Biarpun pada mulanya berada dalam keadaan teragak-agak, kanak-kanak lelaki yang ditemani ibunya, Yimao Vin, 28, mulai ceria apabila haiwan itu kelihatan berada dalam mood baik dan turut berpeluang menyuap Miku makan ikan pada pagi Khamis itu.

“Ia satu pengalaman berharga untuk kanak-kanak mendekati hidupan liar yang sukar ditemui seperti walrus ini. Anak-anak saya sendiri memang menyukai haiwan dan terhibur melihat gelagat mereka yang unik dari jarak dekat.

“Saya mendapati, ia bukan sahaja sesuai untuk orang dewasa, malah untuk kanak-kanak berkenalan dengan haiwan tanpa rasa takut sebaliknya dengan penuh kasih sayang.

“Saya sendiri baru tahu, apabila disentuh, tubuh walrus dirasakan begitu lembut,” kongsi ibu kepada dua cahaya mata yang berasal dari Johor itu kepada K2 yang turut berkesempatan menyertai rombongan lawatan media ke Ocean Park Hong Kong baru-baru ini.

Mungkin walrus merupakan haiwan yang agak asing bagi kebanyakan orang yang sukar membezakan ciri fizikalnya dengan anjing laut dan singa laut. Haiwan yang boleh ditemui di Lautan Atlantik dan Lautan Pasifik itu mempunyai gigi taring yang panjang dan berukuran lebih besar berbanding kedua-duanya.

Begitupun, ketiga-tiga haiwan itu berasal dari kelompok mamalia laut yang sama iaitu pinnipeds. Pinnipeds merupakan perkataan bahasa Latin yang bermaksud berkaki sirip.

Pelatih Mamalia Laut, Andy Ho Ting Hing menjelaskan, walrus mempunyai gigi taring yang boleh mencapai panjang sehingga satu meter.

“Ia menggunakan taring itu untuk memecahkan permukaan ais serta membuat lubang bagi membantunya bernafas dari dalam air di samping bersifat seperti tongkat penyokong untuk menarik badan keluar daripada air.

“Ia juga digunakan sebagai senjata mempertahankan diri ketika berasa terancam sekali gus melindungi kawasan tempat tinggal mereka,” katanya sambil menambah suhu ruangan walrus ditetapkan di bawah suhu 20 darjah Celsius.

Belum mengawan

Selain Miru yang merupakan walrus Pasifik, terdapat seekor lagi walrus jantan yang terdapat di taman tersebut dikenali dengan nama Rock.

Miru yang lahir pada tahun 1999 dahulunya tinggal di Aquamarine Fukushima, Fukushima, Jepun sebelum dipindahkan buat sementara waktu ke taman laut Kamogawa Sea World, Jepun, selepas kawasan tempat tinggalnya menerima tempias gempa bumi dan tsunami pada tahun 2011.

Tidak lama kemudian, seekor lagi walrus jantan bernama Rock juga dari taman laut yang sama dibawa ke Hong Kong untuk menjadi pasangan Miru. Rock kini berusia 15 tahun dan memiliki berat mencecah 700kg serta panjang tubuh sekitar tiga meter.

Menurut Andy, seramai 10 petugas dipertanggungjawabkan menjaga walrus tersebut dan mereka turut bertugas menggosok taringnya setiap hari terutamanya selepas ia makan untuk menjaga kebersihan haiwan itu.

Kongsinya, walrus bagaimanapun tidak menggunakan taring itu untuk mengunyah kerana ia menyedut makanan yang disuap sebelum terus menelannya.

Ia mampu makan 25kg hingga 35kg sehari dengan hidangan kegemarannya termasuk ikan hering, tuna, sotong dan kerang-kerangan.

Andy turut mendedahkan, pasangan walrus itu belum pernah berjaya mengawan dan masih belum mempunyai zuriat. Dalam hal ini, walrus jantan mencapai kematangan seksual pada usia lapan hingga 10 tahun, manakala walrus betina pada usia enam tahun.

Begitupun, walaupun telah matang, tempoh mengawan hanya dijangka berlaku sekitar umur 15 tahun bagi jantan dan 10 tahun bagi betina dengan tempoh mengawan antara bulan Disember hingga Mac.

Pusat penyelidikan

Selain walrus, Ocean Park Hong Kong menjadi rumah untuk lebih 12,000 haiwan menjadikannya sebagai pusat penyelidikan, pendidikan dan pameran hidupan darat serta air selain berfungsi sebagai taman tema hiburan.

Ia turut memiliki lebih 400 spesies ikan termasuk ikan yu dan ikan lumba-lumba selain haiwan yang jarang ditemui seperti anjing laut, marmut kerdil, penguin, kinkajou daripada anggota keluarga rakun dan unggas seperti helang steppe atau dikenali sebagai helang gurun.

Dalam hal ini, Festival Bertemu Haiwan Ocean Park berlangsung dari 19 April hingga 1 Mei dengan kanak-kanak dan peserta dewasa berpeluang mengikuti 12 sesi bengkel interaktif di belakang tabir secara percuma.

Bercerita lanjut mengenai program kesedaran pendidikan haiwan, Penyelia Sains Hayat Terestrial atau bidang sains hayat melibatkan daratan, Benny Tse Chi Fei memberitahu, antara bengkel yang dianjurkan termasuk membina sarang burung.

“Menerusi bengkel ini, para peserta dapat mengetahui saiz telur daripada jenis burung berbeza. Lebih penting, mereka diberi penekanan bahawa amalan membuang sampah merata-rata turut mempengaruhi pembuatan sarang burung berkualiti.

“Ini kerana, burung yang membuat sarang daripada ranting dan daun kering turut cenderung mengutip sampah seperti plastik dan straw untuk dijadikan sarang dan ia membuatkan sarang yang dihasilkan tidak setanding kualiti menggunakan bahan semula jadi,” tuturnya.

Penyeludupan

Dalam pada itu, Ocean Park Hong Kong turut mengambil bahagian dalam menempatkan ikan yu yang diselamatkan daripada kegiatan penyeludupan haram.

Menerusi posisi tugas yang dipanggil Aquarius, Dennis Lai, 36, merupakan seorang daripada kru yang berpengalaman selama 10 tahun memindahkan ikan yu yang lazimnya diambil dari lapangan terbang tanpa mengira masa.

Dianggarkan terdapat lebih 100 ikan yu pelbagai spesies ditempatkan di dalam akuarium gergasi yang dipanggil Shark Mystique.

“Cabarannya ialah ikan yu yang menempuh perjalanan jauh misalnya di bawa dari Australia atau Jepun memerlukan masa untuk menyesuaikan diri apabila memasuki persekitaran baru.

“Lebih mencabar, kami perlu mengambil ukuran badannya termasuk saiz dan berat sebelum ia dimasukkan dalam tangki berasingan yang dapat menampung berat 5,000kg ikan pada satu-satu masa,” katanya.