Dari Pelabuhan Klang, Selangor sehingga ke Phuket, Thailand baru-baru ini, bahtera Star Cruises Superstar Libra itu bagai menjulang kalimah Allah dengan ayat al-Quran, azan, selawat dan nasyid yang sentiasa berkumandang di laluan Selat Melaka dan Laut Andaman. Ternyata ia bukan percutian pelayaran empat hari tiga malam yang tipikal.

Sekitar kolam renang dek atas yang lazim menjadi lokasi orang bersidai mendedahkan aurat ‘dimurnikan’ sebagai tempat muslimin dan muslimah beribadah beramai-ramai. Para jemaah tua dan muda utuh rukuk dan sujud meski sesekali digugah daya inersia kapal yang bergerak.

“Ia satu perasaan baharu yang tak pernah saya alami. Solat berjemaah hanya berbumbungkan langit, terasa seolah-olah amalan solat itu terus sampai kepada Allah,” kata Muhammad Anas Salleh, 32, ketika ditemui di atas kapal itu. Pemuda tersebut antara ribuan yang mengikuti pelayaran Cruise Penyucian Jiwa 2017 anjuran syarikat pelancongan tempatan, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. bulan lalu.

Muhammad Anas datang bersama 11 ahli keluarganya yang berusia antara empat hingga 60 tahun. Keluarga besarnya itu antaranya datang dari Segamat, Johor; Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Ketika ditemui, dia dan isterinya, Siti Nazhirah Ramali, 33, sedang memberikan sokongan kepada anak mereka yang bertanding permainan bola dan bakul.

“Pelayaran ini berpengisian. Bermacam-macam aktiviti boleh dilakukan untuk pelbagai golongan usia tidak kira warga tua, dewasa, remaja atau kanak-kanak. Berada di atas kapal sambil melihat lautan juga menginsafkan,” ujarnya.

Program Cruise Penyucian Jiwa 2017 yang berlangsung pada 17 hingga 20 Disember lalu telah membawa seramai 1,604 peserta. Ia merupakan edisi kedua penganjuran selepas tahun sebelumnya.

Pelayaran yang melibatkan perjalanan dari Pelabuhan Klang ke Krabi dan Phuket itu menggunakan kapal Star Cruises Superstar Libra berbanding pada tahun sebelumnya melibatkan perjalanan Singapura-Pulau Pinang-Langkawi, Kedah dengan kapal Star Cruises Superstar Gemini.

Dalam pelayaran tersebut, kapal Superstar Libra yang dinakhoda oleh Kapten Juha Eerik Luuka itu dipenuhi dengan orang ramai daripada pelbagai peringkat umur. Pelayaran itu juga menjadi medan untuk merapatkan silaturahim antara ahli keluarga apabila sama-sama memenuhi masa dengan menunaikan ibadah selain mengikuti pelbagai aktiviti.

Warga-warga emas yang uzur berkerusi roda dapat dilihat di sekitar kapal. Hati tersentuh apabila melihat anak-anak berbakti menyorong ibu bapa yang berkerusi roda agar mereka juga berpeluang menikmati suasana dalam pelayaran.

Menikmati penginapan dan juadah sajian mewah persis di hotel pasti mengujakan. Apatah lagi dapat menikmati hembusan angin yang segar di lautan sepanjang pelayaran. Pengunjung juga berpeluang membeli-belah di dalam kedai bebas cukai di dalam kapal.

Aktiviti kerohanian yang dijalankan ialah menunaikan solat fardu dan qiamullail berjemaah serta majlis ilmu daripada penceramah-penceramah terkenal seperti Ustaz Lukmanul Hakim Hanafi, Datuk Md. Daud Che Ngah, Ustaz Syamsul Debat, Sheikh Imran Angullia Al-Hafiz, Ustaz Muhidin Mokter dan Ustazah Isfadiah Mohd. Dasuki.

Beli-belah

Rasa kecintaan kepada Rasulullah juga disuburkan dengan program Malam Cinta Rasul yang menyajikan persembahan nasyid, selawat dan tazkirah.

