Bagaimanapun, disiplin yang tinggi dengan menghabiskan masa di gimnasium selain kawalan diet yang ketat menjadi kunci utama seseorang lelaki itu memperoleh perut berotot yang diidamkan.

Begitulah yang diimpikan lelaki bernama Ome Pangpaparn dari Bangkok, Thailand.

Dia yang pada awalnya bercita-cita untuk menjadi model terpaksa melupakan hasrat tersebut kerana wajahnya bukan sahaja tidak kacak, malah perutnya juga tidak berotot.

Namun, segala-galanya berubah apabila Pangpaparn menjadi popular dan tular selepas melakukan beberapa sesi pembedahan plastik pada wajah termasuk prosedur bagi membentuk otot pada bahagian perutnya.

Seiring dengan kehendak dan perkembangan teknologi pada hari ini, Hospital Masterpiece yang terletak di Bangkok telah menawarkan satu kaedah pembedahan plastik untuk merealisasikan impian para lelaki yang ingin memiliki otot perut yang kekar.

Hospital itu kemudiannya menjadi sensasi dalam media sosial selepas mengiklankan hasil pembedahan plastik khusus untuk golongan lelaki yang inginkan perut berotot tanpa perlu ke gimnasium.

Sedut lemak

Memetik temu bual Ketua Pegawai Eksekutif dan pakar bedah, Hospital Masterpiece, Dr. Raweewat ‘Sae’ Maschamadol menerusi portal Coconuts Bangkok, Hospital Masterpiece menerima hampir 20 hingga 30 permohonan untuk pembedahan six pack dalam masa setahun.

“Sebanyak 90 peratus daripadanya adalah daripada lelaki kaki gimnasium yang tidak mampu mencapai badan idaman mereka.

“Bagi mendapatkan otot perut yang asli, seseorang itu perlu bekerja keras di gimnasium dan perlu menjaga makannya. Kebanyakan daripada klien kami mempunyai otot cuma mereka tidak mahu terlalu lama menghabiskan masa di gimnasium,” kata pakar bedah berkenaan.

Menurut Maschamadol lagi, pembedahan abdominal etching dilakukan terhadap kliennya yang mana ia merupakan satu bentuk pembedahan plastik dengan menyedut keluar lemak pada bahagian abdomen yang menjadi punca kesukaran untuk otot terbentuk pada bahagian perut.

Bagaimanapun, ia tidak melibatkan sebarang penggunaan implan plastik dan silikon yang dimasukkan ke dalam perut pesakit.

“Kami tidak melakukan pembedahan implan kerana ia akan membuatkan perut anda kelihatan aneh dan tidak tahan lama.

“Pembedahan plastik ini hanya melibatkan kaedah liposuction, iaitu prosedur menyedut lemak pada bahagian perut,” ujarnya.

Lemak tepu

Prosedur pembedahan menyedut lemak itu hanya tertumpu pada bahagian abdomen dengan mengeluarkan sebahagian lemak tepu pada bahagian tersebut.

Pembedahan menyedut lemak berkenaan bukanlah sesuatu perkara baharu dalam bidang pembedahan plastik apabila ia pertama kali diperkenalkan di Texas, Amerika Syarikat pada tahun 1990.

Bagaimanapun, melalui kajian yang dibuat di beberapa buah negara di dunia, Maschamadol mendakwa telah membuat perubahan dengan mempelajari beberapa prosedur berbeza dan mengembangkan tekniknya sendiri supaya pembedahan yang memakan masa antara dua hingga empat jam itu tidak berasa sakit.

Kaedah pembedahan membentuk otot pada perut di Hospital Masterpiece menjadi semakin popular selepas Pangpaparn telah memuat naik gambar perutnya yang berotot selepas menjalani pembedahan di hospital tersebut.

“Lemak pada perut saya terlalu tebal walaupun saya kerap bersenam dan menumpukan bahagian perut,” kata Pangpaparn.