Kehebatan kayuhan lelaki tersebut lantas menarik perhatian seluruh penonton yang berada di dalam velodrom tersebut.

Sebaik sahaja Robert Marchand, 105, berjaya melepasi garisan penamat setelah mengayuh selama satu jam, ratusan penonton yang berada di velodrom itu bangun daripada tempat duduk dan menjerit nama­nya.

Puluhan jurukamera pula cuba merakam aksinya di garisan penamat.

Dalam kayuhan itu, Marchand berjaya me­ngayuh sejauh 22.54 kilometer (km) dalam tempoh satu jam bagi kategori kayuhan basikal khusus untuk golongan veteran.

Kejayaan yang dicipta oleh Mar­chand tanggal 4 Januari 2017 itu lantas menjadikan beliau sebagai lelaki tertua yang berjaya meme­cahkan rekod dunia dalam acara berbasikal.

Biarpun kenangan tersebut telah berlalu setahun lalu, namun nama Marchand masih lagi menjadi buah mulut orang ramai, terutamanya bagi penduduk di Perancis.

“Kira-kira satu abad yang lalu, jurulatih pernah menyuruh saya mengundurkan diri daripada aktiviti berbasikal.

“Katanya, saya tidak mempu­nyai stamina yang baik untuk sukan tersebut. Bagaimanapun, disebabkan terlalu meminati sukan berbasikal, saya meneruskan kayuhan sehingga ke saat ini.

“Ternyata dengan kejayaan di Saint-Quentin-en-Yvelines itu, saya berjaya membuktikan bahawa jangkaan jurulatih suatu ketika dahulu adalah tidak benar,” jelasnya.

Makan daging

Bukan sekadar kejayaan di Saint-Quentin-en-Yvelines, Marchand sebelum ini pernah mencipta rekod apabila berjaya mengayuh sejauh 26.92km dalam masa satu jam di bawah kate­gori 100 tahun.

“Sebenarnya saya tidak begitu berpuas hati dengan rekod yang dicatatkan ini.

“Jika saya sedar masa kayuhan tinggal lagi 10 minit, saya pasti akan mengayuh dengan lebih pantas dan seterusnya mencipta rekod yang lebih baik,” jelasnya.

Dalam pada itu, menurut jurulatih merangkap fi­sioterapinya, Veronique Billat, sebelum ini, Marchand menunjukkan prestasi yang begitu memuaskan.

Bagaimanapun, staminanya mula berubah selepas dia mengelakkan pengambilan daging dalam diet hariannya sebulan yang lalu.

“Sebelum ini, dia mampu me­ngayuh lebih pantas daripada apa yang ditonjolkan dalam kayuhan tersebut.

“Bagaimanapun, dia mengambil keputusan untuk tidak memakan daging selepas melihat kekejaman yang dilakukan ke atas haiwan-haiwan itu sebelum dijadikan sebagai makanan.

“Jika dia makan daging dalam jumlah yang banyak, ototnya dapat dibina dan seterusnya menjadikan prestasinya bertambah baik,” jelas Billat.

Biarpun begitu, menurut Billat lagi, dia berbangga dengan kebolehan yang ditunjukkan oleh anak didiknya itu. Mana tidaknya, pada usia 105, Marchand masih lagi ligat mengayuh basikal seperti seorang remaja.

“Saya rasa rahsia di sebalik kejayaan yang diperoleh Marchand pada hari ini adalah disebabkan oleh gaya hidup sihat yang diamalkannya.

“Setiap hari, dia akan pastikan tidurnya cukup selama sembilan jam.

“Marchand juga menitikberatkan pengambilan makanannya. Dia akan melebihkan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam hidangan makanannya, tidak merokok dan bersenam setiap hari,” jelasnya.

Pemandu trak

Biarpun dilihat seperti pelumba basikal profesional, namun menurut Marchand, dia hanya mula melibatkan diri dalam aktiviti berbasikal ketika berusia 68 tahun.

“Ketika remaja, saya pernah be­kerja sebagai seorang ahli bomba.

“Bagaimanapun sekitar tahun 1970, saya berhijrah ke Venezuela, Amerika Selatan dan bekerja sebagai seorang pemandu trak.

“Disebabkan bosan dengan pekerjaan tersebut, saya berpindah semula ke Perancis pada tahun 1960 dan melakukan pelbagai jenis pekerjaan untuk menyara kehidupan,” jelasnya.

Disebabkan terlalu sibuk dan tidak mempunyai waktu untuk bersukan, Marchand mengambil keputusan untuk mengayuh basikalnya setiap hari.

“Pada saya, berbasikal juga meru­pakan sejenis sukan yang bagus untuk meregangkan tubuh.

“Daripada situ, saya berazam untuk aktif berbasikal dan melibatkan diri dalam mana-mana pertan­dingan yang dianjurkan. Kini, impian tersebut dapat direalisasikan dengan kejayaan-kejayaan yang diperoleh,” jelasnya.

Lelaki berusia 105 tahun, Robert Marchand dari Perancis berjaya pecah rekod dunia dalam acara berbasikal kategori veteran dengan kayuhan sejauh 22.54 kilometer dalam tempoh sejam.