PDRM yang ketika itu dibimbing jurulatih berpengalaman, Dollah Salleh tampil dengan revolusi baharu sehingga menyaksikan mereka muncul juara Liga Premier.

Sebagai rekod, ia bukan kali pertama PDRM menjuarai kempen Liga Premier kerana skuad The Cops itu pernah meraih gelaran yang sama pada musim 2006/2007 ketika dibimbing K. Thayanathan.

Namun, melihatkan rekod PDRM sejak kancah Liga Super diperkenal buat kali pertama pada 2004, pencapaian The Cops atau turut dikenali dengan gelaran Sang Saka Biru masih belum konsisten.

Mungkin hanya satu kebetulan, selepas menjuarai Liga Premier 2006/2007 dan 2014, PDRM hanya mampu beraksi dalam kancah Liga Super dalam tempoh dua musim (2007/2008 dan 2009) sebelum terpaksa diturunkan pangkat.

Skrip yang sama kembali berulang sebaik PDRM muncul juara Liga Premier 2014. Selepas hanya dua musim (2015 dan 2016) bersaing dalam Liga Super, PDRM kembali semula ke saingan Liga Premier 2017 yang menyaksikan mereka sekadar menduduki tangga kelapan.

Enggan terus berada di takuk lama, Sang Saka Biru sudah mengorak langkah awal bagi menghadapi kempen Liga Premier musim ini seterusnya mengintai peluang memburu tiket Liga Super 2019.

Kehadiran bekas pengendali Kuantan FA, Zulhamizan Zakaria yang dilantik selaku Ketua Jurulatih PDRM yang baharu ternyata menyuntik keyakinan pihak pengurusan dan penaja utama, ODR Lubricant untuk melihat The Cops kembali semula ke pentas liga utama.

Ulangi kejayaan

Keyakinan untuk mengecapi memoir 2006/2007 dan 2014 itu diluahkan oleh Penolong Pengurus PDRM, Abdul Mubin Mokthar yang percaya, Zulhamizan dan anak-anak buahnya mampu mengulangi pencapaian tersebut.

Menurut Mubin yang juga bekas pemain tengah kebangsaan era 
1990-an, keyakinan itu bersandarkan kepada persiapan serius dilakukan oleh pihak pengurusan pasukan sebaik cabaran liga berakhir musim lalu.

“Impian kami bukan sekadar mahu mengulangi pencapaian 2006/2007 dan 2014 tetapi kami juga mempunyai agenda penting bagi meraih tiga misi pada saingan musim 2018 ini. Sudah tentu kami mahu kembali ke pentas Liga Super dan juga memenangi salah satu piala musim ini.

“Namun, secara realistik kami optimis untuk merangkul satu kejuaraan daripada dua atau tiga piala yang dipertandingkan musim ini,” ujar Mubin baru-baru ini.

Selain kehadiran Zulhamizan, The Cops turut memperkemas pasukan musim ini dengan kehadiran empat awang import baharu selain mengekalkan enam tonggak tempatan musim lalu iaitu Shahruain Abu Samah, Nazri Kamal, Nabil Lafpi, Kamal Rodrizad, Hazwan Fikrullah dan Izaaq Izhan Yuswardi.

Mereka akan dibantu empat awang import baharu iaitu pertahanan tengah dari Korea Selatan, Sim Woon sub dan perancang dari Jepun, Nakatake Shunsuke sementara Redzovic Argzim (Serbia Montenegro) dan Voinea Petrisor (Romania) disandarkan selaku penggempur.

David William Rowley, pemain berusia 26 tahun dari Australia kini menunggu untuk mendapat status pemain naturalisasi dan sekiranya menjadi kenyataan, The Cops sudah pasti mempunyai lebih pilihan di bahagian serangan.

Bagi menguji keupayaan pemain-pemain tempatan baharu dan lama serta bintang import mereka, Sang Saka Biru telah mengatur beberapa siri perlawanan persahabatan pramusim.

PDRM turut dijemput menyertai pertandingan empat penjuru - Piala Slemandi di Yogjakarta, Indonesia yang menampilkan dua kelab Indonesia, PSS Sleman dan Pakindo MP serta pendatang baharu Liga Super, Kuala Lumpur.

Sekalipun keputusan di Yogjakarta agak hambar, Mubin tidak panik, sebaliknya beliau tetap optimis Sang Saka Biru mampu menampilkan aksi terbaik sebaik kempen Liga Premier bermula awal bulan depan.

“Kesemua pemain import PDRM masih baharu dan mereka juga masih diuji untuk menyesuaikan diri dengan rentak permainan pasukan selain membentuk persefahaman yang baik dengan pemain-pemain tempatan.

“Ini sudah menjadi lumrah bagi sesebuah pasukan yang mempunyai pemain baharu dan tidak terkecuali PDRM,” ujar Mubin yang menjangkakan Zulhamizan sudah mendapat bayangan kesebelasan utama menjelang aksi pembuka tirai menentang Felcra FC pada 2 Februari ini.