Disebabkan itu, kebanyakan muzium didirikan di kawasan-kawasan yang mempunyai sejarah tersendiri seperti di Muzium British di Britain, Galeri Uffizi (Itali), Muzium Mesir (Mesir) dan Muzium Hermitage (Rusia).

Hal ini tidak kurang jika dibandingkan di Malaysia, dianggarkan terdapat lebih 70 buah muzium yang dibina oleh pihak kerajaan mahupun swasta.

Bagaimanapun, jika dilihat secara lebih meluas, hakikatnya muzium turut mempunyai peranan yang jauh lebih besar.

Timbalan Ketua Pengarah Permuziuman, Jabatan Muzium Malaysia, Mohd. Azmi Mohd. Yusof berkata, muzium bukan sekadar berfungsi sebagai tempat mempamerkan barang lama tetapi juga menjadi salah satu kaedah membantu masyarakat memahami sesuatu sejarah.

“Di muzium, barangan yang dipamerkan akan turut disertakan dengan perincian tertentu. Daripada situ pengunjung akan dapat mempelajari dan memahaminya.

“Bagi mempelajari sesuatu perkara, adalah lebih mudah untuk memahaminya dengan melalui pengalaman berkunjung ke muzium untuk melihatnya sendiri berbanding sekadar membaca buku semata-mata,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Tambah Mohd. Azmi, mengenali sesuatu sejarah sama ada peperangan atau peristiwa sekalipun merupakan perkara yang sangat penting kerana ia mampu mendidik generasi akan datang dan seterusnya mengelakkan mereka mengulangi kesilapan yang sama.

“Selain memberi kefahaman terhadap sesuatu, kunjungan ke muzium juga dapat membentuk individu dan seterusnya melahirkan warganegara berjati diri tinggi serta cintakan tanah air.

“Dengan jumlah muzium sebanyak itu, ini jelas menunjukkan peranan muzium yang bukan sekadar menyimpan bahan pameran, artifak lama dan gambar tetapi sebagai wadah mendidik bangsa khususnya rakyat Malaysia sendiri,” ujarnya.