Pemberian keris yang berusia ratusan tahun itu merupakan adat seorang guru sebagai anugerah selepas tamat menuntut ilmu.

Ahmad Zamli yang mempelajari silat Gerak Palintau begitu kagum dengan keindahan pembuatan keris tersebut.

Sejak itu, beliau semakin suka kepada senjata lama dan barangan antik lantas mengumpulnya sedikit demi sedikit.

“Saya merasakan barangan antik ini cukup istimewa terutama cara pembuatannya dengan menggunakan bahan-bahan terpilih yang menampakkan kemahiran serta teknologi orang Melayu zaman dahulu.

“Apatah lagi, setiap barangan itu melambangkan identiti bangsa” katanya ketika ditemui Kosmo! di Taman Seri Delima, Jalan Kuching, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sejak sekian lama, penjajah berjaya meracuni sejarah bangsa Melayu seperti kata pepatah, jika hendak merosakkan tanaman racunilah akarnya dan jika hendak meracuni bangsa racunilah sejarahnya.

Apabila sejarah bangsa diracuni, ia akan menjauhkan orang-orang Melayu daripada khazanah serta kedaulatan bangsa sehingga mereka lupa asal usul.

Ahmad Zamli yang telah mengumpul barangan antik sejak tiga dekad lalu mempunyai lebih 300 jenis item antik.

Antaranya termasuklah keris, gobek api, gobek sirih, pending, caping, kacip, senjata pendek dan barangan perhiasan wanita.

Ujar anak kelahiran Kampung Dalam Terus, Kampung Gajah, Perak itu, keris merupakan barangan yang paling disayangi kerana pembuatannya sangat unik menerusi teknologi penciptaan dan kaedah pembuatan sehingga pembuat keris dianggap sebagai saintis pada zaman dahulu.

Aksesori

Menariknya, di samping mengumpul aneka jenis keris, Ahmad Zamli turut mengumpul beberapa barang antik yang jarang ditemui. Antaranya ialah caping.

Caping merupakan sejenis aksesori yang digunakan untuk menutup kemaluan kanak-kanak lelaki dan perempuan.

Kebiasaannya, kanak-kanak akan dipakaikan caping setelah mereka mencapai umur satu tahun.

Penggunaan caping begitu meluas di utara dan Pantai Timur Semenanjung terutama di Kelantan.

Bahan-bahan membuat caping terdiri daripada emas, perak, tembaga, kayu, tempurung dan kulit kerang.

Setiap bahan itu digunakan mengikut darjat seseorang pemakai.

“Bagi keluarga diraja bahan yang digunakan untuk membuat caping ialah emas atau perak.

“Orang kebanyakan atau orang biasa menggunakan bahan perak dan tembaga,” ujar pesara kerajaan itu.

Tambahnya, golongan miskin yang bekerja sebagai nelayan dan petani akan menggunakan kulit kerang, kayu serta tempurung untuk menghasilkan caping.

Uniknya, caping mempunyai corak tertentu bagi membezakan jantina si pemakai.

Kanak-kanak perempuan akan memakai corak bunga-bungaan manakala motif garis silang untuk budak lelaki.

Menurut bapa kepada tiga orang cahaya mata itu, beliau mula mengumpul caping sejak 15 tahun yang lalu.

Ujarnya, caping sukar ditemui dan amat jarang disimpan oleh orang ramai mahupun penyimpan barangan lama.

Sehingga kini, Ahmad Zamli mempunyai 30 caping pelbagai jenis dan saiz.

“Kebanyakan caping yang saya simpan berasal dari Kelantan.

“Walaupun harganya tidak semahal barangan lain tetapi caping sukar diperoleh,” terang Ahli Jawatan Kuasa Persatuan Seni Purba Nusantara Selangor itu.

Logam

Sementara itu, memetik tulisan Allahyarham Datuk Mohd. Kassim Ali dalam bukunya yang bertajuk Barang Kemas Melayu Tradisi telah menyatakan caping dipercayai diperkenalkan di negara ini oleh orang India sejak zaman Sriwijaya iaitu sekitar kurun ketujuh hingga 13 Masihi.

