Kenderaan yang melalui jalan raya sepanjang 1.5 kilometer berhampiran Taman Bumi Gora Mataram turut menyalakan lampu berikutan keadaan sekitar yang begitu gelap kerana dikelilingi pohon-pohon merimbun.

Selain menjadi lokasi tumpuan masyarakat untuk menghabiskan waktu lapang dengan pelbagai aktiviti riadah, Taman Bumi Gora Mataram juga berfungsi sebagai ruang terbuka hijau (RTH) yang menjadi habitat kekal kepada pelbagai spesies flora dan fauna.

Di kawasan taman hutan itu juga terdapat sebuah monumen khas yang melambangkan kejayaan pihak pemerintah Nusa Tenggara Barat (NTB) pada masa dahulu ketika berdepan krisis makanan khususnya melibatkan bekalan beras atau dikenali sebagai gora oleh masyarakat setempat.

Taman Bumi Gora Mataram juga meriah pada waktu malam apabila ramai peniaga tempatan yang menjual pelbagai jenis makanan tradisi masyarakat Pulau Lombok di sepanjang laluan kaki lima taman berkenaan.

Ratusan peniaga yang menjual aneka makanan tradisi itu rata-ratanya hanya menghamparkan tikar bagi menggantikan kerusi dan meja sewaktu pelanggan menjamah makanan.

Antara makanan tradisi yang menjadi pilihan pelancong ialah sate bulayak yang merupakan sejenis lontong yang dibungkus di dalam daun dan dimakan bersama sate daging atau ayam.

Sate ikan juga merupakan antara hidangan istimewa yang dijual di kawasan Taman Bumi Gora Mataram yang turut dikenali sebagai Taman Udayana Mataram.

Selain itu, bakso, tauhu goreng, ayam taliwang, gado-gado dan aneka minuman jus buah-buahan juga dijual.

Landskap

Sejak beberapa tahun lalu, jumlah pelawat yang mengunjungi Taman Udayana Mataram untuk melakukan aktiviti riadah terus meningkat terutamanya ketika cuti hujung minggu atau cuti umum.

Usaha pihak pemerintah Kota Mataram memperkenalkan Hari Bebas Kenderaan pada setiap hujung minggu juga telah menyebabkan peningkatan bilangan pelawat di taman rekreasi berkenaan.

Setakat ini, pihak pemerintah Kota Mataram telah membangunkan beberapa taman bandar di lokasi terpilih sekitar kota berkenaan dalam usaha mencantikkan landskap ibu negeri wilayah NTB termasuklah Taman Bumi Gora Mataram.

Setiap taman bandar yang dibina turut berperanan sebagai RTH iaitu berfungsi untuk mengekalkan keseimbangan flora dan fauna selain mencipta suasana lebih sejuk di kawasan kota.

Pihak pemerintah Kota Mataram juga menyasarkan untuk memperluas lagi kawasan RTH di bandar itu dalam tempoh beberapa tahun akan datang kerana ketika ini hanya terdapat seluas 512 hektar taman bandar.

Ketua Jabatan RTH, Perumahan dan Permukiman Kota Mataram, Nanang Edward berkata, pihak memerintah telah menggariskan beberapa faktor sebelum sesebuah kawasan dapat dibangunkan bagi tujuan pembinaan RTH.

“Antara faktor yang ditetapkan ialah keluasan sesebuah kawasan, keperluan untuk mengutamakan pembangunan demi kepentingan rakyat dan pembinaan jalan yang memerlukan banyak pokok-pokok ditebang bagi tujuan tersebut.

“Bagaimanapun, penebangan pokok untuk tujuan pembangunan akan diimbangkan kembali dengan kaedah penanaman semula bagi mengekalkan keaslian alam semula jadi,” katanya.

Jelas beliau lagi, kemampuan pihak pemerintah mengekalkan jumlah keluasan sesuatu RTH sebanyak 27 peratus daripada jumlah keseluruhan sesebuah taman bandar juga merupakan sesuatu yang menakjubkan.

“Peratusan RTH sebanyak 27 peratus merangkumi 15 peratus bagi kegunaan pihak pemerintah manakala 12 peratus lagi dikhususkan untuk kegunaan masyarakat umum.

“Atas sebab itu juga, pihak pemerintah Kota Mataram giat menjalankan pelbagai program untuk menarik minat masyarakat setempat agar sentiasa menjaga hutan bagi memastikan lebih banyak RTH dapat dibangunkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Taman Bumi Gora Mataram disifatkan sebagai taman rekreasi lengkap kerana dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk kegunaan orang awam termasuk tandas, trek joging, kolam buatan dan pondok berehat.

Taman rekreasi itu turut menempatkan dua buah taman istimewa iaitu Taman Lansia dan Taman Jomblo yang ditanam dengan pelbagai spesies pokok bunga-bungaan dan herba.

Konsep syariah

Menurut Nanang, selain dihiasi dengan pelbagai spesies pokok bunga hiasan, pembinaan Taman Jomblo turut mengetengahkan konsep syariah dan budaya Islam.

“Konsep syariah di taman itu boleh diterjemahkan menerusi pembinaan kerusi yang hanya mampu memuatkan satu orang, sekali gus mampu mengelakkan pengunjung yang bukan muhrim untuk duduk secara berdua-duaan.

“Bagaimanapun, bukan semua taman menempatkan kerusi untuk seorang sahaja sebaliknya taman-taman lain mempunyai kerusi yang mampu memuatkan dua atau tiga orang pengunjung,” katanya.

Konsep Taman Jomblo juga seiring dengan moto digunakan oleh pemerintah Kota Mataram iaitu beragama dan berbudaya, sekali gus dilihat sebagai langkah terbaik bagi mempromosikan pelancongan halal di wilayah NTB.

Menurut Ketua Perumahan dan Kawasan Permukiman Kota Mataram, Kemal Islam, pihaknya masih menjalankan kajian sama ada mengekalkan penggunaan nama Taman Jomblo atau sebaliknya.

“Ini berikutan penggunaan nama Jomblo dilihat turut membawa maksud negatif bagi sesetengah tokoh agama. Justeru, kami masih mengkaji nama terbaik bagi digunakan oleh taman syariah tersebut,” jelasnya.