Dengan mengenakan tambang yang lebih murah berbanding teksi serta sistem teknologi yang lebih efisien, Grab menjadi pilihan rata-rata masyarakat termasuklah individu dari dalam dan luar negara.

Sejak beroperasi tiga tahun lalu, Grab mempunyai lebih 60,000 individu berdaftar untuk bergelar sebagai pemandu perkhidmatan itu.

Namun, dalam pada ingin membantu orang awam menyediakan kemudahan lain pula jadinya apabila Kosmo! baru-baru ini melaporkan seorang pemandu Grab, Aiman Nosri, 27, ditemui mati di dalam kereta miliknya di Taman Selayang Baru, Selayang, Selangor.

Mangsa yang merupakan pemegang Diploma Industri Multimedia dari Universiti Selangor (Unisel) ditemui dalam keadaan terlangkup di tempat duduk belakang kereta dengan kesan melecet pada leher.

Kes jenayah

Kehilangan mangsa disedari ahli keluarganya selepas ibu mangsa gagal menghubungi Aiman. Hasil siasatan membawa kepada penahanan sepasang suami isteri warga Myanmar berusia 32 dan 28 tahun di Pasar Borong Kuala Lumpur serta tiga lelaki warganegara India.

Walaupun kes seumpama itu pertama kali berlaku di negara ini, tetapi ia bukanlah kes jenayah yang julung-julung kalinya berlaku bagi pemandu Grab di luar negara.

Sebagai rekod, pada 25 Oktober 2017, seorang pemandu Grab mati ditembak sebelum keretanya dilarikan sekumpulan individu yang menyamar sebagai penumpang di Manila, Filipina.

Pada 28 Januari 2018, dua orang pelajar bertindak mengelar leher seorang pemandu Grab dengan pisau belati akibat terpengaruh dengan aksi ganas permainan video di Semarang, Indonesia.

Pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd. Rahim berkata, jenayah seumpama itu boleh berlaku kepada mana-mana pemandu perkhidmatan awam namun dalam hal yang berlaku baru-baru ini ia terjadi kepada pemandu Grab.

“Pemandu Grab lebih berpotensi dijadikan sasaran kerana mereka menggunakan kereta persendirian berbanding teksi berdaftar. Pendatang asing mungkin melihat kegiatan jenayah itu lebih mudah lakukan.

“Selain itu, oleh kerana pemandu Grab yang terdiri daripada anak muda yang kelihatan mewah dari segi pakaian, jam tangan dan telefon bimbit, ia meningkatkan lagi sasaran penjenayah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku, pemandu Grab disarankan lebih berhati-hati dalam memilih penumpang.

Jelasnya, walaupun menerima dan menurunkan penumpang itu merupakan sumber cari makan, tetapi untuk menjamin keselamatan dan mengelakkan jenayah, mereka perlu tahu siapakah penumpang itu, arah mana yang akan dilalui selain melaporkan kedudukan kepada ahli keluarga supaya mudah dikesan.

Bunuh

“Akhir-akhir ini jenayah yang melibatkan pembunuhan semakin dahsyat dan hampir tidak masuk akal berlaku di negara ini. Nyawa melayang di sana sini. Saya berharap masyarakat sentiasa peka dengan keadaan sekeliling,” tegasnya.

Sementara itu, Ketua Negara Grab Malaysia, Sean Goh, dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengucapkan takziah kepada rakan-rakan dan ahli keluarga atas kehilangan itu.

“Sebagai pemandu Grab, beliau (Aiman) bekerja keras untuk menjadi pemandu terbaik, malah berdasarkan maklum balas penumpang, dia amat dihargai dengan baik oleh penumpangnya,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Tenaga Manusia, M. Kulasegaran pula berkata, daripada hampir 90,000 pemandu teksi dan e-hailing, hanya 4,231 pemandu yang mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri setakat April 2018.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berhasrat memperluaskan jaringan keselamatan kepada semua rakyat Malaysia.