Bagaimanapun, Kosmo! pada 20 Julai lalu melaporkan lebih lima juta pelajar sekolah di seluruh negara akan memakai kasut hitam bermula tahun depan apabila Kementerian Pendidikan menggantikan penggunaan kasut putih di semua sekolah menengah dan rendah.

Dalam berita tersebut, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, pelaksanaan tersebut dilakukan selepas pihaknya mendapat maklum balas dan keluhan daripada ibu bapa yang sering mengadu mengenai tahap kebersihan kasut putih yang dipakai anak mereka.

Katanya, langkah itu juga dapat membantu menceriakan para pelajar terutama dalam menjalankan aktiviti luar bilik darjah sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun menengah.

Lantaran daripada itu, pelbagai reaksi yang dikeluarkan oleh orang ramai di media sosial ada di antaranya bersifat positif dan hujah negatif.

Menurut Ketua Program Psikologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Nor Ba’yah Abdul Kadir berkata, pelaksanaan untuk memakai kasut hitam bukan menjadi satu masalah dalam sesi persekolahan.

“Bagi saya memakai kasut hitam menjadikan pakaian pelajar kelihatan kemas dan memudahkan penjagaannya,” jelasnya.

Katanya, tanggapan negatif orang ramai yang mengatakan memakai kasut hitam akan melahirkan pelajar-pelajar malas adalah tidak betul sama sekali.

“Aspek kebersihan bergantung pada seseorang bukan dinilai daripada pemakaian semata-mata.

Kemudahan

“Saya pilih hitam dan tidak bermakna tak perlu basuh. Malah jika kasut warna pelangi sekalipun tetap perlu pelajar itu basuh,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Selain itu, Nor Ba’yah berkata, penukaran kasut itu juga memberi serba sedikit kemudahan untuk pelajar apabila membasuh kasut mereka.

“Sebelum ini, pelajar-pelajar mengambil masa lama untuk membasuh kasut kerana warna putih sukar untuk menanggalkan kotoran.

“Selepas basuh mereka perlu kapur kasut itu, tetapi pelaksanaan ini saya merasakan penjimatan perbelanjaan kerana tidak perlu lagi beli kapur kasut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nor Ba’yah memberitahu, walaupun penukaran warna kasut tidak sekalipun memberi kesan kepada keputusan peperiksaan ataupun sahsiah anak-anak.

Sementara itu, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman kerajaan mengenai pelaksanaan pemakaian kasut hitam kepada semua pelajar bermula tahun depan.

Katanya, langkah tersebut amat wajar dilaksanakan dengan mengambil kira pelbagai faktor seperti keadaan cuaca, aktiviti di sekolah dan sebagainya.

“Pihak koperasi sekolah mungkin boleh menyediakan stok bekalan kasut hitam agar dapat diselaraskan penggunanya bagi semua pelajar.

“Begitu juga dengan pihak alumni sekolah atau PIBG yang boleh menyediakan skim khas kasut hitam terutama kepada pelajar-pelajar kurang berkemampuan,” ujarnya.

Harga bagi sepasang kasut hitam sama seperti kasut putih iaitu antara RM15 hingga RM39 bergantung kepada saiz dan jenama.

Walau bagaimanapun, seorang penyokong kasut putih, Osman Mokhtar tetap mempertahankan pendiriannya mengenai kasut putih untuk ke sekolah.

“Warna putih melambangkan keperibadian seseorang itu sama ada rajin ataupun malas. Malah ia mendidik pelajar itu bersifat berdikari.

“Pakai kasut putih dari zaman nenek moyang lagi. Bagi saya tidak patut dihapuskan kerana warna putih ini dapat mendidik pelajar daripada menjaga kebersihan sejak peringkat awal,” ujarnya.