Selain disyariatkan untuk memakai pakaian yang tidak menjolok mata, kaum Hawa juga diwajibkan menutup aurat di kepala dengan memakai tudung.

Kini, semakin ramai usahawan yang mengeluarkan pelbagai jenis tudung mengikut trend dengan tawaran harga sehingga mencecah ribuan ringgit.

Malangnya, cara penggayaan tudung yang salah dan tidak mengikut tuntutan syariat menyebabkan isu ini digembar-gemburkan sehingga mendapat perhatian pelbagai pihak.

Pendakwah dan Penceramah Bebas, Ustaz Ahmad Dusuki Abd. Rani berkata, kaum wanita perlu mengetahui asas-asas dalam menutup aurat bagi mengelakkan mereka melanggar batas syariat yang ditetapkan.

“Islam mewajibkan wanita menutup aurat dengan sempurna bagi memelihara diri mereka daripada diganggu dan difitnah.

“Mereka perlu mengetahui asas-asas dalam menutup aurat bukannya sekadar menutup kepala sahaja,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Terpengaruh

Menurut Ahmad Dusuki, kegagalan memahami asas-asas dalam menutup aurat menyebabkan kaum wanita mudah terpengaruh untuk memakai tudung yang melanggar batas syariat.

“Tudung tidak boleh ketat, jarang, nipis dan perlu dilabuhkan melepasi bahagian dada. Kaum wanita perlu memahami piawaian yang ditetapkan dalam Islam.

“Reka bentuk tudung juga tidak perlu keterlaluan sehingga boleh menarik perhatian kaum lelaki dan menaikkan syahwat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Dusuki menegaskan bahawa usahawan-usahawan tudung perlu mengelakkan diri daripada menjual tudung yang tidak mengikut syariat Islam kerana matlamat tidak menghalalkan cara.

“Walaupun mereka mahu menggalakkan wanita untuk memakai tudung, tanpa disedari cara penggunaan tudung masih belum mematuhi garis panduan yang sebenarnya.

“Mereka seharusnya menggunakan pengaruh yang ada untuk menunjukkan cara bertudung yang sebenar kerana menjual tudung bukan bagi mendapatkan keuntungan semata-mata,” katanya lagi.

Jelas Ahmad Dusuki, sekiranya piawaian yang digariskan dalam Islam diberi penekanan, maka pengusaha tudung bukan sahaja mendapat keuntungan semata-mata sebaliknya turut memperoleh pahala berlipat ganda.

“Pemeliharaan aurat bukanlah bergantung kepada harga pakaian yang dipakai tetapi cara pemakaian tudung tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Imam Muda Asyraf atau nama penuhnya Muhammad Asyraf Mohd. Rizuan berkata, pemakaian tudung mengikut fesyen tidak salah selagi ia berlandaskan syarak.

“Ada yang memakai tudung kecil, pada masa sama memakai kain lain untuk menutupi bahagian dadanya. Dalam konteks ini, wanita itu sudah memenuhi syarak kerana tidak menampakkan bentuk dadanya.

“Namun, berbeza dengan mereka yang sengaja memakai tudung kecil dan memakai pakaian ketat sehingga menampakkan tubuh badan. Ia sememangnya bertentangan dengan Islam,” ujarnya.

Teknik pemakaian

Justeru, Muhammad Asyraf menggalakkan usahawan tudung untuk mempromosikan teknik pemakaian tudung yang sempurna menggunakan tudung yang mereka hasilkan.

“Kita galakkan mereka mengajar teknik penggunaan tudung yang betul mengikut garis panduan Islam supaya tidak disalahertikan penggunaannya.

“Sekiranya, pengguna tahu cara pemakaian tudung yang betul, maka tidak akan berlaku isu-isu berbangkit seperti menyalahi hukum syarak,” katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Asyraf menasihati Muslimah untuk menyesuaikan pemakaian tudung mengikut saiz tubuh badan mereka.

“Muslimah perlu bijak peragakan tudung mengikut saiz tubuh badan mereka kerana jika mereka bersaiz besar, tidak mungkin mereka boleh memakai tudung yang kecil dan singkat,” jelasnya.