Pada satu pagi, sekumpulan pelajar perempuan hadir ke kelas dengan memakai baju-T putih berbanding baju kod berwarna biru gelap seperti yang diwajibkan sebagai protes menuntut diskriminasi terhadap mereka ditamatkan.

Keadaan di sekolah awam elit Bizerte yang terletak di utara negara itu seperti kebanyakan sekolah tinggi di negara-negara Afrika Utara apabila para pelajar wanita perlu mematuhi peraturan sekolah dengan memakai pakaian seragam.

Namun, pada September lalu, penyelia sekolah memberi amaran akan menghantar pulang pelajar senior ke rumah masing-masing jika mereka gagal mematuhi peraturan tersebut.

Ironinya, amaran itu diberikan semasa kelas falsafah yang mengajar tentang anggota badan manusia.

“Ketidakadilan itu memberi inspirasi kepada ramai pelajar wanita di sekolah ini untuk menggunakan sistem perhubungan sosial mereka bagi menyuarakan perasaan dan pendirian mereka,” kata Siwar Tebourbi, 18.

Katanya, ramai pelajar perempuan sekolah itu bersetuju untuk mengambil tindakan kolektif pada hari berikutnya bagi menuntut diskriminasi terhadap mereka dihentikan.

Peraturan

Oleh itu, ramai yang bertindak memakai baju-T putih ketika hadir ke kelas dan perkara tersebut turut dilakukan oleh sebahagian besar pelajar lelaki bagi menunjukkan sokongan dan solidariti terhadap rakan sekelas mereka.

Perkara yang berlaku itu merupakan kemuncak kepada tuntutan yang telah dibuat sejak beberapa tahun lalu.

Di Tunisia, baju seragam berwarna biru tua itu wajib dipakai oleh pelajar di peringkat sekolah rendah dan tinggi.

Namun, di peringkat sekolah tinggi, hanya pelajar wanita yang diwajibkan mengikuti peraturan itu. Jika ada yang mengingkarinya, pelajar itu berisiko dikenakan tindakan diusir dari sekolah atau ibu bapa mereka akan dipanggil.

Ketua Persatuan Demokrasi Wanita Tunisia, Monia Ben Jemia menganggap peraturan yang dikenakan itu sebagai ‘peraturan yang mengerikan’ kerana ia hanya dikenakan terhadap pelajar perempuan.

Dia juga menganggapnya sebagai penyimpangan yang nyata kerana perlembagaan baharu negara itu pada tahun 2014 menyatakan bahawa lelaki dan wanita adalah sama.

Pelajar lelaki dan perempuan sekolah tinggi yang melancarkan kempen tersebut juga menganggap tindakan mereka sebagai menentang peraturan yang tidak menguntungkan itu.

“Di sekolah, mereka menjelaskan kepada kami bahawa lelaki dan wanita itu sama tetapi secara praktiknya, ia tidak berlaku.

“Jika peraturan itu benar-benar dimaksudkan untuk menyembunyikan apa-apa perbezaan antara golongan kaya dan miskin, maka lelaki serta perempuan perlu memakainya,” kata Adam Garci, 17.

Rakannya, Farah Ben Jemaa pula berpendapat, tindakan untuk mewajibkan pakaian seragam berwarna biru pada gadis-gadis ketika tubuh mereka sedang mengalami perubahan bukan lagi masalah kecil.

“Seorang penyelia memberitahu, saya tidak boleh memakai seluar legging tanpa memakai seragam kerana ia benar-benar menampakkan sosok tubuh manakala yang lain pula berkata, ia akan mengganggu pandangan guru lelaki yang lain,” tambah Farah.

Isu yang timbul itu sebenarnya kelihatan agak memalukan bagi pihak berkuasa. Seorang pegawai pendidikan kanan yang tidak mahu namanya didedahkan mengakui, situasi itu sangat sukar untuk diterangkan.

Malah, dia juga mengakui turut peka terhadap peraturan yang dikenakan walaupun Tunisia dianggap sebagai perintis di Afrika Utara dan Timur Tengah dalam memperjuangkan hak-hak perempuan.

Farah menambah, jika pendekatan rasmi adalah persamaan antara lelaki dan wanita, sebahagian besar masyarakat Tunisia tetap konservatif serta akan ada penentangan terhadapnya.

Tutup aurat

Di sebuah sekolah lain di Bizerte iaitu Habib Thameur Lycee, perdebatan tentang kesamarataan mula menjadi topik hangat dalam kalangan pelajar.

Daripada 15 pelajar lelaki yang bercakap mengenainya, hanya seorang pelajar bernama Nader memberikan pandangan dari sudut tradisi.

“Pelajar perempuan seharusnya memakai pakaian yang menutup keseluruhan susuk tubuh mereka.

“Kita telah dibesarkan dengan cara yang begitu. Ia merupakan sebahagian daripada mentaliti kita dan ia seharusnya dikekalkan,” tegasnya.

Seorang pelajar tahun akhir pula cuba berhujah dengan seorang penyelia yang ingin menguatkuasakan peraturan tersebut.

“Bagaimana jika peraturan itu sebenarnya adalah salah? Bagi saya, ia tidak adil. Ia hanya satu peraturan,” rungut pelajar itu. – AFP