Biarpun laungan azan khusus untuk menyeru umat Islam menunaikan solat, segelintir orang beragama lain turut tertarik dengan laungan kalimah suci itu.

Sebuah rakaman video yang memaparkan beberapa pelancong Jepun yang mengunjungi Masjid Negeri Selangor di Shah Alam teruja dan merakam laungan azan tersebut dengan mulut ternganga menjadi tular baru-baru ini.

Menerusi rakaman tersebut, seorang pelancong wanita dilihat teruja mendengar laungan azan oleh muazin yang dikenali sebagai Ustaz Zoul iaitu bilal masjid tersebut.

Menurut muazin berkenaan, kumpulan pelancong itu yang memintanya untuk melaungkan azan.

“Sewaktu merakamkan gambar raya di Masjid Negeri, saya terserempak dengan sekumpulan pelancong yang ajak bergambar dengan mereka.

“Setelah saya perkenalkan diri sebagai muazin yang laungkan azan, mereka meminta saya untuk membuat demonstrasi. Mudah-mudahan ia menjadi penyebab mereka tertarik kepada Islam,” jelasnya.

Reaksi teruja yang ditunjukkan oleh pelancong tersebut yang terpesona dengan suara azan itu membuatkan netizen tersentuh.

Rata-rata netizen berharap agar pelancong berkenaan tertarik untuk mengenali Islam dengan lebih dekat lagi.