapati, tangkapan kerang berkurangan disebabkan oleh peningkatan kadar kematian semula jadi yang berpunca daripada tekanan yang diberikan kepada habitat asal kerang.

“Hal ini berlaku disebabkan oleh beberapa faktor iaitu perubahan suhu dan kualiti air, ke­asidan air yang tinggi pada hidupan tersebut, kandungan oksigen yang rendah dan pencemaran bahan-bahan kimia tertentu.

“Apabila kerang terdedah kepada faktor-faktor risiko tersebut lebih dari enam jam secara berterusan setiap hari, ia akan menyebabkan hidupan tersebut mati,” jelasnya lagi.

Bukan itu sahaja, menurut Munir, selain sifat air pada persekitaran habitat kerang, kandungan ammonia yang tinggi di kawasan ternakan juga merupakan antara punca hidupan tersebut terancam.

Lazimnya, kehadiran ammonia di dalam air berpunca daripada pelbagai sumber antropogenik iaitu hasil daripada aktiviti manusia. Antaranya ialah penggunaan baja dan racun perosak di kawasan pertanian serta akuakultur di sepanjang kawasan pengeluaran kerang.

Malah, kewujudan kilang-kilang pemprosesan yang melepaskan afluen tidak terawat secara terus ke sungai juga me­ningkatkan kadar ammonia di dalam air.

Tutup cangkerang

“Lazimnya, kerang yang terdedah kepada sesuatu perubahan habitat negatif akan bertindak balas dengan menutup cangkerang mereka sebagai perlindungan.

“Pendedahan kepada ammonia dalam jangka masa yang panjang akan memberi tekanan kepada kerang kerana hidupan tersebut akan kelaparan disebabkan ke­tiadaan akses makanan dan ­mengakibatkan kematian.

“Permasalahan ammonia ini akan menjadi semakin buruk selepas peningkatan bacaan pH dan suhu di perairan terlibat. Ini ke­rana, semakin tinggi kealkalian air, semakin tinggi kepekatan ammonia dan risiko kerang untuk mati juga tinggi,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, menurut Pegawai Penyelidik Kanan Bahagian Perancangan dan Pembangunan Jabatan Perikanan Malaysia, Dr. Alias Man, pihaknya telah melaksanakan Pelan Pengurusan Ternakan Kerang bagi me­ningkatkan lagi hasil penge­luaran hidupan tersebut.

“Kita perlukan kajian lanjutan di seluruh negara dalam pelbagai aspek terutamanya bagi mengenal pasti punca sebenar kerang tidak dapat membiak dan membesar seperti dahulu.

“Hal ini mungkin mempunyai kaitan dengan masalah genetik yang mana benih berkenaan sudah tidak sesuai lagi digunakan untuk persekitaran sekarang.

“Baka baharu yang mempunyai ketahanan lebih baik untuk persekitaran hari ini perlu dibangunkan selain menyimpan induk kerang untuk tujuan pembenihan,” katanya.

Pengurusan kerang

Justeru, menurut Munir lagi, bagi mengatasi masalah kepupusan kerang dalam tempoh tiga tahun akan datang, Jabatan Perikanan kini melakukan pelbagai langkah dalam memastikan Malaysia kekal sebagai pengeluar yang menduduki tangga tiga teratas dunia.

“Kami kini sedang giat menjalankan aktiviti penternakan kerang di kawasan air dalam iaitu melebihi 5 meter di perairan Kapar, Selangor dan Lekir, Perak.

“Bagi tujuan tersebut, sebanyak 10,000kg induk kerang bersaiz 33 milimeter ke atas akan dilepaskan di kawasan tersebut dan dibiarkan untuk bertelur,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, pihaknya juga telah menjalankan kajian pembenihan kerang secara aruhan pada tahun 2016 di perairan Kapar, Sela­ngor, berdekatan dengan janakuasa termal Tenaga Nasional Berhad.

Lokasi tersebut dipilih kerana janakuasa mampu menghasilkan air laut bersuhu tinggi ke perairan sekitar.

Perubahan suhu air tersebut merupakan satu bentuk tekanan fizikal untuk mempengaruhi induk kerang supaya bertelur.

“Pihak kami akan meneruskan aktiviti pembenihan aruhan dengan memperuntukkan dana bagi tujuan tersebut, selain mengkaji tapak baharu yang berpotensi sebagai pengeluar kerang.

“Kami juga giat mewujudkan kesedaran dalam kalangan para penternak untuk memulihkan industri ini dengan memberi tum­puan kepada aspek pemuliharaan sumber,” jelasnya.

Pengeluaran kerang negara merosot daripada 59,521 metrik tan setahun pada tahun 2005 kepada hanya 9,597 metrik tan setahun pada tahun 2016 dipercayai akibat perubahan kualiti habitat hiidupan tersebut.