Sriwijaya ialah sebuah empayar maritim Melayu purba yang berpusat di Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu yang banyak mempengaruhi Asia Tenggara.

Mohd. Kassim yang merupakan bekas Pengarah Bahagian Pameran, Jabatan Muzium Malaysia turut menerangkan dalam bukunya bahawa caping kebiasaannya diperbuat daripada logam yang berbentuk daun ara.

Pada ketika itu, sudah menjadi kebiasaan pasangan berkahwin bernazar untuk mendapatkan cahaya mata dan mereka akan menempah sekeping caping khas.

Anak yang lahir akan dipakaikan caping berkenaan dalam satu majlis ringkas setelah berumur satu tahun.

Buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka itu turut menerangkan mengenai cara memakai caping.

Bagi kerabat diraja ada beberapa perkara yang harus dipatuhi terutama memilih tali untuk mengikat caping di pinggang.

Tali yang berwarna putih, kuning, merah, hijau dan ungu dikhaskan untuk kerabat diraja sahaja dan rakyat biasa dilarang menggunakan warna tersebut.

Bagi orang bukan Melayu mereka menggunakan tali berwarna hitam.

Apabila kanak-kanak itu sudah pandai menyarung pakaian sendiri maka caping tersebut tidak akan dipakai lagi.

Zaman pemakaian caping berakhir ketika pemerintahan Sultan Mohamed IV (1899-1920) di Kelantan.

Caping lelaki diukir dengan garisan silang kerana ia adalah simbol yoni bagi orang India yang melambangkan kemaluan lelaki.

Dalam pada itu, ditanya mengenai keseronokan mengumpul barang antik ini, Ahmad Zamli berkata, barang lama adalah khazanah sesuatu bangsa. Ia merupakan bukti kehidupan nenek moyang kita dari satu generasi ke generasi seterusnya.

“Kita dapat melihat perkembangan zaman itu menerusi pembuatan barangan ini lantas membuatkan saya berasa seronok untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

“Ia banyak mengajar kita tentang nilai, budaya, adat dan kehidupan,” ujarnya.

Mengulas mengenai cabaran sebagai pengumpul barangan antik, beliau pernah ditipu oleh individu yang menjual barangan tiruan sehingga kerugian ribuan ringgit.

Pertandingan

Dek kerana cintakan koleksi antik, Ahmad Zamli sanggup pengembara ke luar negara seperti Rusia untuk mendapatkannya.

Beliau juga menghabiskan puluhan ribu ringgit semata-mata mendapatkan koleksi dihajati.

Ahmad Zamli yang pernah terlibat sebagai juri pertandingan keris pada masa sama turut aktif menyertai pelbagai pertandingan keris turut berkongsi kepakarannya menerusi sebuah buku hasil tulisannya sendiri. Buku yang memperincikan keris Semenanjung Malaysia itu mengambil masa lima tahun untuk disiapkan.

Mengulas mengenai penghasilan buku tersebut, Ahmad Zamli berkata, banyak ilmu orang-orang lama disampaikan dari mulut ke mulut dan tidak direkodkan.

“Pelajar-pelajar universiti banyak bertanya dengan saya mengenai keris bagi menyiapkan penyelidikan mereka.

“Oleh itu, ia memberi kesedaran kepada saya untuk menghasilkan sebuah buku khas menerangkan mengenai keris Semenanjung Malaysia,” katanya sambil memberitahu buku tersebut bakal berada di pasaran akhir tahun ini.

Pada masa akan datang, Ahmad Zamli turut merancang untuk mengeluarkan buku mengenai barangan antik yang lain.

Penggunaan caping sebagai aksesori untuk menutup kemaluan kanak-kanak yang mencecah umur setahun di Kelantan suatu ketika dahulu dipercayai diperkenalkan oleh masyarakat India sejak zaman Sriwijaya.