Namun, sejauh manakah kata-kata sedemikian boleh mendatangkan kesan dan manfaat pada masa depan sedangkan pada ketika inilah mereka sepatutnya diberikan pendidikan yang terbaik.

Dalam mendepani cabaran yang kian mencabar, banyak negara sudah melakukan rombakan terhadap sistem pendidikan masing-masing demi memastikan murid dan pelajar mendapat ilmu seiring dengan peredaran masa dan ini termasuklah Malaysia.

Kosmo! baru-baru ini turut melaporkan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mengumumkan peperiksaan bagi murid Tahap Satu yang me­libatkan murid tahun satu, dua dan tiga akan dimansuhkan.

Beliau berkata, peperiksaan tersebut akan digantikan de­ngan sistem pentaksiran yang lebih objektif bermula tahun depan.

Menyambut baik seruan itu adalah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Bangi, Selangor.

Yang Dipertuanya, Nor Hisham Abdullah Sani berkata, cadangan itu akan membuatkan sistem pendidikan kembali kepada asal semasa negara ini mengamalkan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR). KBSR diperkenalkan pada tahun 1982.

“Rancangan KBSR memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Pada Tahap Satu inilah mereka didedahkan dengan perkara-perkara asas sedemikian dan bukannya terus memberi tekanan terhadap peperiksaan.

“Cuba bayangkan pada Tahap Satu, murid-murid mesti tahu membaca, menulis dan mengira untuk menjawab peperiksaan, sekali gus sejak di sekolah tadika lagi mereka perlu berusaha keras untuk menguasai ketiga-tiga kemahiran tersebut,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Kaedah 3M

Tambahnya, bagaimana pula jika ada antara mereka yang tidak dapat menguasainya sedangkan pada peringkat ini mereka hanya perlukan asas pengukuhan.

“Mereka akan dimasukkan ke dalam kelas khas atau diklasifikasikan sebagai pelajar bermasalah malah ada juga yang dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan.

“Boleh bayangkan atau tidak pada usia tujuh, lapan dan sembilan tahun mereka telah dilabel sedemikian. Adakah yang ini kita mahukan?” katanya tegas.

Tuturnya, mewujudkan peperiksaan seawal Tahap Satu hanya akan mewujudkan jurang antara murid-murid. Katanya, masyarakat perlu faham yang pelajar hadir daripada pelbagai latar belakang dan tidak semua orang mendapat peluang belajar di prasekolah dan tadika.

“Islam sendiri mengajar kita untuk serius mendidik anak bermula daripada sembilan tahun,” katanya.

Jelas Nor Hisham lagi, sepatutnya pada tahun satu, dua dan tiga adalah masa untuk mengukuhkan penguasaan mereka terhadap kaedah 3M manakala tahun empat, lima dan enam adalah meningkatkan pemahaman mereka.

Tingkatan satu, dua dan tiga adalah untuk mereka mendalami pilihan subjek supaya pada tingkatan empat dan lima mereka sudah ada pilihan masing-masing.

Sementara itu, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan berkata, memang sepatutnya pendidikan di peringkat awal sekolah rendah khususnya tidak terlalu awal ditekankan dengan peperiksaan awam.

“Keadaan semasa murid-murid masa kini terlalu berorientasikan peperiksaan. Murid-murid sepatutnya merasakan suasana persekolahan yang menyeronokkan supaya pembangunan karakter dapat dibentuk menjadi lebih sejati, positif, mesra sosial dan keluarga.

“PIBGN menyokong sepenuhnya cadangan ini dan diharapkan segala persiapan rapi dapat dipastikan kejayaannya,” katanya.