Bersesuaian dengan tema pelayaran Fun Islamic Cruise Untuk Semua, aktiviti yang meriangkan turut diatur seperti pertandingan makan piza terbanyak, pertandingan membuat teh tarik dan senaman zapin. Bagi kanak-kanak pula, aktiviti bermandi-manda di kolam renang pasti mengujakan selain pertandingan jigsaw puzzle, bola dan bakul, mewarna serta dam ular.

Golongan wanita juga berpeluang menonton peragaan busana muslimah rekaan pelajar-pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. Orang ramai juga dapat menimba ilmu kesenian dengan mengikuti demonstrasi lukisan potret, seni tanah liat dan sebagainya.

Di luar kapal pula, para jemaah berpeluang untuk membeli-belah di Krabi dan Phuket selain mengikuti aktiviti kemasyarakatan di sekolah agama Islam tunggal di Phuket, Sekolah Muslim Wittaya.

Pengarah Cruise Penyucian Jiwa 2017 merangkap Pengurus dan Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel & Tours, Ida Riswana Idris berkata, pelayaran yang digelar Cruise Penyucian Jiwa 2.0 itu telah membawa bilangan jemaah yang lebih besar berbanding 1,000 orang pada tahun sebelumnya.

“Memang kali ini kita berhasrat untuk membawa lebih ramai umat Islam bagi menikmati keseronokan di atas laut dan merasai keagungan Ilahi. Alhamdulillah, ramai yang solat berjemaah, qiamullail, beratur untuk menikmati makanan dan merasai keriangan aktiviti di dalam kapal,” simpulnya semasa sidang akhbar pada hari terakhir pelayaran.

Ustaz Lukmanul Hakim yang merupakan penasihat syariah Andalusia Travel & Tours menegaskan makanan, perkakasan dan penyediaannya di atas kapal itu benar-benar mengikut standard halal.

“Saya mengesahkan ia mempunyai sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Memang sah halal, sebab itu tidak perlu ragu,” katanya.

Ustazah Isfadiah pula menyifatkan projek sebegini sebagai fardu kifayah kerana pelayaran di lautan pernah dipelopori umat Islam zaman silam.

“Orang-orang Islam dahulu seperti Ibnu Battutah dan Tariq bin Ziyad adalah insan-insan yang mempunyai sifat kepahlawanan yang sangat tinggi di lautan, tetapi hari ini, kita kehilangan radar itu.

“Saya kira Andalusia berjaya mengembalikan kegemilangan Islam di tengah lautan,” ujarnya.

Kolaborasi bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada kali ini turut menambah variasi aktiviti untuk disertai pengunjung.

Pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM, Shah Alam, Mohamad Rizal Salleh berkata, seramai 20 orang staf dan pelajar mengikuti pelayaran itu untuk mempersembahkan pelbagai cabang seni.

Seramik

Mohamad Rizal mengendalikan demonstrasi seni tanah liat dan membimbing pengunjung membuat rekaan seramik di atas kapal itu.

“Sejak menjadi pensyarah pada tahun 2009, ini kali pertama saya mengajar orang membuat seramik di atas kapal.

Kami amat teruja apabila mendapat pelawaan untuk bekerjasama dengan Andalusia buat pertama kali pada pelayaran ini,” katanya.

Bagi sepasang jemaah warga emas Jamil Nasiman, 70, dan Suminah Ahmad, 67, dari Telok Panglima Garang, Selangor pelayaran ini juga mempunyai makna yang tersendiri.

Mereka yang juga telah mengikuti Cruise Penyucian Jiwa 2016 berkata, tertarik dengan konsep seperti di Tanah Suci yang ditampilkan dalam pelayaran bersama Andalusia itu.

“Tahun lepas kami menaiki kapal Gemini yang juga zodiak kelahiran isteri saya, tahun ini pula kami belayar dengan kapal Libra yang merupakan zodiak kelahiran saya. Maka, sudah lengkap,” tutur Jamil yang merupakan pesara tentera.

Dilengkapi aktiviti kerohanian, kekeluargaan, kemasyarakatan dan seni, Cruise Penyucian Jiwa 2017 di atas kapal mewah disewa khas sarat dengan pengisian ibadah dan ilmu.