Sebagai memberi pengajaran terhadap pesalah, hukuman penjara itu merupakan antara medium terbaik demi mengembalikan jati diri insan.

Golongan tersebut juga perlu melalui beberapa siri aktiviti pemulihan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Penjara Malaysia.

Selepas berjaya menjalani modul pemulihan tersebut dengan baik, banduan akan lebih bersedia untuk melangkah ke dunia baharu. Pastinya, mereka juga mengimpikan hidup seperti insan normal dan bekerja semula demi menyara kehidupan keluarga.

Penganalisis Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Mior Roslan Mior Mohd. Jaafar berkata, masyarakat secara umumnya pasti akan bersikap prejudis terhadap bekas banduan.

Pemantauan

Bagaimanapun, ia bukan tiket untuk menghalang golongan tersebut daripada meraih peluang kedua dan membina kehidupan baharu.

“Majikan perlu sentiasa memiliki pemikiran terbuka sekiranya ingin mengambil bekas banduan bekerja.

“Atas faktor keselamatan, sistem pemantauan untuk suatu tempoh tertentu perlu dilaksanakan bagi memantau tingkah laku golongan itu ketika di tempat kerja.

“Memang benar terdapat segelintir bekas banduan yang kembali ke kancah jenayah semula, namun peratusan itu kecil,” ujarnya.

Justeru, majikan perlu merujuk kepada pihak penjara terlebih dahulu untuk mendapatkan laporan rekod banduan sebelum mengambil mereka bekerja.

Malah, sekiranya rekod tersebut tidak cukup meyakinkan, majikan tidak perlu mengambil risiko untuk mengambil golongan itu bekerja.

Jelas Mior Roslan, bekas banduan yang telah menjalani program pemulihan dalam penjara mesti menunjukkan tingkah laku yang lebih baik berbanding dahulu.

Sehubungan itu, majikan dan rakan sekerja tidak seharusnya menyisihkan golongan bekas banduan kerana mereka juga mempunyai hak mendapatkan kehidupan yang lebih baik.

Baru-baru ini Kosmo! melaporkan, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu mengambil tiga bekas banduan bekerja di pejabatnya sebagai inisia­tif untuk mengubah stigma dan pandangan negatif umum terhadap golongan itu.

Beliau berkata, bekas banduan terdiri daripada belia yang telah tamat menjalani hukuman itu akan berkhidmat de­ngannya dalam tempoh masa tertentu yang akan ditetapkan kemudian.

Katanya, hasrat itu adalah suatu permulaan kepada program Riben Kuning yang dilaksanakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bertujuan mengubah panda­ngan masyarakat terhadap bekas banduan terutama belia, sekali gus memberi peluang kedua kepada mereka.

Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Penjara, Kementerian Dalam Negeri serta pertubuhan bukan kerajaan bertujuan me­ngadakan kempen memberi kesedaran kepada masyarakat bagi mening­katkan sistem sokongan terhadap bekas banduan.

Potensi

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Datuk Shamsuddin Bardan menyambut baik saranan KBS untuk menyerap bekas banduan untuk bekerja bersama kementerian tersebut.

Katanya, program kerjasama antara Jabatan Penjara Malaysia dengan organisasi tertentu dalam menentukan pengambilan pekerja golongan bekas banduan wajar dilaksanakan dengan lebih luas.

“Menerusi program kerjasama tersebut, majikan dapat menilai potensi individu menerusi rekod lampau dan latar belakang yang dibekalkan oleh pihak penjara.

“Dari situ, majikan dapat menyaring bakal pekerja mereka dengan lebih telus, selain dapat mengelakkan daripada berlaku sebarang masalah di kemudian hari.

“Dengan cara itu, nasib bekas banduan yang telah tamat tempoh hukuman itu lebih terjamin setelah keluar daripada penjara nanti,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Bagaimanapun Shamsuddin menjelaskan, sistem pemantauan berterusan perlu dilaksanakan oleh setiap majikan yang mengambil bekas banduan untuk bekerja dengan mereka.

Ia sebagai langkah berjaga-jaga, sekali gus melahirkan suasana pekerjaan yang harmoni.