Anak jati Melaka itu sentiasa mempunyai sifat ingin tahu akan setiap menu yang dimasak ibunya. Setiap kali membantu di dapur, dia akan kerap bertanya mengenai resipi lauk yang disediakan.

Daripada sajian yang pernah dimasak oleh ibunya, Nur Azsikin memberitahu, dia sangat sukakan juadah asam pedas Melaka air tangan ibunya yang sehingga kini masih menjadi kegemarannya.

“Asam pedas Melaka buatan ibu merupakan resipi turun-temurun dan menjadi antara menu wajib setiap kali menjamu selera bersama keluarga. Saya sendiri tidak pernah jemu menikmatinya hampir setiap hari. Ia boleh menggunakan apa jua bahan utama seperti ikan, ayam atau daging.

“Asam pedas Melaka dipanggil masak lada oleh orang Melaka. Ia berbeza dengan sajian asam pedas lain disebabkan bahan-bahan yang digunakan dan cara memasaknya juga sedikit berlainan,” katanya kepada K2 dalam satu acara mencipta rekod kebangsaan sajian terbanyak di KIPMall Melaka baru-baru ini.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berpengalaman menyediakan sendiri asam pedas sejak usia 14 tahun.

Meraikan asam pedas sebagai hidangan popular di negara ini terutama di selatan tanah air, Kelab Chef Melaka dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah menganjurkan cabaran yang dinamakan Q’Fish Asam Pedas Challenge untuk melakar rekod dalam Malaysia Book of Records bagi kategori memasak hidangan terbanyak dalam satu program.

Pihak penganjur menerusi penyertaan ratusan peserta berjaya mencipta rekod baharu dengan menyediakan 130 hidangan variasi asam pedas. Ia disertai oleh cef profesional, pelajar kulinari dan orang ramai.

Rekod terdahulu

Rekod itu disahkan Pegawai Analisis Penyelidik dari Malaysia Book of Records, Nurul Fatihah Mahmood sekali gus memecahkan rekod hidangan terbanyak dalam satu acara di Mantin, Negeri Sembilan sebelum ini iaitu 88 hidangan kari kepala ikan pada 27 Januari lalu.

Asam pedas merupakan sajian Melayu yang popular terutama di selatan Semenanjung Malaysia iaitu di negeri Melaka dan Johor. Namun, terdapat juga pelbagai jenis masakan asam pedas di serata Malaysia dan rata-ratanya berbeza mengikut negeri.

Asam pedas mempunyai variasinya yang disesuaikan dengan cita rasa masing-masing dan cara pembuatan. Dipercayai ia dinamakan asam pedas kerana penggunaan bahan asam dalam sajian itu dan kepedasan rasanya. Asam digunakan untuk mengimbangi rasa pedas daripada cili kering.

Kebiasaannya, menu asam pedas menggunakan bahan utama seperti ikan parang, tenggiri, kembung, pari, merah dan terubuk. Bagaimanapun, terdapat sebahagian kawasan yang jauh dari sumber laut menggunakan ayam atau daging.

Bagi bahan-bahan rencahnya pula, ia biasanya menggunakan cili kering, bawang merah, bawang putih, belacan, halia, lengkuas, kunyit hidup, serai, daun kesum, bunga kantan, asam jawa, asam gelugur atau daun limau purut.

Asam

Berdasarkan ensiklopedia internet wikipedia, perbezaan di antara asam pedas dari utara dengan selatan Semenanjung Malaysia ialah penggunaan jenis asamnya. Asam jawa yang pekat lebih biasa digunakan di selatan, manakala asam gelugur atau asam keping lebih lazim di negeri-negeri di utara. Warna kuah asam pedas utara juga agak cair dan sedikit kekuningan.

Nur Azsikin yang menjadi salah seorang tukang masak dalam penciptaan rekod Malaysia itu memberitahu, asam pedas asli Melaka pula berbeza dengan resipi asam pedas Johor.

“Asam pedas Melaka tidak menggunakan bunga kantan dan daun kesum seperti di Johor.

“Asam pedas Melaka menggunakan rencah asas seperti bawang putih, bawang merah, cili kering, serai dan air asam jawa. Istimewanya jika mengikut resipi asli, ia menggunakan belacan serta rempah ratus seperti halba, jintan manis, jintan putih dan ketumbar yang ditumis sehingga naik bau.

“Penggunaan rempah juga berbeza mengikut jenis bahan utamanya yang lazimnya ialah ikan. Antara ikan yang sesuai digunakan dalam resipi asli ialah keli, duri, dan pari,” katanya yang berkhidmat dalam sektor kerajaan.

Selain Nur Azsikin, seorang peserta yang merupakan generasi muda, Izzety Abdul Razaq, 21, turut menggemari masakan asam pedas, namun dia lebih suka asam pedas nyonya resipi turun-temurun keluarganya.

Dia yang menyertai Q’Fish Asam Pedas Challange bersama ibunya, Maznah Mohd. Jaafar, 54, memberitahu, asam pedas nyonya atau gerang asam nyonya pula tidak jauh berbeza dengan resipi asam pedas biasa, cuma ia menjalani proses memasak yang lama dengan kuah direnih.

“Saya minat memasak sejak kecil dan ibu sentiasa mengajar kami memasak setiap kali di dapur. Ada ketikanya saya suka melakukan improvisasi dalam masakan asam pedas dengan menggunakan resipi berbeza berbanding apa yang dipelajari daripada ibu,” katanya yang merupakan pelajar Institut Kemahiran Belia Negara, Alor Gajah, Melaka.

Menu pelancongan

Meraikan kepelbagaian jenis masakan asam pedas di Malaysia menjadi salah satu faktor pemilihan hidangan itu sebagai subjek untuk mencipta rekod dalam negara oleh Kelab Chef Melaka.

Dalam penciptaan rekod itu, para peserta dikehendaki menggunakan ikan segar beku Q’Fish, produk keluaran LKIM. Sebanyak 130 hidangan asam pedas itu disediakan menerusi enam sesi bermula 9 pagi hingga 6 petang dalam sehari iaitu pada 22 Jun lalu.

Pengerusi Kelab Chef Melaka, Rizwandy Perin yang juga merupakan cef profesional memberitahu, penganjurannya bukan sekadar untuk mencipta rekod tetapi mengangkat sajian itu yang merupakan menu popular terutama di selatan tanah air.

“Asam pedas adalah menu yang sering disarankan kepada pelancong terutamanya bagi mereka yang berkunjung ke Melaka atau Johor. Bagaimanapun, sajian ini mempunyai pelbagai versi dan ia ternyata dapat disaksikan menerusi penganjuran cabaran ini.

“Meskipun dianjurkan di Melaka, acara ini membuka peluang kepada orang ramai untuk menyediakan pelbagai jenis asam pedas dari mana-mana resipi di seluruh Malaysia. Saya juga terkejut ada sajian asam pedas yang dihidangkan oleh peserta merupakan asam pedas versi Sabah dan Sarawak,” ujarnya.

Nama sajian popular asam pedas terpahat dalam Malaysia Book of Records 
baru-baru ini apabila Kelab Chef Melaka dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berjaya cipta rekod memasak sajian terbanyak dalam satu acara dengan penyediaan 130 hidangan berupa aneka asam pedas.