Laura Dekker mengenang detik dinobatkan sebagai pelayar solo termuda dunia enam tahun lalu.

“Saya cukup sukakan laut dan sering mahu tahu apa isinya dan perasaan berada di atasnya.

“Saya juga suka berada di darat, namun saya lebih gembira dan tenang setiap kali dikelilingi lautan biru,” ujar Dekker setiap kali ditanya tentang apa yang mendorongnya untuk melengkapkan pelayaran solo pada usia 16 tahun.

Pada tahun 2012, gadis berambut perang itu mencatat rekod tersendiri apabila berjaya melengkapkan pelayarannya untuk mengelilingi dunia secara solo.

Bertutur lanjut, gadis itu berkata, sebaik sahaja mendapat izin serta kepercayaan daripada bapanya, Dick Dekker, dia teruja untuk mula berlayar.

Gadis kelahiran Whangarei, New Zealand itu memulakan pelayarannya di pelabuhan Den Osse, Belanda, pada 21 Ogos 2010 dan berakhir di Simpson Bay, Sint Maarten sebuah pulau di Carribean pada 21 Januari 2012.

Dekker mengambil masa selama 518 hari untuk melengkapkan pelayaran solo sejauh 27,000 batu nautika (50,004 kilometer) itu.

Dekker menaiki kapal layar sepanjang 11.5 meter yang diberi nama Guppy.

Gadis itu berlayar merentasi Kepulauan Canary, Panama, kepulauan Galapagos, Tonga, Fiji, Bora-Bora, Australia, Afrika Selatan dan berakhir di Sint Maarten.

Penuh cabaran

Bercerita lanjut, Dekker mengakui perjalanannya penuh dengan cabaran dan ia sememangnya sesuatu yang amat sukar.

“Bayangkan, saya berlayar di tengah-tengah lautan luas secara bersendirian, namun inilah impian saya dan saya mahu capai impian itu.

“Ada ketikanya, saya bertanya kepada diri sendiri, apakah yang sedang saya lakukan di atas laut ini, namun semua penat lelah saya berbaloi,” ujarnya seperti dipetik laporan laman web The Telegraph.

Pelayaran solo sememangnya memerlukan kekuatan serta kesabaran yang tinggi.

Ujar Dekker, dia terpaksa berdepan dengan ombak kuat, ancaman lanun serta perasaan sunyi apabila berada bersendirian di atas laut.

Semasa belayar, Dekker juga melakukan selam skuba serta meluncur air bagi menghilangkan rasa bosan.

Dia juga mula belajar bermain alat muzik flut dan mengakui ia merupakan hobi terbaharunya.

“Semasa berlayar, saya belajar bermain flut dan teruja apabila mendapati bahawa flut lebih mudah untuk dimainkan dalam cuaca buruk berbanding gitar,” katanya.

Dekker berkongsi pengalaman pelayaran solonya itu di blognya iaitu www.lauradekker.nl.

Di situ, dia juga menulis tentang cabaran-cabaran lain sepanjang pelayaran seperti tempat tidurnya yang basah akibat ombak kuat dan tentang kapal layarnya yang hampir berlanggar dengan dua buah kapal kargo.

“Semua pengalaman itu menjadikan saya lebih kuat dan matang,” tulis Dekker.

Bangga

Dekker juga memberitahu bahawa ketika berlayar, dia akan berhenti di beberapa pelabuhan untuk membaiki Guppy dan tidur seketika sebelum kembali meneruskan pelayaran.

Lebih manis lagi, Dekker menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-16 semasa sedang berlayar.

“Malam sebelum ulang tahun kelahiran saya, saya menyambutnya dengan bapa di sebuah pelabuhan dengan menikmati donut sebelum kembali berlayar,” kongsi Dekker.

Sebagai bapa, Dick Dekker berkata, dia cukup bangga dengan pencapaian anak gadisnya itu dan menyifatkannya sebagai seorang yang cukup berani dan berdikari.

“Dekker diburu media dan dia serta-merta menjadi popular. Begitu pun, saya tahu Dekker bukanlah belayar kerana mahu mengejar populariti.

“Beberapa syarikat juga berminat untuk menjadikan Dekker sebagai wakil jenama mereka, namun Dekker tidak berminat. Anak saya cintakan laut dan dia belayar kerana itu merupakan minatnya,” tutur Dick.

Dekker menamatkan zaman bujangnya dengan mengahwini Daniel Thielmen pada tahun 2015 dan menetap di New Zealand.

Dia masih tinggal di atas Guppy dan sedang merancang pelayaran seterusnya.

“Saya merancang mahu menjual Guppy dan membeli kapal layar yang lebih besar dan memulakan pelayaran seterusnya,” ujarnya, memetik laporan akhbar South China Morning Post.